Showing posts with label history. Show all posts
Showing posts with label history. Show all posts

Saturday, May 26, 2012

Sultan Muhammad al-Fateh : Raja sebaik-baik raja

Bismillah.....
Hujung minggu. Masa yang lapang begini sewajarnya saya gunakan sebaik mungkin untuk menyiapkan tesis. Tapi, entah. Idea seperti kekeringan. Mata memang kononnya menekuni tesis, hakikatnya hati tiada bersama.  Sedari pagi hingga petang, sebaris ayat pun tidak berjaya ditulis.

Mencari-cari semangat yang hilang. Mata terpandang pada sebuah buku yang tersusun di rak. Sultan Muhammad al-Fateh. Saya mengenali dan meminati beliau sejak sekolah rendah. Sewaktu menonton filem animasi Sultan Muhammad al-Fateh. Sejak itu, saya mula tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sultan ini. Seperti biasa, sasaran saya ialah makndak dan paksu. Melalui mereka banyak perkara yang saya ketahui.  Sewaktu umi dan abun saya pergi menunaikan haji, umur saya ketika itu 6 tahun, dan saya tinggal bersama makndak di rumah siti (nenek). Sebelum tidur, makndak akan mula bercerita tentang kisah Nabi-Nabi. Paling saya suka, dan kerap meminta makndak mengulangnya ialah cerita Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf. Semoga kelak, saya juga akan menghidangkan cerita-cerita begini untuk anak-anak saya. Cerita yang realiti bukan fantasi seperti Snow White, Barbie, Rapunzel, Cinderalla dan sebagainya. InsyaAllah. 

Paksu pula bercerita tentang  cerita yang lebih serius, cerita tentang perang gerila Afghanistan, tentang Palestin, tentang tragedi Memali dan hal-hal politik. Suatu ketika, semasa paksu mengambil saya pulang dari Nilam Puri. Paksu bercerita tentang Salahuddin al-Ayubi sepanjang perjalanan Kelantan-Perak. Ketika saya sudah mengaku kalah untuk menghabiskan pembacaan mengenai Revolusi Iran, yang bukunya setebal 3 inci, paksulah juga sasaran saya. Paksu pun akan mula bercerita. Mudah bukan. Saya memang lemah dalam membaca (Alhamdulillah dikurniakan suami yang suka membaca). Tetapi saya berazam untuk sentiasa akan memaksa diri, kerana yang dipaksa itu, insyaAllah sampai masanya akan menjadi tabiat. Paksu, pakngah, makndak, makcik, kholah, makteh. Semuanya banyak benar berjasa dalam mendidik saya. Umi dan abun apatah lagi. Sebenarnya saya sangat rindukan insan-insan ini, yang sama-sama membantu umi dan abun mencorakkan saya. Alhamdulillah. Cuma bila menginjak remaja dan dewasa, bila semakin jauh dari mereka, sayalah yang tidak berjaya mencorak diri sendiri. Semoga Allah mengizinkan saya membalas budi baik mereka semampu saya. Kadang-kadang, bila perasaan malas datang, mengenangkan wajah-wajah insan yang disayangi, malas itu mudah diusir.

Berbalik kepada cerita Sultan Muhammad al-Fateh. Bukanlah niat saya mahu bercerita panjang lebar, tetapi ada beberapa perkara yang selalu saya ingatkan diri sendiri, supaya mengambil inspirasi daripadanya :

1. Kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh adalah bermula daripada ibu dan bapanya yang bercita-cita besar, tabah dan sabar dalam mendidik anaknya. Ya, dia juga dilahirkan sebagai bayi yang biasa, tetapi hasil corakkan ibu dan ayahnya, maka jadilah dia al-Fateh, pembuka kota Konstantinopel.

2. Sultan Muhammad al-Fateh menguasai 6 bahasa ketika usianya belasan tahun. Pentingnya bahasa ialah ia merupakan kunci ilmu. 

3. Sultan Muhammad al-Fateh menakluk kota Konstantinopel ketika berusia 23 tahun. Kita hari ini bagaimana? Saya sendiri yang sudah berusia 25 tahun, bukan kata mahu menakluk kota, menakluk nafsu dan mendidik nafsu diri sendiri juga masih gagal.

4. Sabda baginda s.a.w " Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera". 

Sewaktu pertama kali solat Jumaat hendak didirikan di Kota Konstantinopel dan untuk memilih imam, Sultan al-Fateh telah memerintahkan kesemua tenteranya berdiri, termasuk dirinya, lantas bertanya " siapa di antara kita yang sejak baligh sehinggalah sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk", tiada seorang pun yang duduk, kerana tiada yang pernah meninggalkan solat.

Al-Fateh bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, " Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sendiri.Sultan al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajjud sejak baligh. Inilah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh baginda s.a.w

Tuesday, February 9, 2010

Mengintai Ilham dari Samarkhand



Balai cerap di Samarkhand


Bismillahirrahmanirrahim..

Samarkhand dan Bukhara merupakan dua bandar yang terletak di Uzbekistan. Apabila disebut kedua nama bandar ini, pasti ramai yang terbayangkan tentang sejarahnya. Saya masih baru belajar untuk menekuni sejarah. Masih bertatih. Namun begitu, saya sungguh teruja untuk berkongsi. Hanya perkongsian ringkas, namun, cukup untuk memotivasikan saya secara peribadi untuk menjadi muslim yang lebih cemerlang. InsyaAllah.

Observatorium di Samarkhand
Institusi Balai Cerap di Samarkhand, adalah institusi kedua yang dibina selepas Balai Cerap di Maraghah. Institusi ini dibina oleh Ulugh Beg mengikut asas yang dipelopori di Maraghah. Balai cerap merupakan tempat ahli astronomi memerhati cakerawala dan bintang.

Ibnu Sina Bapa Perubatan
Ibnu Sina, atau nama sebenar beliau ialah Abu Ali al-Husain Ibn Abdullah Ibn Sina merupakan tokoh yang terkenal dalam bidang perubatan. Namun begitu, kepakaran beliau bukan sahaja terhad kepada bidang perubatan malah beliau juga seorang ahli politik, ahli sains dan juga ahli falsafah. Beliau dilahirkan di Bukhara pada tahun 370 H(980M) . Karya Ibnu Sina yang termasyhur ialah Kitab Al-Qanun fi al-Tib. Pendapat Ibnu Sina yang perlu difahami masyarakat hari ini ialah, penyakit boleh ditolak dengan ketahanan badan yang tinggi. Pengambilan ubat hanyalah sebagai peransang kepada ketahanan tersebut. Tanpa ketahanan yang cukup dalam tubuh, ubat adalah tidak berfaedah.

Ilham dari Sejarah
Apabila kita menekuni sejarah sesuatu bangsa, iktibar dari sejarah yang kita pelajari itu amat berguna untuk perjalanan masa depan diri kita sendiri. Sebetulnya, faktor penolak yang membolehkan saya menyelongkar kembali sejarah ini ialah sahabat saya Zuhra. Zuhra seorang yang suka membaca, kerana itu tidak hairanlah mengapa beliau begitu rajin belajar. Zuhra mempunyai dua sarjana muda dalam Bahasa Inggeris dan juga Jurisprudence.

Pelajaran kedua saya untuk kelas Bahasa Uzbek percuma bersama beliau kali ini adalah mengenai Musim dan juga tatabahasa yang benar-benar memeningkan,


Musim/ Season/ Fasllar

Winter
Qish

Spring
Bahor

Summer
Yoz

Autumn
Kuz

Sun
Quyosh

Moon
Oy

Star
Yulduz

The Sky
Osmon

The Earth
Er
Rujukan:

1. Wikipedia
2. Shaharir et. al., (1985) Pengenalan Tamadun Islam Dalam Sains Dan Teknologi. DBP : Kuala Lumpur.
3. Mahmood Zuhdi, (2003) Tokoh-tokoh Kesarjanaan Sains Islam. DBP : Kuala Lumpur.