Showing posts with label peristiwa. Show all posts
Showing posts with label peristiwa. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Salam Lebaran


Salam 'eid al-fitr. Selamat kembali kepada fitrah. Kembali kepada fitrah iaitu yang pertama, kembali makan dan minum seperti sebelum ramadhan dan paling bermakna sebagaimana sabda Baginda s.a.w, yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, "Allah Maha Agung mewajibkan puasa Ramadhan dan sunatkan solat pada malam harinya, sesiapa berpuasa dan solat malam dengan mengharapkan pahala keredhaan Allah, dia keluar dari dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya ". Inilah fitrah, kembali suci. Semoga amal ibadat dibulan ramadhan ini dapat kita istiqamahkan pada bulan-bulan akan datang dan menjadi kebiasaan kita sebagai muslim yang mukmin, insyaAllah.


Tersenyum nenda di tepi jendela,
Melihat cucunda riang gembira,
Dalam sibuk menjelang raya,
Zakat fitrah usahlah dilupa.

Fajar syawal sinarnya mampir,
Seisi alam menyambut ceria,
Bergema alam bersahut takbir,
Tanda kemenangan dirai bersama.

Salam eid al-fitr ..kullu 'am wa antum bikhair..taqabbalallah minna wa minkum..semoga Allah menerima amal kebajikan kita...amin..: )


Monday, August 22, 2011

Belasungkawa - Azizi Abdullah



Saya mula 'jatuh cinta' dengan karya beliau lewat novel kugapai cintamu suriati. Kelmarin, saat ralit menekuni tesis, kak niswa, teman serumah memanggil saya "Mayah, Azizi Abdullah meninggal". Terkedu. Allah Allah Allah. Saya ke biliknya, "betul ke kak Niswa?" dalam pilu menahan air mata, saya membaca berita itu melalui facebook kak niswa, betul, kata hati saya. Pagi ini, saya membaca lagi di bernama http://www.bernama.com/bernama/v5/newsgeneral.php?id=609411. Ya, benar, Allah memanggilnya kembali di bulan yang mulia ini. Subhanallah. Insan yang mulia, kembali ke pangkuan Pencipta di bulan yang mulia.

Saya peminat setia beliau, sentiasa menunggu kiriman-kiriman terbaru di blog beliau. Tidak ramai penulis yang berani menyuarakan rasa dan mengancam yang batil. Hanya segelintir. Tetapi, patah tumbuh hilang berganti, buat generasi penulis muda, moga kalian tidak gentar menyuarakan yang hak lewat penulisan kalian. Usah khuatir, akan ada insan-insan seperti saya yang sentiasa menyokong.

Novel beliau yang masih belum habis dibaca, The Old Man at the foot of mountain atau seorang tua di kaki gunung akan cuba saya dalami dan ambil iktibar darinya. Saya akan terus mengumpul novel-novel beliau. Bukan sebarang puitis, bukan novel cinta yang hanya membuatkan asyik, tetapi lewat setiap cerita ada pengajaran yang mengajar, cerita tentang hidup!

Mati. Dua minggu sebelum Ramadhan, umi menelefon, memberi khabar ada saudara-mara meninggal dunia. Ya, setiap saat ada insan yang dipanggil kembali, cuma yang membezakan apabila insan yang dipanggil itu kita kenali dan sayangi, dukanya menggugah jiwa, moga juga menginsafkan. Agar sentiasa bersedia menunggu saat itu tiba.

Semoga roh Tukya dirahmati. Apabila mati anak Adam, tiga perkara yang tidak terputus, anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang dicurahkanmu sangat bermanfaat. Berbahagialah di sana. Semoga Allah merahmatimu.

Al-Fatihah.

Tuesday, July 19, 2011

Belasungkawa

Saya membaca dari rasa sedih dan sayu semua yang sayangkan beliau seperti dalam tulisan Ustaz Hasrizal http://saifulislam.com/?p=10185#more-10185 dan juga Dr. Asri http://idhamlim.blogspot.com/2011/07/dr-lolo-yang-saya-kenali.html. Saya berada dalam kelompok jutaan orang yang sayangkan beliau. Saya pernah bersalam dan bersapa dengan beliau, dalam siri kempen PRU 12 Parlimen Titiwangsa dan juga hari penamaan calon. Syukur Allah berikan saya peluang itu. Semoga Allah menempatkan beliau bersama orang yang dikasihiNya. Dr. Lo' lo', seindah namanya, pemergiannya bagaikan permata yang hilang. Yang pergi, tetap pergi, yang hidup, sama-samalah teruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia dan dunia. Allah ya Qawiyy, berikan kekuatan kepada kami. Tetapkan hati kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Amiin.

Al-Fatihah.

Sunday, July 3, 2011

Safra'


PELUDAH WARNA

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. Samad Said



Takutkan kuning atau kuning menakutkan?
Memang begini yang namanya dasar pengecut
Warna pun menjadi musuhnya
Dahulu hijau
Sekarang kuning
Mudah-mudahan kelak
Mereka takut pada merah
Yang kononnya gagah
Hakikatnya
Hanya pengecut yang takut kalah.

Monday, May 16, 2011

Bengkel Asas Penulisan YADIM I

Bismillah. Hari ini 16 Mei, hari guru sedunia. Selamat hari guru buat semua guru-guru di Malaysia. Tanpa kalian siapalah seorang Perdana Menteri, siapalah seorang jurutera, siapalah seorang jutawan sekalipun dan siapalah kami semua. Barakallah lakum. Semoga Allah memberkati kalian semua.

Align Center
Dinihari. Saya terjaga, merasa sesuatu yang luar biasa terjadi pada diri. Tekak terasa perit, kepala berdenyut, terasa sukar bernafas dan liur yang ditelan terasa pahit. Kipas angin yang berputar perlahan cukup membuatkan dinginnya menggigit tulang. Pantas tangan mencapai termometer di birai tilam. Sah! demam sudah datang bertandang. Tetapi suhu tidak setinggi mana, cuma tinggi sedikit dari paras normal. Justeru, saya tiada alasan untuk terus bermanja dengan selimut dan bantal. Kaki digagahkan untuk melangkah. Hasrat hati untuk berpuasa hari ini dibatalkan kerana menyedari hakikat badan yang perlukan banyak air sebagai penawar. Tidak mengapa, bukan rezekinya hari ini. Mungkin kerana terlalu kepenatan 3 hari berbengkel (atau lebih tepat berkursus, kerana tiada sebarang bengkel diadakan) dan kadang-kadang terkena hujan membuatkan badan sedikit lemah. Tetapi tidak mengapa, saya mengingatkan diri "kamu bukan anak kecil yang perlu dimanja-manjakan ketika sakit!". Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan, saya tidak harus lemah!.

Bengkel Penulisan Asas YADIM (Yayasan Dakwah Islam Malaysia)

Bengkel ini telah diadakan pada 13-15 Mei bertempat di Pusat Latiha YADIM, Sg. Semungkis, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Pertama kali berpeluang menyertai bengkel penulisan. Alhamdulillah. Uniknya bengkel ini ialah peserta yang terdiri daripada latar belakang umur yang berbeza iaitu antara 14-45 tahun. Cuba bayangkan bagaimana pihak penganjur menangani peserta yang pelbagai ini. Tetapi, tidak terlalu menjadi masalah, kerana pengisian bengkel hanyalah ceramah mengenai asas penulisan dan perkongsian pengalaman dari penulis terkemuka tanah air.

Buah tangan yang dibawa pulang

Saya terfikir-fikir, sama ada untuk berkongsi atau tidak buah tangan yang saya bawa pulang dari bengkel tersebut. Akhirnya saya memutuskan, apa salahnya. Sekadar ekspresi rasa yang secara tidak sengaja diwujudkan. Mungkin kerana suasana sore itu dengan hujan yang mengguyur, angin yang yang nyaman berpuput, redup bumi kala matahari bersembunyi, maka, terhasillah karya yang sesetengahnya kelihatan agak jiwa-jiwa. Maafkan saya, andai ada yang 'geli' membaca. Sungguh, saya tidak sengaja!

Setia

Mata,
Memandang,
Tetapi tidak melihat,
Kerana hati sentiasa ingat,
Pada janji
Yang telah diikat.

______________________________________________________

Khuatir

Saat rasa itu hadir
Hanya satu
Mengadu pada Dia
Tuhan empunya manusia
Juga alam seluruhnya.

______________________________________________________

Janji

Bukan perlu pada tanda
Tidak perlu pertaruhkan harta
Kerana termeterai dalam hati
Akan dikenang sehingga mati
Kerana tersemat dalam dada
Sedia siagakan jiwa dan raga.

Tinta penuntut
14 Mei 2011
Buah tangan BAP-YADIM

sekadarnya...

bersambung.....Insya Allah

Monday, December 27, 2010

Persidangan + cuti-cuti Pulau Pinang

Bismillah...

19 Disember 2010

Bertolak ke Pulau Pinang bersama Pakndak sekeluarga yang kebetulan mahu memenuhi undangan majlis perkahwinan anak sahabat mereka ketika di Mekah. Majlis perkahwinan itu tersebut berlangsung di Junjung, Kulim. Berjiran dengan Pulau Pinang. Sekitar jam 4 petang, kami tiba di rumah mertua kakak saya. Terima kasih kerana sudi menumpangkan saya selama 5 hari sebelum berangkat ke Langkawi. Allah sahajalah yang mampu membalas jasa kalian.

Hari pertama di Pulau Pinang, terhibur dengan keletah anak buah yang sungguh rajin!!




20 Disember 2010

Jam 5 pagi kakak menghantar SMS bertanyakan samada Siti(sahabat sepengajian) sudah tiba atau belum di Stesen Bas Butterworth. Setelah mendapat maklumat bahawa beliau sudah hampir tiba, saya, kakak, abang hafiz dan juga mehdi si kecil yang terpaksa berjaga awal pagi itu pergi menyambut beliau. Alhamdulillh, saya tidak keseorangan di Persidangan nanti. Gementar juga jika keseorangan.

Jam 8.20 pagi, kami bertolak ke Hotel Eastin, Queensbay, Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan yang pendek itu, saya gunakan untuk berlatih supaya lancar ketika membentangkan kertas kerja. Ini merupakan pengalaman pertama saya membentangkan kertas kerja dalam bahasa inggeris. Alhamdulillah tiba jam 8.50pagi. Fasting and Sustainable Health Conference dianjurkan oleh Cluster Healthy Lifestyle, Advance Medical And Dental Institute(AMDI), USM.

Jam 9 pagi, bermula dengan Perasmian oleh Naib Canselor USM. Pertama kali juga berdiri untuk menyanyikan lagu universiti lain. Lagu Rasmi USM, Menara Ilmu. Siti berbisik kepada saya, "mana lagi best?". Minda yang sudah masak dengan lagu Varsiti sudah pasti memilih lagu Varsiti sendiri.=)

Jam 10 pagi, kelibat seorang lagi sahabat yang perlu hadir di persidangan tersebut, Mohd Afifuddin yang bakal menjadi staf AMDI masih belum kelihatan. Perbentangan pertama dari speaker jemputan bertajuk Science of Fasting: Aspect From Islamic Perspective. Jika diberi nilai 1-10, saya nilaikan 10! Ustaz Hussain Yee Abdullah yang membentangkan tajuk tersebut berjaya menghuraikan puasa dari perspektif Islam secara mudah dan memperlihatkan betapa Islam agama yang mudah.

Jam 11.30 pagi, giliran saya hampir tiba, saya mendapat giliran ketiga, giliran pertama Dr. Ratna Roshida dari USM, giliran kedua Prof Madya Dr. Nurdeng Dueraseh dan giliran keempat Prof Emeritus Dr. Jitender Mohan dari Panjab University, India. Wah! Saya? Masih belum punyai gelaran Dr. pada pangkal nama. InsyaAllah pasti ada masa akan datang. Amin. Gembira bercampur gementar dapat membentangkan kertas kerja bersama Dr. Nurdeng Deuraseh, sudah lama berhajat ingin berjumpa beliau, Allah ketemukan kami di sini. Kertas kerja saya bersama sahabat-sahabat bertajuk, "Significance of Sahur During Fasting According To Islamic and Scientific Fasting". Akhir perbentangan Dr. Nurdeng bertanyakan dua soalan kepada saya. Pertama, bagaimana dikatakan sahur itu seperti sarapan dengan budaya masyarakat yang bersarapan jam 9pagi? Dan kedua, bagaimana hendak menterjemahkan kepentingan tamar dengan makanan asasi di negara-negara lain. Urf, saya hanya menjawab soalan-soalan itu, tetapi turun sahaja dari pentas, saya sudah terlupa apa yang saya jawabkan. Saya memang selalu terlupa. Yang lebih melucukan, sebelum menjawab soalan, saya tanpa segan silu bertanya "what is the first question? i already forget". Huhu. Inilah pengalaman yang mengajar erti kedewasaan, pengalaman berada di universiti kehidupan.

Jam 1 petang, saya, siti dan afif makan tengahari semeja dengan Dr. Nurdeng, isteri beliau dan juga Dr. Ratna Roshida. Juga turut di meja tersebutt, seorang doktor perubatan dari Myanmar yang sedang melanjutkan pelajaran '3rd degree' dalam bidang public health. Sedang menjamu selera, Dr. Nurdeng dan Dr. Ratna membuka topik kemunduran orang melayu. Kata mereka, sifat malas bangsa melayu itu sendiri yang membuatkan bangsa ini mundur. Tanah orang melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 1%! Oh bangsaku.. Pelajaran dari Dr. Nurdeng juga yang saya perolehi, katanya 'Ilmu ibarat benda di tengah meja (dengan membuat gaya meletakkan gelas air di tengah meja makan), untuk mendapatkannya perlu ada kerajinan, usaha dan disiplin, ini hanya satu contoh, bila sudah dapat ilmu, permasalahan apa pun yang datang, pasti dapat diselesaikan, insyaAllah, macam soalan yang saya tanyakan pada kamu tadi'.


Saudara Afif, Dr.Nurdeng, Pn Hayati(isteri Dr. Nurdeng) dan Dr. Ratna


Giliran siti dan saya pula bergambar

bersambung.....

Friday, June 26, 2009

Rajul wasim...bikam...rubu'

Langit Kota Kaherah membiru tanpa tompokan awan yang memutih menandakan musim panas mula menjenguk bumi Mesir. Bahangnya terasa amat, sinaran mentari bagaikan menyelinap masuk ke segenap liang roma. Sinaran ultra lembayung membawa radikal bebas yang merbahaya itu barangkali tidak dapat dihalang walau memakai krim pelindung UV SPF 60. Kulit yang cerah kian menggelap, kulitku yang sedia gelap bertambah-tambah gelap. Debu Kota Kaherah menerobos masuk ke rongga hidungku tanpa segan silu, mujur Allah menciptakan rerambut di dalam rongga hidung ini untuk menapis debuan ini dari terus masuk ke saluran pernafasan. Sungguh, Allah Maha Bijaksana. Manusia sahaja yang bongkak tak mahu mengikut perintahNya. Ana, Huda dan ’Aishah mengikut Mardhiah sahabat lama mereka di SAM KKB dulu yang kini merupakan penuntut Al-Azhar ke Hayyu el- Sabi’, ziarah Markas PMRAM dan juga ke Darussalam membeli kitab-kitab untuk digunakan semester hadapan. Hajat hati mahu turut serta, memang itu yang dirancang dari semalam, tapi, dek kerana suhu badanku yang bukan lagi di paras normal, ditambah dengan hidung yang tersumbat dan tonsel yang masih membengkak, membuatkan aku memilih untuk beristirehat petang itu. Seusai solat Asar dan bacaan ma’thurat, terasa badan sudah mula bertenaga, aku mengambil keputusan untuk keluar berjalan-jalan sekitar Medan Abduh Basya untuk mencari makanan bagi perutku yang meminta-minta diisi dengan makanan Arab. Barangkali indera rasaku sudah bosan dengan makanan yang disediakan di Kafe Dewan Malaysia Abbasiyah. Bosan, bukan bermakna tak bersyukur, tapi fitrah manusia ku kira, kadang-kadang mahu mencuba sesuatu yang lain. Keluar tanpa musyrif atau musyrifah petang ini, satu tindakan berani yang disepakati aku, kak wani dan kak ila. Bagus juga begini, jika kami ditemani musyrif atau musyrifah, kami mungkin tak akan tertolak untuk bermuhadathah kerana ada penterjemahnya.

Petang itu, aku bersama Kak Wani dan Kak Ila melangkah keluar dari Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau lebih popular dengan nama Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) dan memilih jalan belakang melalui Hospital Tibah, mencari Family Market yang pernah kami nampak dari dalam bas ketika pulang dari Masjid al-Azhar. Malangnya tersalah memilih jalan, sepatutnya untuk ke Family Market, kami harus memilih jalan yang selari dengan pintu masuk ARMA. Kami memilih untuk singgah di kedai mama yang nampak tersusun ketika berpatah balik. Aku mencari sos cili untuk memenuhi selera melayuku yang sukakan pedas, hampa, tiada, aku hanya harus berpuas hati dengan Sos HEINZ yang dicampur sedikit dengan filfil dengan bahan utamanya adalah tomatim. Kak wani mencari sabun basuh kain. Menjenguk-jenguk peti sejuk kedai Mama, membuatkan aku kecur liur melihat Zabadi jenama Beyti perisa farwalah, aku mencari-cari perasa manju kegemaranku, tiada. Kak wani memilih mengambil farwalah, oleh kerana farwalah saja yang menarik perhatianku daripada buah khuh dan perisa asli, aku mengambil farwalah juga. Aku menjenguk-jenguk bahagian makanan ringan, dan tanganku mencapai Corntos perasa Jubnah, ala-ala twisties perasa keju.

Bikam?”, tanyaku kepada mama yang menjaga kaunter bayaran.

Sittah wa nus”, 6.5 junaih atau dalam bahasa ’amminya geneh, bersamaan dengan 3.90 ringgit Malaysia. Hmm..murah..untuk sos, zabadi dan juga keropok yang ku beli.

Bikam?” giliran kak wani membayar.

Talatah, khomsah wa sab’un” mama menjawab.

”Hah, bikam?” kak wani mengulangi. Ada riak terkejut diwajahnya.

Talatah, khomsah wa sab’un” ammu pula menjawab.

”Alamak, habislah, akak kena tipu” bisik kak wani sambil menghulur 100 geneh pada ammu.

Bikam?”, aku pula yang bertanya.

Talatah, khomsah wa sab’un”, dengan nada yang sama mama menjawab, sambil menghulur duit baki.

”Laa...talatah khomsah wa sab’un tu 3.75 geneh rupanya.” mencicit aku dan kak wani ketawa setelah membilang duit baki 96.15 geneh di tangan. Aku pun terasa kak wani telah ditipu apabila mendengar khomsah wa sab’un. Maklumlah, kami dipesan berkali-kali oleh ikhwah dan akhawat di sini agar berhati-hati supaya tak ditipu. Rupa-rupanya deria pendengaran kami yang masih belum cekap menangkap bilangan dalam bahasa arab, tambahan pula sudah menjadi kebiasaan orang arab bercakap laju.

”Kenapa?” soal Kak Ila kehairanan. Kak Ila hanya menunggu di luar ketika kami membeli tadi.
Aku pun menceritakan apa yang terjadi.

”Nak pegi mana plak pasni?” Aku mengutarakan soalan sambil melihat jam di tangan. Jam sudah menunjukkan 6.40 petang. Bermakna sebelum masuk waktu maghrib, kami punyai kurang lebih sejam untuk berjalan-jalan.

”Jom pegi Kedai Tarbusy” Kak ila bersuara.

”Jom!” serentak aku dan kak wani menjawab. Tarbusy merupakan kedai yang menjual roti, kek dan pastry. Kali pertama kami ke kedai itu sewaktu menemani Hasnor mencari kasut sandal menggantikan kasutnya yang rosak, Ustaz Mohammad, ketua daurah dan sahabatnya Exco ARMA kalau tak salah, menjadi musyrif ketika itu.

Dari kedai mama tadi, kami menghala ke arah ARMA dan mengambil simpang kiri melalui kedai ammu yang paling hampir dengan ARMA, selepas melalui pejabat pos, kami melintasi jalan ke arah kiri untuk ke kedai Tarbusy. Melalui dajaj kentucky (KFC) membuatkan aku teringat pada Ana, yang sungguh teruja tiap kali ternampak dajaj kentucky, tetapi misi boikot barangan Israel tetap kemas dipegang, jika di Malaysia, ramai mengatakan yang KFC diambil alih oleh J corporotion. Tetapi di Mesir, corporotion apa pula?. Terkenang sahabat-sahabat di Palestin. Kita tak akan mati jika tidak meneguk Coca cola, sedangkan sahabat kita di Palestin mati disebabkan kita yang meneguk Coca cola. Kita mungkin akan mati dek kerana kadar kolesterol yang tinggi dalam makanan KFC, tetapi sahabat-sahabat kita di Palestin mati disebabkan kita menjamah KFC untuk menghilangkan rasa lapar. Duhai ummah, kemana hilangnya rasa kasihmu pada saudaramu sendiri.

”Nak beli apa?”, Kak Wani menyoal.

”Piza”, jawabku laju teringatkan piza yang dibawa oleh Mardhiah semalam ketika menziarahi kami sebilik. Sedap, dalamnya diisi daging seperti murtabak, luarnya pula ditabur keju, daging cincang dan cendawan butang. Sebenarnya Mardhiah membawakan piza itu untuk sahabat lama beliau Ana dan Huda, tapi akulah yang paling banyak menjamah piza tersebut. Hehe. Biasalah. Hantu makan. Sakit macamanapun tekak ini, untuk makanan, semuanya beres.

”Ala, takdela piza macam Mardhiah bawak semalam, hmm...beli biskutlah, akak beli apa?

”Akak nak beli biskut batang kayu tulah” balas kak wani sambil menapak masuk ke bahagian dalam kedai.

Bikam?”

Kilo, arba’ah wa ’isyrun” terang pemuda arab yang menjaga kedai pada kak wani.

’Izza rubu’ ” balas kak wani, gemar benar dia dengan biskut yang panjang-panjang seperti ranting kayu itu, luarnya disalut sim-sim dan juga habbatus sauda’. Keras ala-ala biskut lutut yang menjadi kegemaran wanita dalam pantang di Malaysia. Cuma, rasanya lebih pelbagai, ada yang rasa rempah, keju, dan sebagainya. Nama sebenar biskut itu, tak berjaya untuk kami ketahui, sebab, bila ditanya, dan dijawab, kami hanya mengiyakan sedangkan apa yang diberitahu pun tidak kami fahami.

Aku memerhati satu demi satu biskut-biskut di situ dan akhirnya aku tertarik pada biskut arab yang ditabur badam cincang diluarnya.

Bikam ?” giliran aku bermuhadathah, walaupun bahasa ’ammi, tapi kira praktikal jugalah. Teringat pesanan Dr. Hablas, agar kami selalu ke kedai untuk berlatih bermuhadathah.

Kilo, sittah wa talatin” pemuda itu menjawab.

” Em..’izza rubu’ ”, mintaku

Rubu’?”

Na’am, rubu’ ”, ”ish..nape, takleh beli rubu’ ke?” tanyaku pada kak wani.

”Entah, mungkin dia pelik kot, kita asyik mintak rubu’ je. Yela, kita nak rasa je kan”

Pemuda itu tersenyum memandang kami bertiga mengomel sesama kami.

Lau samah! Lau samah!” seorang pekerja dari arah dapur menjerit meminta kami ke tepi kerana dia mahu mengeluarkan rak besi roti-roti yang baru dimasak.

”Wau! Roti panas” aku dan Kak Ila keluar melihat roti-roti yang panas itu. Sementara Kak Wani menunggu di kaunter bayaran.

”Nak pape tak?”

”Nak, nak roti piza tu” aku membalas pertanyaan kak Ila.

”Aaa...’izza haza” kata Kak Ila pemuda yang melayan kami dari awal tadi.

Da?” Haza menjadi da dalam bahasa ’ammi, hazihi menjadi di.

Na’am, bikam wahdah?”

Ithnin geneh wa nus

’Izza ithnin” balas Kak Ila sambil jarinya menunjuk isyarat dua.

Aku dan Kak Wani hanya memerhati, pemuda tadi tersenyum dari tadi, barangkali geli hati dengan cara kami membeli, semuanya dibeli serba sedikit.

” Baiklah lelaki ni, baik dan handsome” Kak Wani bersuara dengan yakin. Cukup untuk didengari pemuda tadi. Makin melebar lah senyuman dia.

” Akak, handsome tu bahasa inggeris la, habislah perasan lelaki tu, huhu”

”A’ahla..lupa plak akak, patutlah dia senyum makin lebar, perasan habisla dia, mesti dia tau kita ni orang baru” Sebenarnya bukanlah mahu memuji sangat, walaupun benar wajah pemuda itu iras penasyid terkenal Sami Yusuf, tetapi, bila sesekali dilayan baik oleh orang arab terutamanya pekedai, tentu sahaja akan diingati dan dihargai. Kalau baik orangnya, tak handsome pun akan jadi handsome, kalau tak cantik pun akan jadi cantik. Terkenang ketika kami membeli buku di maktabah sekitar Masjid al-Azhar, mula-mula pekedainya melayan kami dengan baik, tetapi bila ada pembeli berbangsa arab yang masuk ke kedainya, terus kami dibiarkan. Itulah sikap orang Arab, kadang-kadang sukar dimengerti.

Jam 7.30 petang, kami berjalan pulang ke ARMA, dalam perjalanan pulang, aku, Kak Wani dan Kak Ila memberi nama baru untuk kedai Tarbusy, kami namakan Kedai Rajul Wasim bersempena dengan ketersasulan Kak Wani memuji pemuda arab tadi. Ketika memasuki pintu ARMA, kami terserempak dengan Kak Ima, kawan Kak Wani dan juga Kak Ila ketika di KUIS yang sedang sarat mengandung bersama dengan suaminya. Kak Ima berhasrat untuk menyewa bilik di ARMA malam itu, tetapi malangnya tiada bilik yang kosong, jadi kami mempelawa Kak Ima untuk tidur di bilik kami, dia bersetuju memandangkan esok pagi dia dan suami perlu bertolak awal ke Zagazig kerana suaminya perlu menduduki imtihan pada keesokan harinya.

Kak Ima dan suaminya meminta diri untuk ke Kafe terlebih dahulu, manakala aku, Kak Wani dan Kak Ila terus melangkah dan mengumpul tenaga untuk terus mendaki anak-anak tangga ke bilik kami yang terletak di aras 6 bangunan siswi. Sepetang berjalan-jalan sekitar Abduh Basya, menambahkan lagi pengalaman berharga dalam diari kehidupanku. Kerana waktu itu kehidupan, setiap saat yang berlalu, takkan ku biarkan ia sia-sia. Rajul wasim...bikam dan rubu’, muradif yang digunakan hari ini.

Senja datang, matahari perlahan-lahan menghilang, menjengah suasana senja dari cermin jendela kamarku, jalan masih sesak, langit mulai suram, lampu-lampu mula menerangi jalan. Masih terharu Allah memberikan aku peluang berada di sini. Bumi Anbiya’, Auliya’ dan para Ulama’, bumi tumpahnya darah Imam Hassan al-Banna, Syed Qutb dan pejuang ikhwan yang lain. Aku tersenyum syukur sambil hati bertahmid dan berdoa, Ya Allah, bantulah aku untuk terus kuat dan tabah dalam menuntut ilmu, menambah thaqafah di dada, buat bekalan dalam memperjuangkan Islam tercinta. Sungguhpun aku mati sebelum sempat melihat Islam gemilang, kuffar kecundang, matikanlah aku dengan jiwa untuk memperjuangkan Islam. Amin.