Showing posts with label mesir. Show all posts
Showing posts with label mesir. Show all posts

Wednesday, February 9, 2011

Negara itu


Negara itu yang ku rindu

Negara itu lubuk ilmu




Negara itu

Bergolak kini

Dek kerana diktator yang mahu terus berkuasa

Si zalim yang hilang rasa malunya

Boneka Israel dan Amerika itu

Belum puas mengumpul harta



Katanya “September ini aku akan berundur”

Tuih! Tekakku meloya

Apa kamu bengap sekali memahami bahasa rakyat

Mereka tak mahu kamu lagi si tua yang zalim!

Menunggu September bagaikan terbakar di nerakamu

Negara itu yang ku rindu

Walau jalan sesak

Walau hidup payah

Tetapi

Di negara itulah aku temui kekuatan

Semangat para anbiya’

Semangat para pejuang Ikhwan

Bagaikan meresap masuk ke sukmaku


Negara itu

Moga ada sinar baru

Buat rakyat yang menderita begitu lama


Negara itu

Semoga aku kan kembali ke sana

Suatu ketika

Yang entahkan bila

.................................

Tintapenuntut87

08022011

Pantai Dalam

Wednesday, February 3, 2010

MEMANDU DI KOTA KAHERAH




Sengaja entri ini ditulis. Melayan rindu pada Bumi Anbiya' yang menebal dalam hati, menyemak kembali fail gambar-gambar tika di sana, terkenang jalan raya Kaherah yang amat sibuk. Kaherah, ibu kota Mesir yang padat dengan manusia. Kaherah dikatakan sebagai bandar paling padat penduduk di Benua Afrika. Kaherah juga digelar sebagai "Kota Seribu Menara". Dengan populasi 6.8 juta penduduk pada keluasan 214 kilometer persegi, tidak hairanlah mengapa jalan raya di Kota Kaherah menghadapi masalah kesesakan hampir setiap masa.

Setiap hari ke Kuliyyah Darul 'Ulum, kami menaiki tremco yang disewa khas bagi memudahkan perjalanan kami. Tremco adalah salah satu daripada pengangkutan awam yang terdapat di Mesir. Antara pengangkutan awam lain ialah, Metro, Teksi, dan juga Bas. Hari pertama menaiki Tremco adalah ketika kami ke Universiti Kaherah untuk berjumpa dengan Dr. Hassan Basri dan juga ke Kuliyyah Darul 'Ulum untuk menduduki peperiksaan Mustawa Lughah. Hari pertama, saat masing-masing masih kebingungan di negara orang kami bertambah bingung melihat jalan raya Kota Kaherah yang sangat "caca-merba". Seolah-olah tiada peraturan jalan raya, laluan yang sepatutnya hanya membolehkan sebuah kereta melaluinya, terkadang lima kereta berderetan selamba. Jarak antara kenderaan dengan kenderaan sangat dekat. Lebih memburukkan keadaan ialah cara pemanduan pemandu tremco kami yang suka memecut dan suka berhenti mengejut. Hari pertama, sahabat saya Suhaizana, tak dapat menahan rasa loyanya, dan akhirnya dia pun "...................."

Sepanjang satu bulan di Kaherah, tidak pernah sekalipun saya melihat lampu isyarat menyalakan lampu merah atau hijau, kerana lampu isyarat sentiasa memancarkan lampu kuning sebagai tanda berjaga-jaga. Uniknya jalan raya di Kaherah bukan sekadar dipenuhi kenderaan bermotor tetapi binatang-binatang seperti unta, kuda dan baghal juga masih digunakan sebagai kenderaan untuk membantu manusia.

Sepanjang perjalanan pergi ke Universiti Kaherah, saya suka memandang jauh ke luar, melihat setiap inci pemandangan yang terbentang di depan mata. Walaupun jalannya sesak, banyak yang boleh dipelajari. Melihat ibu mengendong anak, melihat si ayah yang bersungguh-sungguh bekerja, melihat masyarakat arab yang turut sama terjajah dengan "ghazwatul-fikr" serangan Barat.

Walaupun jalan raya Kaherah amat sesak dan amat mencabar, terbit juga keinginan dalam hati mahu merasa pengalaman memandu di Kota yang sesak itu. Hmmm...bagaimana ya?

Tremco yang dibawa 'Ammu Sa'id dan 'ammu Ramadhan

Thursday, July 2, 2009

Mesir : Musibah, Sabar, Redha....



Bismillah...
Sepulangnya dari Bumi Kinanah, ummi menunjukkan natijah imtihan yang tiba di rumah sewaktu aku berada di sana..
Natijah imtihan yang sederhana sahaja...
Kecewa tak perlu diungkapkan....memang itulah natijah yang setimpal dengan usahaku
Tahniah buat sahabat-sahabat lain yang lebih berjaya..
Allah menetapkan rezeki untuk setiap hambanya itu dalam bentuk yang berbeza

13 hari sepulangnya dari bumi kinanah
Rindu yang masih bersarang
Rindu menjamah batotis, syawarma dan ruz billaban
Rindu meneguk ‘asir manju dan burtuqal yang asli
Rindu meneguk syai panas sambil mencecah ‘isy yang keras
Rindu kesesakan Kota Kaherah, bunyi-bunyi hon yang masih terngiang-ngiang di telinga
Rindu Masjid Azhar dan ketenangannya…..
Rindu kamar di ARMA tempat melepaskan lelah..
Walau tak selesa mana, tapi cukup untuk mengajar erti bahawa Musykilah perlu dihadapi dengan Sabar dan Redha...

Rindu Kuliyah Darul Ulum tempat menuntut ilmu
Rindu Dr. Hablas dengan bahasa ‘amminya…quwais giddan..
Rindu Dr. Ibrahim yang tegas....syukran laka ya Duktur....
Rindu Dr. Mustafa yang murah senyuman…’azim….positif orangnya..
Rindu Dr. Salah dan komen-komennya pada tiap kesalahan imlak….mumtaz..pujian diberi kala membaca insya’..

Rindu Dr. Hassan yang bagaikan ayah buat kami semua kala kami bagaikan yatim piatu di rantauan…ketegasannya dalam mendidik…Kasih sayangnya terasa amat…
Rindu ikhwah dan akhawat yang bagaikan abang dan kakak sendiri
Menjaga dan memastikan keperluan kami rapi…
Jazakumullah...Khairal Jaza’..Amiin..

Kerana rindu yang masih bersarang.. terbit dari hati nubariku sebuah puisi yang mungkin tak seindah mana kata-katanya..namun, ia ikhlas dari hati..

Mesir Yang Takkan Ku Lupa


Mesir yang takkan ku lupa
Bumi para Anbiya’, Auliya’ dan juga Ulama’



Matahari terbenam seberang Laut Mediterranean

Mesir yang takkan ku lupa
Bumi yang menambahkan rasa kerdilku sebagai hamba
Pada Tuhan Maha Agung,
Rabbul ’Alamin yang menciptakan keteraturan alam
Melihat matahari terbit dari Puncak Jabal Musa
Merasa peritnya di bawah terik mentari musim panas di Ra’sul Bar
Mengagumi keindahan panorama matahari terbenam dari Laut Mediterranean...
Subhanallah...hati tak berhenti bertasbih mengakui kesucian Rabbul ‘Izzah

Mesir yang takkan ku lupa,
Bingit dan sesak Kota Kaherah
Melihat kuda, baghal dan terkadang unta di atas jalan raya,
Melihat ‘Isy yang keras dijamah begitu sahaja,
Melihat bas, coaster dan tremco yang sentiasa sesak dengan manusia,
Alhamdulillah..kerana kau berikan aku kehidupan yang selesa..
Melihat Quran di baca tak kira tempat dan masa,
Astaghfirullah..ampuni aku yang sering lalai dan leka..

Mesir yang takkan ku lupa,
Kuliyyah Darul ’Ulum tempatku mencari butiran mutiara,
Bahasa Al-Quran yang semakin ku lupa,
Bangga bercampur terharu,
DiizinkanNya menjadi sebahagian anak-anak Darul ‘Ulum,
Tempat Asy Syahid Syed Qutb dan Imam Hassan al-Banna menimba Ilmu,
Ya Allah..kuatkan aku sebagaimana kau kuatkan mereka di jalan Dakwah...



Di Jami' Al-Azhar

Mesir yang takkan ku lupa,
Bumi yang bagaikan lubuk ilmu bagi pemburunya,
Bumi penyubur cintaku pada ilmu,
Terkenang manisnya menadah kitab, menambah ilmu dalam damai Jami’ Al-Azhar,
Teringat kata Imam Waqi’ pada muridnya ; Ilmu itu cahaya,
Justeru, aku ingin sentiasa menjadi pencintanya
Agar kegelapan meluntur dari hatiku..


Mesir yang takkan ku lupa,
Bumi yang banyak Musibah dan Musykilahnya
Menuntut Sabar di setiap hati penghuninya
Dalam mencari Rahmah dan Redha Ilahi dipenghujungnya..


Friday, June 26, 2009

Rajul wasim...bikam...rubu'

Langit Kota Kaherah membiru tanpa tompokan awan yang memutih menandakan musim panas mula menjenguk bumi Mesir. Bahangnya terasa amat, sinaran mentari bagaikan menyelinap masuk ke segenap liang roma. Sinaran ultra lembayung membawa radikal bebas yang merbahaya itu barangkali tidak dapat dihalang walau memakai krim pelindung UV SPF 60. Kulit yang cerah kian menggelap, kulitku yang sedia gelap bertambah-tambah gelap. Debu Kota Kaherah menerobos masuk ke rongga hidungku tanpa segan silu, mujur Allah menciptakan rerambut di dalam rongga hidung ini untuk menapis debuan ini dari terus masuk ke saluran pernafasan. Sungguh, Allah Maha Bijaksana. Manusia sahaja yang bongkak tak mahu mengikut perintahNya. Ana, Huda dan ’Aishah mengikut Mardhiah sahabat lama mereka di SAM KKB dulu yang kini merupakan penuntut Al-Azhar ke Hayyu el- Sabi’, ziarah Markas PMRAM dan juga ke Darussalam membeli kitab-kitab untuk digunakan semester hadapan. Hajat hati mahu turut serta, memang itu yang dirancang dari semalam, tapi, dek kerana suhu badanku yang bukan lagi di paras normal, ditambah dengan hidung yang tersumbat dan tonsel yang masih membengkak, membuatkan aku memilih untuk beristirehat petang itu. Seusai solat Asar dan bacaan ma’thurat, terasa badan sudah mula bertenaga, aku mengambil keputusan untuk keluar berjalan-jalan sekitar Medan Abduh Basya untuk mencari makanan bagi perutku yang meminta-minta diisi dengan makanan Arab. Barangkali indera rasaku sudah bosan dengan makanan yang disediakan di Kafe Dewan Malaysia Abbasiyah. Bosan, bukan bermakna tak bersyukur, tapi fitrah manusia ku kira, kadang-kadang mahu mencuba sesuatu yang lain. Keluar tanpa musyrif atau musyrifah petang ini, satu tindakan berani yang disepakati aku, kak wani dan kak ila. Bagus juga begini, jika kami ditemani musyrif atau musyrifah, kami mungkin tak akan tertolak untuk bermuhadathah kerana ada penterjemahnya.

Petang itu, aku bersama Kak Wani dan Kak Ila melangkah keluar dari Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau lebih popular dengan nama Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) dan memilih jalan belakang melalui Hospital Tibah, mencari Family Market yang pernah kami nampak dari dalam bas ketika pulang dari Masjid al-Azhar. Malangnya tersalah memilih jalan, sepatutnya untuk ke Family Market, kami harus memilih jalan yang selari dengan pintu masuk ARMA. Kami memilih untuk singgah di kedai mama yang nampak tersusun ketika berpatah balik. Aku mencari sos cili untuk memenuhi selera melayuku yang sukakan pedas, hampa, tiada, aku hanya harus berpuas hati dengan Sos HEINZ yang dicampur sedikit dengan filfil dengan bahan utamanya adalah tomatim. Kak wani mencari sabun basuh kain. Menjenguk-jenguk peti sejuk kedai Mama, membuatkan aku kecur liur melihat Zabadi jenama Beyti perisa farwalah, aku mencari-cari perasa manju kegemaranku, tiada. Kak wani memilih mengambil farwalah, oleh kerana farwalah saja yang menarik perhatianku daripada buah khuh dan perisa asli, aku mengambil farwalah juga. Aku menjenguk-jenguk bahagian makanan ringan, dan tanganku mencapai Corntos perasa Jubnah, ala-ala twisties perasa keju.

Bikam?”, tanyaku kepada mama yang menjaga kaunter bayaran.

Sittah wa nus”, 6.5 junaih atau dalam bahasa ’amminya geneh, bersamaan dengan 3.90 ringgit Malaysia. Hmm..murah..untuk sos, zabadi dan juga keropok yang ku beli.

Bikam?” giliran kak wani membayar.

Talatah, khomsah wa sab’un” mama menjawab.

”Hah, bikam?” kak wani mengulangi. Ada riak terkejut diwajahnya.

Talatah, khomsah wa sab’un” ammu pula menjawab.

”Alamak, habislah, akak kena tipu” bisik kak wani sambil menghulur 100 geneh pada ammu.

Bikam?”, aku pula yang bertanya.

Talatah, khomsah wa sab’un”, dengan nada yang sama mama menjawab, sambil menghulur duit baki.

”Laa...talatah khomsah wa sab’un tu 3.75 geneh rupanya.” mencicit aku dan kak wani ketawa setelah membilang duit baki 96.15 geneh di tangan. Aku pun terasa kak wani telah ditipu apabila mendengar khomsah wa sab’un. Maklumlah, kami dipesan berkali-kali oleh ikhwah dan akhawat di sini agar berhati-hati supaya tak ditipu. Rupa-rupanya deria pendengaran kami yang masih belum cekap menangkap bilangan dalam bahasa arab, tambahan pula sudah menjadi kebiasaan orang arab bercakap laju.

”Kenapa?” soal Kak Ila kehairanan. Kak Ila hanya menunggu di luar ketika kami membeli tadi.
Aku pun menceritakan apa yang terjadi.

”Nak pegi mana plak pasni?” Aku mengutarakan soalan sambil melihat jam di tangan. Jam sudah menunjukkan 6.40 petang. Bermakna sebelum masuk waktu maghrib, kami punyai kurang lebih sejam untuk berjalan-jalan.

”Jom pegi Kedai Tarbusy” Kak ila bersuara.

”Jom!” serentak aku dan kak wani menjawab. Tarbusy merupakan kedai yang menjual roti, kek dan pastry. Kali pertama kami ke kedai itu sewaktu menemani Hasnor mencari kasut sandal menggantikan kasutnya yang rosak, Ustaz Mohammad, ketua daurah dan sahabatnya Exco ARMA kalau tak salah, menjadi musyrif ketika itu.

Dari kedai mama tadi, kami menghala ke arah ARMA dan mengambil simpang kiri melalui kedai ammu yang paling hampir dengan ARMA, selepas melalui pejabat pos, kami melintasi jalan ke arah kiri untuk ke kedai Tarbusy. Melalui dajaj kentucky (KFC) membuatkan aku teringat pada Ana, yang sungguh teruja tiap kali ternampak dajaj kentucky, tetapi misi boikot barangan Israel tetap kemas dipegang, jika di Malaysia, ramai mengatakan yang KFC diambil alih oleh J corporotion. Tetapi di Mesir, corporotion apa pula?. Terkenang sahabat-sahabat di Palestin. Kita tak akan mati jika tidak meneguk Coca cola, sedangkan sahabat kita di Palestin mati disebabkan kita yang meneguk Coca cola. Kita mungkin akan mati dek kerana kadar kolesterol yang tinggi dalam makanan KFC, tetapi sahabat-sahabat kita di Palestin mati disebabkan kita menjamah KFC untuk menghilangkan rasa lapar. Duhai ummah, kemana hilangnya rasa kasihmu pada saudaramu sendiri.

”Nak beli apa?”, Kak Wani menyoal.

”Piza”, jawabku laju teringatkan piza yang dibawa oleh Mardhiah semalam ketika menziarahi kami sebilik. Sedap, dalamnya diisi daging seperti murtabak, luarnya pula ditabur keju, daging cincang dan cendawan butang. Sebenarnya Mardhiah membawakan piza itu untuk sahabat lama beliau Ana dan Huda, tapi akulah yang paling banyak menjamah piza tersebut. Hehe. Biasalah. Hantu makan. Sakit macamanapun tekak ini, untuk makanan, semuanya beres.

”Ala, takdela piza macam Mardhiah bawak semalam, hmm...beli biskutlah, akak beli apa?

”Akak nak beli biskut batang kayu tulah” balas kak wani sambil menapak masuk ke bahagian dalam kedai.

Bikam?”

Kilo, arba’ah wa ’isyrun” terang pemuda arab yang menjaga kedai pada kak wani.

’Izza rubu’ ” balas kak wani, gemar benar dia dengan biskut yang panjang-panjang seperti ranting kayu itu, luarnya disalut sim-sim dan juga habbatus sauda’. Keras ala-ala biskut lutut yang menjadi kegemaran wanita dalam pantang di Malaysia. Cuma, rasanya lebih pelbagai, ada yang rasa rempah, keju, dan sebagainya. Nama sebenar biskut itu, tak berjaya untuk kami ketahui, sebab, bila ditanya, dan dijawab, kami hanya mengiyakan sedangkan apa yang diberitahu pun tidak kami fahami.

Aku memerhati satu demi satu biskut-biskut di situ dan akhirnya aku tertarik pada biskut arab yang ditabur badam cincang diluarnya.

Bikam ?” giliran aku bermuhadathah, walaupun bahasa ’ammi, tapi kira praktikal jugalah. Teringat pesanan Dr. Hablas, agar kami selalu ke kedai untuk berlatih bermuhadathah.

Kilo, sittah wa talatin” pemuda itu menjawab.

” Em..’izza rubu’ ”, mintaku

Rubu’?”

Na’am, rubu’ ”, ”ish..nape, takleh beli rubu’ ke?” tanyaku pada kak wani.

”Entah, mungkin dia pelik kot, kita asyik mintak rubu’ je. Yela, kita nak rasa je kan”

Pemuda itu tersenyum memandang kami bertiga mengomel sesama kami.

Lau samah! Lau samah!” seorang pekerja dari arah dapur menjerit meminta kami ke tepi kerana dia mahu mengeluarkan rak besi roti-roti yang baru dimasak.

”Wau! Roti panas” aku dan Kak Ila keluar melihat roti-roti yang panas itu. Sementara Kak Wani menunggu di kaunter bayaran.

”Nak pape tak?”

”Nak, nak roti piza tu” aku membalas pertanyaan kak Ila.

”Aaa...’izza haza” kata Kak Ila pemuda yang melayan kami dari awal tadi.

Da?” Haza menjadi da dalam bahasa ’ammi, hazihi menjadi di.

Na’am, bikam wahdah?”

Ithnin geneh wa nus

’Izza ithnin” balas Kak Ila sambil jarinya menunjuk isyarat dua.

Aku dan Kak Wani hanya memerhati, pemuda tadi tersenyum dari tadi, barangkali geli hati dengan cara kami membeli, semuanya dibeli serba sedikit.

” Baiklah lelaki ni, baik dan handsome” Kak Wani bersuara dengan yakin. Cukup untuk didengari pemuda tadi. Makin melebar lah senyuman dia.

” Akak, handsome tu bahasa inggeris la, habislah perasan lelaki tu, huhu”

”A’ahla..lupa plak akak, patutlah dia senyum makin lebar, perasan habisla dia, mesti dia tau kita ni orang baru” Sebenarnya bukanlah mahu memuji sangat, walaupun benar wajah pemuda itu iras penasyid terkenal Sami Yusuf, tetapi, bila sesekali dilayan baik oleh orang arab terutamanya pekedai, tentu sahaja akan diingati dan dihargai. Kalau baik orangnya, tak handsome pun akan jadi handsome, kalau tak cantik pun akan jadi cantik. Terkenang ketika kami membeli buku di maktabah sekitar Masjid al-Azhar, mula-mula pekedainya melayan kami dengan baik, tetapi bila ada pembeli berbangsa arab yang masuk ke kedainya, terus kami dibiarkan. Itulah sikap orang Arab, kadang-kadang sukar dimengerti.

Jam 7.30 petang, kami berjalan pulang ke ARMA, dalam perjalanan pulang, aku, Kak Wani dan Kak Ila memberi nama baru untuk kedai Tarbusy, kami namakan Kedai Rajul Wasim bersempena dengan ketersasulan Kak Wani memuji pemuda arab tadi. Ketika memasuki pintu ARMA, kami terserempak dengan Kak Ima, kawan Kak Wani dan juga Kak Ila ketika di KUIS yang sedang sarat mengandung bersama dengan suaminya. Kak Ima berhasrat untuk menyewa bilik di ARMA malam itu, tetapi malangnya tiada bilik yang kosong, jadi kami mempelawa Kak Ima untuk tidur di bilik kami, dia bersetuju memandangkan esok pagi dia dan suami perlu bertolak awal ke Zagazig kerana suaminya perlu menduduki imtihan pada keesokan harinya.

Kak Ima dan suaminya meminta diri untuk ke Kafe terlebih dahulu, manakala aku, Kak Wani dan Kak Ila terus melangkah dan mengumpul tenaga untuk terus mendaki anak-anak tangga ke bilik kami yang terletak di aras 6 bangunan siswi. Sepetang berjalan-jalan sekitar Abduh Basya, menambahkan lagi pengalaman berharga dalam diari kehidupanku. Kerana waktu itu kehidupan, setiap saat yang berlalu, takkan ku biarkan ia sia-sia. Rajul wasim...bikam dan rubu’, muradif yang digunakan hari ini.

Senja datang, matahari perlahan-lahan menghilang, menjengah suasana senja dari cermin jendela kamarku, jalan masih sesak, langit mulai suram, lampu-lampu mula menerangi jalan. Masih terharu Allah memberikan aku peluang berada di sini. Bumi Anbiya’, Auliya’ dan para Ulama’, bumi tumpahnya darah Imam Hassan al-Banna, Syed Qutb dan pejuang ikhwan yang lain. Aku tersenyum syukur sambil hati bertahmid dan berdoa, Ya Allah, bantulah aku untuk terus kuat dan tabah dalam menuntut ilmu, menambah thaqafah di dada, buat bekalan dalam memperjuangkan Islam tercinta. Sungguhpun aku mati sebelum sempat melihat Islam gemilang, kuffar kecundang, matikanlah aku dengan jiwa untuk memperjuangkan Islam. Amin.