Monday, September 19, 2011

Aduh duh duh duh


Sepagi perah otak nak buat ayat................



suddenly........ library gulap gulita...............




Bila tak sempat save....bateri pulak rosak....
Rasa macam.................uhuhuhh

Jangan minta hidup yang mudah...tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya

Bertabahlahhhhh sumaiyah...problem kicik saje...buat je lain.........perah otak banyak kali pun bukan otak tu boleh kering kan...... kan .......... kan....................


Monday, August 29, 2011

Salam Lebaran


Salam 'eid al-fitr. Selamat kembali kepada fitrah. Kembali kepada fitrah iaitu yang pertama, kembali makan dan minum seperti sebelum ramadhan dan paling bermakna sebagaimana sabda Baginda s.a.w, yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, "Allah Maha Agung mewajibkan puasa Ramadhan dan sunatkan solat pada malam harinya, sesiapa berpuasa dan solat malam dengan mengharapkan pahala keredhaan Allah, dia keluar dari dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya ". Inilah fitrah, kembali suci. Semoga amal ibadat dibulan ramadhan ini dapat kita istiqamahkan pada bulan-bulan akan datang dan menjadi kebiasaan kita sebagai muslim yang mukmin, insyaAllah.


Tersenyum nenda di tepi jendela,
Melihat cucunda riang gembira,
Dalam sibuk menjelang raya,
Zakat fitrah usahlah dilupa.

Fajar syawal sinarnya mampir,
Seisi alam menyambut ceria,
Bergema alam bersahut takbir,
Tanda kemenangan dirai bersama.

Salam eid al-fitr ..kullu 'am wa antum bikhair..taqabbalallah minna wa minkum..semoga Allah menerima amal kebajikan kita...amin..: )


Monday, August 22, 2011

Belasungkawa - Azizi Abdullah



Saya mula 'jatuh cinta' dengan karya beliau lewat novel kugapai cintamu suriati. Kelmarin, saat ralit menekuni tesis, kak niswa, teman serumah memanggil saya "Mayah, Azizi Abdullah meninggal". Terkedu. Allah Allah Allah. Saya ke biliknya, "betul ke kak Niswa?" dalam pilu menahan air mata, saya membaca berita itu melalui facebook kak niswa, betul, kata hati saya. Pagi ini, saya membaca lagi di bernama http://www.bernama.com/bernama/v5/newsgeneral.php?id=609411. Ya, benar, Allah memanggilnya kembali di bulan yang mulia ini. Subhanallah. Insan yang mulia, kembali ke pangkuan Pencipta di bulan yang mulia.

Saya peminat setia beliau, sentiasa menunggu kiriman-kiriman terbaru di blog beliau. Tidak ramai penulis yang berani menyuarakan rasa dan mengancam yang batil. Hanya segelintir. Tetapi, patah tumbuh hilang berganti, buat generasi penulis muda, moga kalian tidak gentar menyuarakan yang hak lewat penulisan kalian. Usah khuatir, akan ada insan-insan seperti saya yang sentiasa menyokong.

Novel beliau yang masih belum habis dibaca, The Old Man at the foot of mountain atau seorang tua di kaki gunung akan cuba saya dalami dan ambil iktibar darinya. Saya akan terus mengumpul novel-novel beliau. Bukan sebarang puitis, bukan novel cinta yang hanya membuatkan asyik, tetapi lewat setiap cerita ada pengajaran yang mengajar, cerita tentang hidup!

Mati. Dua minggu sebelum Ramadhan, umi menelefon, memberi khabar ada saudara-mara meninggal dunia. Ya, setiap saat ada insan yang dipanggil kembali, cuma yang membezakan apabila insan yang dipanggil itu kita kenali dan sayangi, dukanya menggugah jiwa, moga juga menginsafkan. Agar sentiasa bersedia menunggu saat itu tiba.

Semoga roh Tukya dirahmati. Apabila mati anak Adam, tiga perkara yang tidak terputus, anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang dicurahkanmu sangat bermanfaat. Berbahagialah di sana. Semoga Allah merahmatimu.

Al-Fatihah.

Thursday, August 18, 2011

Trivia Ramadhan

Bismillah.. Sedar tak sedar, ramadhan sudah di akhir penggal kedua, lagi 2 hari, kita akan memasuki fasa itqun min al-nar, dibebaskan dari api neraka ..hidupkan malam di 10 malam terakhir, tahajjud, membaca al-Qur'an, mudah-mudahan kita bertemu dengan malam al-Qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Ya Allah, selamatkanlah aku, ibu bapaku, ahli keluargaku dan semua orang yang aku sayangi dari api nerakaMu yang tak tertanggung azabnya...amiin..

Semalam, telah berlangsung majlis sambutan Nuzul al-Qur'an di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, yang melibatkan semua warga akademi. Saya juga turut serta, walau sudah bukan bergelar warga akademi tetapi masih mahu mengaku warga akademi. Majlis ini menemukan kembali dengan sahabat-sahabat lama yang telah mengkhusus dalam bidang sains untuk kajian sarjana mereka. Kami berbual sekitar perkembangan tesis masing-masing. Tegang. Memikirkan tesis membuatkan letih berpuasa itu berganda. Kami bertukar topik, sembang santai. Seorang sahabat, Remy, bertanya :

"Siapa tahu, kenapa al-Qur'an yang kita baca hari ni mula dengan al-fatihah dan berakhir dengan al-ikhlas? Sedangkan Surah al-Alaq dulu yang diturunkan?"

"Tak tahu" jawab saya

"Kenapa?" tanya yang lain.

"Sebab.....inilah bacaan Rasulullah s.a.w bersama Jibril a.s dalam bulan Ramadan"

Itu yang pertama. Kedua, "Kenapa kurma dijadikan makanan sunnah?"

"Sebab kurma banyak khasiat, dan ada kajian yang buktikan yang kurma ni boleh jadi best food for the future, kurma ada karbohidrat kompleks yang lambat diurai dan membuatkan orang yang makan kurma boleh tahan lapar, sebab tu nabi kata keberkatan sahur pada kurma" jawab saya panjang lebar, maklumlah, ini memang kajian saya.

"Bukan" kata Remy

"Em..sebab, ada hadith Nabi s.a.w kata orang mukmin sama dengan pokok kurma" saya meneka.

"Salah, lagi...lagi" jawab Remy.

"Tak tahu" jawapan mengalah saya berikan.

"Sebab. Kurma buah yang tahan lama. Kurma tahan 2-3 tahun dan boleh dieksport ke seluruh dunia, negara yang tak boleh tumbuh kurma pun boleh dapat makan kurma. Kurma memang jenis buah yang kering. Bayangkan kalau durian, rambutan atau betik dijadikan makanan sunnah, kesian negara lain tak dapat pahala makan makanan sunnah, sampai-sampai dah busuk!"

"Tak setuju" saya membantah.

"Habis tu kenapa kismis bukan makanan sunnah, kismis pun kering juga" tambah saya.

"Tapi kismis asalnya anggur, dan proses pengeringan itu adalah proses yang berbeza, perlu dikeringkan secara semulajadi menggunakan cahaya matahari ataupun oven-heating, begitu juga buah-buahan kering yang lain, proses pengeringan berbeza. Kurma memang tahap kematangannya sehingga kering".

"Ya, betul" setuju saya dalam rasa malu yang menebal dan berkata dalam hati (aku yang kaji kurma, dia yang lebih tahu, kalau viva, confirm fail master aku ni)

Sebelum kami bubar untuk pergi ke Balai Ilmu untuk mendengar ceramah sempena Nuzul al-Qur'an oleh Prof Dr. Ab Aziz Mat Zain. Remy mengajak kami menghayati Surah al-Mulk. Subhanallah. Surah yang dibaca sebelum tidur saban malam, baca hanya sekadar dimulut, sedikitpun tak pernah merasa gerun dihati kerana tidak menghayati maksudnya. Mari kita hayati. Allahu Akbar.


Monday, August 15, 2011

Andai Rasulullah s.a.w Bersama Kita





Andai Nabi s.a.w bersama kita. Rancangan ini boleh ditonton di TV al-Hijrah ataupun di youtube sahaja bagi yang tidak mendapat siaran TV al-Hijrah.. : ).. Subhanallah. Rancangan yang sangat menarik.

Cintanya baginda pada kita, umatnya sehinggakan kita disebut saat baginda berhadapan dengan ajal yang menjemput...ummati..ummati...ummati...

Terimalah kami sebagai umatmu ya Rasulullah....

Allahumma solli 'ala Saidina Muhammad wa 'ala ali Saidina Muhammad..

Friday, August 12, 2011

3 R : Ramadhan, Research and ....

Ramadhan

Ramadhan= Race. Berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Terlalu banyak keistimewaan bulan Ramadhan. Ada solat sunat terawih, ada sahur, ada berbuka puasa, ada malam al-Qadar dan bulan Ramadhan merupakan bulan al-Qur'an diturunkan. Subhanallah. Maha Suci Allah dan Maha Pemurahnya Allah. Diciptakan satu bulan yang khusus untuk hambaNya menambah pahala. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mahu merebut pahala.


Dari kecil kita dibiasakan dengan solat sunat terawih, terkenang ketika berada di zaman kanak-kanak, saya dan kakak selalu mengikut ayah ke masjid. Dahulu, tujuan utama saya mengikut ayah ke masjid, bukanlah untuk solat terawih, tetapi lebih kepada mahu berjumpa kawan dan makan moreh. Kakak saya tekun dengan 8 rakaat atau 20 rakaat terawihnya. Saya pula, kadang-kadang 8 rakaat dan kadang-kadang 2 rakaat sahaja (supaya senang menjawab soalan ayah). Apabila ayah bertanya, "Buat terawih tak?", mudah untuk saya jawab "buat" (dalam hati..janganla tanya berapa rakaat buat), "Alhamdulillah..." kata ayah sambil tersenyum..dan tika itu, mula timbul rasa bersalah dalam hati. Sementara menunggu jemaah selesai menunaikan solat terawih untuk makan moreh bersama-sama, biasanya saya akan bermain batu seremban, ataupun main hantu-hantu bersama kawan-kawan. Oh!! Begitulah zaman kanak-kanak. Kadang-kadang apabila kami 'malas' mengikut ayah, kami tetap di'paksa' terawih di rumah. Ayah sanggup lewat ke masjid semata-mata mahu mengimamkan kami terawih di rumah terlebih dahulu. Selalunya saya dan kakak akan kenakan syarat pada ayah "Abun jangan baca lambat-lambat". "Ok, abun baca fatihah sambung-sambung", syarat kedua, "Abun jangan baca surah panjang-panjang", "ok, abun baca qulhuwallah saja", kami berdua tiada alasan lagi untuk bermalas-malas dan jawapannya "ok". Tetapi, malas itu tidak terhenti di situ, "kakak, kakak amik wuduk dulu", "mayah la dulu", dan kami akan berhenti bertolak-tolak siapa yang dulu apabila ayah mengetap bibir dan menjegilkan mata dan waktu itu, kedua-dua kami akan 'berebut' mengambil wuduk. Begitulah ramadhan ketika zaman kanak-kanak, sungguh indah walaupun dipenuhi dengan taktik-taktik 'kotor'. Kadang-kadang apabila mengimbas semula kenangan dan fe'el zaman kanak-kanak..saya dan kakak ketawa dan kami sangat bersyukur ibu dan ayah mendidik kami dengan tegas. Alhamdulillah, syukur.

Ramadhan bulan pengampunan. Kita mungkin tidak berpeluang ke Mekah, berdoa di hadapan Baitullah, memohon keampunan Allah, tetapi kita ada sahur dan juga berbuka di dalam bulan ramadhan ini. Antara waktu mustajab untuk berdoa ialah, ketika waktu sahur dan juga sebelum berbuka puasa. Allah s.w.t juga berfirman, bahawa Dia lebih dekat dari urat nadi. Justeru, mari perbanyakkan doa agar menjadi hamba yang taat pada perintahNya, hidup dan mati dalam Iman dan Islam, diberi keampunan dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

Ramadhan=Reciting the Qur'an. Semalam saya bertanya kepada pelajar-pelajar saya , "hari ni, dah 11 hari puasa, siapa yang dah baca 11 juzu' atau lebih?", ada menjawab "tak sempat pun ustazah", "sikit je baru" dan paling menarik ialah jawapan ini "malulah nak mengaku ustazah". Saya hanya tersenyum dan pesan saya "sama-samalah kita cuba banyakkan baca qur'an, korbankan sikit masa, rugi kalau tak rebut peluang ini, terutama lelaki!!". Sejujurnya, saya tidak pernah khatam al-Qur'an dalam bulan ramadhan sebelum ini. Lemah bukan?. Namun, azam ramadhan tahun ini mahu khatam sekurang-kurangnya sekali, bermakna, sehari saya perlu habiskan 2 juzu' dan lebih dan saya mengatur strategi agar berjaya mencapai target yang diletakkan ini. Kita selalu meletakkan target dalam kerjaya, pelajaran dan status kehidupan, tetapi seiringkanlah dengan target dalam meningkatkan amalan. Saya selalu bertanya pada diri sendiri, dalam usia 24 tahun ini, bagaimana solat saya, puasa saya, ibadah saya? Adakah masih seperti zaman kanak-kanak? Terawih masih mahu menipukah? Baca qur'an masih mahu mengelatkah? Solat masih patuk ayam kah? Puasa masih menelan air paip kah? Kita mungkin selalu merasa kurangnya diri, tetapi berusahalah untuk menjadi lebih baik. Kerana orang yang beriman, akan sentiasa memperbaiki diri dan tidak mensia-siakan segala peluang ke arah kebaikan yang terhidang di depan mata.


Research

Ramadhan, juga ruang mencari ilham dalam 'research' ini. Banyak persoalan-persoalan yang membuntukan fikiran saya sebelum ini terjawab dalam ramadhan ini, Alhamdulillah. Syukur. Memilih 'library research' menuntut saya banyak membaca. Terkadang terasa 'geram' melihat buku-buku non-akademik yang tersusun di rak, masih banyak yang belum sempat dibaca. Namun, prioriti pada masa yang tersangat 'suntuk' sekarang ini perlulah diberikan kepada buku akademik. Buku-buku 'non-akademik' pula berfungsi untuk 'release tension' pada sela-sela waktu seperti waktu senja atau ketika bosan mampir mengganggu. Antara ujian yang paling besar ialah buku-buku akademik yang tebalnya lebih dari 2 inci dan tulisannya yang kecil dan rapat-rapat selalu mengundang kantuk, artikel jurnal berbahasa inggeris yang mencecah ratus pula, membuatkan kamus saya hampir lunyai. Tetapi, sungguh bahagia apabila mendapat kefahaman hasil dari pembacaan yang penuh kesabaran ini. Semoga terus dikurniakan sabar dalam menuntut ilmu, kerana saya mahu menjadi penuntut ilmu sepanjang hayat saya. Amiin.

kitab arab yang menyeronokkan ; D (think +ve..huhu)

keserabutan yang tak dapat dibendung lagi..

editing= apa la yang aku buat nih?


Rindu

Ramadhan, mengundang rindu pada Rasulullah. Terkenang kesusahan baginda dalam menyebarkan Islam sehingga kita hari ni menikmati nikmat Iman dan Islam. Selalulah berselawat ke atas baginda, Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhammad wa 'Ala ali Muhammad. Semoga rindu dan cinta pada Rasulullah, mendidik dan menetapkan hati kita agar taat pada perintahnya dan meninggalkan larangannya. Takutlah jika di akhirat kelak, baginda tidak mengaku kita sebagai umatnya. wal'iyazubillah. Terkadang, kita berasa betapa susahnya mahu membuat ketaatan dan kebaikan, tetapi segeralah ingat betapa manisnya iman dan bahagianya kehidupan di syurga yang selamanya berbanding kehidupan di dunia yang kita sendiri tidak tahu, berapa lama lagikah kita akan hidup. Andai esok ajal menjemput, apakah amalan yang akan dibawa sebagai bekal? Ayuh, kita bermuhasabah. Mari bersama 'upgrade' iman dan amal.

Ramadhan, juga rindu mahu berbuka bersama keluarga. Umi, abun, kakak, abang hafiz, imran, aishah dan paling dirinduiiiiiiiiiiiiiiii, Mehdi 'Akif. "Mehdi buat apa tu?" tanya saya. "Di tolong mama buat roti", aduhh..geramnya....selalunya, apabila saya menelefon dia, soalan yang paling suka ditanya "Kholah...kholah naik bas ka?"..hanya kerana dia pernah mengikut kakak dan abang ipar menghantar saya menaiki bas. Berbuka di rumah, tentunya lebih meriah. Masing-masing ada 'wishlist' untuk hidangan berbuka. Tetapi, ingatkanlah diri bahawa berlebih-lebih itu tidak disukai Allah dan ingatlah insan paling hebat iaitu Baginda s.a.w berbuka hanya dengan air dan tamar. Hidup ini indah dan mudah, selagi Rasulullah dijadikan tauladan utama. InsyaAllah.

mehdi teman kholah study (em..macam kacau sebenarnya)..

Rindu pada keluarga atau orang yang dekat tentu tidak sama dengan rindu pada yang jauh. Tak mengapa, Allah tahu hati kita. Apabila rindu itu hadir, berdoalah untuk dia, semoga selamat selalu, diberi kesihatan yang baik, dikuatkan hati, dipermudahkan urusan mencari rezeki, dipelihara iman, akidah dan ibadah. Jauh itu mungkin jauh pada zahir. Tetapi jauh itu terlalu dekat apabila dia sentiasa diingat dalam doa, sujud dan tahajjud. Jauh juga mengajar erti tawakal pada Allah yang merancang, menjaga dan memelihara segalanya. Sentiasalah berdoa. Du'a is the weapon of believer. Doa juga tanda kehambaan, merendah diri pada Pencipta kerana kita tahu segalanya di bawah kekuasaannya.

bon voyage & au revoir.....

***********
Ramadhan sudah masuk ke fasa kedua. Bagaimana graf amalan kita? Ada peningkatankah dari hari pertama hingga hari ini? Lets check ourself.

Ramadhan, teruskan reading, thinking and writing. Cayok mayah! 3 month to go...Allahumma yassir wa la tu'assir...amiin..

Akhir kalam, selamat meneruskan ibadah di bulan ramadhan, semoga beroleh ketaqwaan...amiin..

Wednesday, August 3, 2011

Ramadhan Kareem ..Allahu Akram


Bismillah...pejam celik....sudah 3 hari berada dalam bulan Ramadhan 1432H..begitu cepat masa berlalu...Alhamdulillah...semoga diberi kesempatan untuk bertemu lagi dengan ramadhan yang akan datang....

Semoga ramadhan ini dilalui dengan disiplin yang tinggi, semangat yang kuat, kefahaman yang jitu, dalam perjalanan memperbaiki diri untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa..amiin..

Walau di mana kita berada...di lautan...di daratan...kita menyembah Tuhan yang sama, kita berpegang pada akidah yang sama, semoga iman, akidah, akhlak dan ibadah kita dipelihara oleh Allah...tiada yang lain yang kita impikan, melainkan hidup dan mati dalam iman, dan bertemu kelak di syurga. Selamat berpuasa.

Allahumma bariklana fi haza ramadhan...Allahumma yassir wa la tu'assir wa tammim bil khair....amiin...amiin..amiin...

Monday, August 1, 2011

Tabarruj

Artikel yang sangat bermanfaat buat panduan muslimah, dipetik dari blog Ukhti Fatimah Sharha Http://sebarkanbahagia.blogspot.com/

Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi

Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi di dalam bukunya Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi telah memuatkan gagasan besar Prof. Syeikh. Dr. Yusuf al-Qaradhawi tentang tema penting yang berserakan dalam berbagai buku, ceramah, khutbah, fatwa, tesis dan disertasi beliau.
Pandangan tentang Islam dan wanita disampaikan ke tengah-tengah masyarakat dengan pandangan yang moderat dan komprehensif, jauh dari sikap fanatik yang membabi-buta. Beliau berusaha menyeimbangkan antara ketetapan syariat Islam dengan perubahan zaman, mempertahankan hal-hal lama yang bermanfaat dan menyambut hal-hal baru yang maslahat.

Tabarruj Dalam Fiqih al-Qaradhawi

Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan janganlah kamu berhias dan bertingkah-laku seperti orang-orang jahiliah dahulu.” (Al-Ahzab: 33).
Akhlak wanita muslimah berbeza dengan wanita bukan muslimah atau wanita pada masa sebelum Islam. Wanita muslimah mempunyai akhlak menjaga diri, menjaga kehormatan, dan mempunyai rasa malu. (Akhlak lelaki muslim juga seharusnya begini). Sebaliknya akhlak wanita non-muslimah dan wanita jahiliah berdandan tanpa batas dan tanpa aturan moral.
Erti berdandan di sini ialah: Membiarkan anggota aurat tubuh terbuka dan tampak bebas dilihat oleh mata.
Ilustrasi makna tabaruj yang dilakukan oleh wanita jahiliah dahulu menurut para ulama tafsir iaitu:
  • 1. Bercampur dengan lelaki
  • 2. Berjalan melenggang-lenggokkan tubuh dan genit
  • 3. Mengenakan tudung tetapi tetap menampakkan aurat dan kecantikan tubuh-badannya.
Wanita-wanita pada zaman ini ramai yang melakukan tabarruj ini sama dengan wanita-wanita jahiliah pertama dahulu sebelum datangnya Islam.

Tabarruj Pada Pandangan Ulama-ulama Lain
Tabarruj pada pandangan ulama-ulama yang lain pula ialah:
Syeikh Az-Zamakhsyari: Hakikat tabarruj ialah sengaja menampakkan apa yang seharusnya ditutup. Untuk wanita, yang dimaksud tabarruj wanita ialah wanita yang menampakkan perhiasan dan kecantikannya kepada lelaki yang bukan mahram.
Mujahid: Maksud tabarruj ialah, “Wanita yang keluar dari rumahnya berjalan di tengah kumpulan lelaki.”
Qatadah: Yang dimaksudkan dengan tabarruj ialah, “Jalan berlenggang-lenggok dan genit.”
Muqatil: “Tabarruj ertinya mengenakan tudung penutup kepala tetapi tidak merapatkannya sehingga menampakkan kalungnya, anting-antingnya dan lehernya.”

Agar Tidak Disebut Tabarruj Jahiliah Yang Pertama
Agar tidak disebut wanita mutabarrijah, wanita muslimah hendaklah melakukan hal-hal di bawah ini:
  • a) Menundukkan pandangan. (Lelaki juga harus begini). Firman Allah SWT, “Katakanlah kepada wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya.” (An-Nur: 31).
  • b) Tidak bergaul dengan lelaki layaknya satu jenis, sebagaimana yang terlihat di filem-filem, di university, tempat-tempat pertemuan dan kenderaan-kenderaan umum pada masa sekarang.
  • c) Pakaian yang dkenakan sesuai dengan syariat Islam iaitu:
a. Menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
b. Tidak nipis atau pendek sehingga menampakkan kulit di balik pakaian.
c. Tidak ketat-walaupun ianya tebal-sehingga menampakkan lekuk-lekuk tubuhnya, sebagaimana yang dikenakan wanita-wanita Barat saat ini. Pakaian mereka tidaklah nipis tetapi ketat sehingga menampakkan hampir semua bahagian tubuh mereka. Seakan mereka telanjang bulat. Pakaian seumpama ini lebih menimbulkan fitnah daripada pakaian yang nipis dan pendek.
d. Tidak mengenakan baju dan celana lelaki seperti yang suka dilakukan oleh wanita zaman sekarang. Rasulullah melaknat lelaki dan wanita yang menyerupai lawan jenisnya.
e. Tidak mengenakan pakaian khusus orang-orang kafir, Yahudi dan penyembah patung.
  • d) Hendaklah menjaga kewibawaannya, tenang dalam berjalan dan bersahaja dalam berbicara. Tidak dengan ‘sengaja’ menarik perhatian kaum lelaki dengan minyak wangi atau (sengaja melunak-lunakkan) suara. Wanita pada zaman jahiliah suka menarik perhatian lelaki dengan membunyikan gelang kaki yang dipakainya. Perbuatan ini haram sebagaimana dalam firman-Nya kerana ia membuatkan lelaki gelisah dengan khayalannya. Perbuatan ini juga menunjukkan wanita itu mempunyai niat buruk sengaja memancing ghairah seksual lelaki.

Tuesday, July 19, 2011

Belasungkawa

Saya membaca dari rasa sedih dan sayu semua yang sayangkan beliau seperti dalam tulisan Ustaz Hasrizal http://saifulislam.com/?p=10185#more-10185 dan juga Dr. Asri http://idhamlim.blogspot.com/2011/07/dr-lolo-yang-saya-kenali.html. Saya berada dalam kelompok jutaan orang yang sayangkan beliau. Saya pernah bersalam dan bersapa dengan beliau, dalam siri kempen PRU 12 Parlimen Titiwangsa dan juga hari penamaan calon. Syukur Allah berikan saya peluang itu. Semoga Allah menempatkan beliau bersama orang yang dikasihiNya. Dr. Lo' lo', seindah namanya, pemergiannya bagaikan permata yang hilang. Yang pergi, tetap pergi, yang hidup, sama-samalah teruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia dan dunia. Allah ya Qawiyy, berikan kekuatan kepada kami. Tetapkan hati kami dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Amiin.

Al-Fatihah.

Sunday, July 3, 2011

Safra'


PELUDAH WARNA

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. Samad Said



Takutkan kuning atau kuning menakutkan?
Memang begini yang namanya dasar pengecut
Warna pun menjadi musuhnya
Dahulu hijau
Sekarang kuning
Mudah-mudahan kelak
Mereka takut pada merah
Yang kononnya gagah
Hakikatnya
Hanya pengecut yang takut kalah.

Monday, June 20, 2011

Kehidupan umpama satu pelayaran

Artikel ini dipetik dari blog ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Link : http://genta-rasa.com/2011/06/13/hidup-selagi-hidup/#comment-7405

HIDUP SELAGI HIDUP!

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu!

Justeru, iman adalah sumbu kehidupan, harta yang tidak dapat dinilai. Sumayyah sanggup berkorban nyawa demi iman. Bilal sanggup disiksa kerana iman. Sayidina Abu Bakar telah mengorbankan seluruh hartanya demi iman. Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita mengorbankan segala-galanya untuk mendapat iman? Mari kita muhasabah…

Bagaimana ketika kita dibangunkan dari tidur yang lena untuk bangun mengerjakan solat Subuh? Lesu atau bersemangat? Sanggupkah kita mengorbankan masa untuk mendengar kuliah agama buat menjana iman? Bandingkan dengan masa yang kita berikan untuk hiburan yang melalaikan? Tanyakan kepada diri ke manakah harta, tenaga dan masa telah kita berikan… ke jalan iman atau sebaliknya?

Kalaulah ditanya manakah yang lebih berharga? Iman atau harta? Tentu kita menjawab iman. Tetapi mungkin itu hanya kata-kata. Benarkah itu juga yang kita rasa? Iman sebenarnya lebih berharga daripada mutiara. Malah jika dikumpulkan seluruh isi langit dan bumi ini, maka kita dapati iman tetap lebih berharga. Harta akan musnah jika tidak dibelanjakan ke jalan Allah, namun iman kekal sampai membawa kita ke syurga.

Tetapi bak kata pepatah, “hanya jauhari mengenal manikam” – maksudnya hanya orang yang berilmu sahaja yang menyedari tentang agungnya nikmatnya iman. Sijahil tidak akan menghargai nikmat iman, sama seperti sibuta yang yang tidak dapat melihat cahaya atau kera yang disuguhkan bunga!

Iman sangat berharga sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa saja yang memiliki iman di dada, dia akan mendapat ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan dalam hidup. Sesiapa pula yang memiliki iman di akhirat, dia akan mendapat hati yang sejahtera. Dia akan dapat keredhaan dan keampunan-Nya. Juga dia akan mendapat syurga Allah swt.

Dengan adanya nikmat iman, barulah nikmat-nikmat yang lain berguna. Jika ada iman di dada, nikmat harta akan menjadikan seseeorang itu hamba Allah yang pemurah. Dia akan merasakan harta itu adalah amanah dari Allah. Lantas, harta itu tidak akan dibelanjakan ke jalan kejahatan dan kemungkaran. Sebaliknya, akan digunakan ke arah kebaikan.

Seorang yang beriman, akan menggunakan nikmat ilmunya ke arah kemajuan dan kebaikan. Dia akan mengajar orang lain dan mencipta rekaan-rekaan yang memudahkan kehidupan masyarakatnya. Dengan iman, seseorang tidak akan menjadi penipu, penzalim dan pemusnah dengan ilmunya. Ya, bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya.

Jadi apa sebenarnya iman ini sehingga ia dianggap begitu berharga? Iman sebenarnya bukanlah sekadar ucapan. Iman adalah kepercayaan dalam hati, yang diucapkan dgn lidah. Jika hanya ucapan, tetapi tidak dengan keyakinan, itu munafik (berpura-pura). Jika hanya ada ucapan dan keyakinan tetapi tidak ada tindakan (amalan), itu fasik (berdosa).

Memanglah menjadi sunnatullah dan peraturan dalam hidup ini, semua benda yang berharga memang payah untuk dicari. Contohnya pasir, mudah untuk kita mendapatkannya. Di mana-mana pun ada pasir. Tetapi jika hendak mencari mutiara, kita perlu menyelam hingga ke dasar lautan. Mencari dan menggali, membersihkan barulah ditempa sehingga menjadi mutiara yg bersinar dan cantik.

Berbagai-bagai jawapanlah yang kita dengar. Ada yang mengatakan, dia boleh mewarisi iman daripada bapanya yang warak. Ada yang berbangga dengan datuknya yang warak. Ada yang mengatakan dia boleh mendapatkan iman melalui pembacaan atau melalui ilmu pengetahun. Apakah begitu mudah? Mari kita susuri realitinya…

Oleh kerana iman itu berharga ibarat mutiara, memanglah sukar untuk mendapatkannya. Jadi kita kena berusaha mencari dan terus mencari. Kita memang tidak nafikan, doa si ayah atau si datuk yang bertaqwa memang ada kesannya. Namun itu bukan cara yang utama untuk mendapatkan iman.

Lihatlah sejarah Nabi Nuh a.s. Baginda seorang Nabi yang mengajak semua keluarganya untuk beriman kepada Allah swt. Namun si isteri dan seorang anaknya engkar. Malah mereka mengganggap Nabi Nuh gila kerana membina sebuah bahtera besar di atas bukit yang tinggi. Walau nyawa sudah di hujung tanduk ketika tenggelam dalam banjir, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah atau mengikut ayah mereka Nabi Nuh.

Jika kita mengatakan boleh mendapat iman melalui ilmu atau pembacaan, itu juga kita tidak nafikan. Namun mengapa ramai orang yang memiliki ilmu setaraf professor pun masih melakukan kemungkaran? Oleh itu, penting bagi kita mencari iman sebagaimana cara generasi awal Islam mencarinya. Mereka ‘mencari’ iman dengan berfikir, berzikir, bermujahadah dan melaksanakan syariat (peraturan) Allah.

Firman Allah swt:

“ yakni orang yang mengingati Allah (berzikr) ketika berdiri, duduk, berbaring dan sentiasa berfikir tentang tentang kejadian langit dan bumi lantas berkata, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau ya Allah, selamatkanlah kami dari api neraka.”

Al-Imran: 191

Para sahabat mendapat iman dengan melihat alam, binatang, tumbuhan, hujan dan sebagainya. Mereka melaksanakan apa yang didorong oleh Allah menerusi firman-Nya:

“Maka apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan.”

Al-Ghaasyiyah: 17-18

Apabila mereka melihat semua itu mereka berfikir… dan akhirnya tiba pada satu kesimpulan bahawa tidak mungkin semua itu terjadi dengan sendirinya. Pasti ada yang menjadikannya. Jika matahari hebat, tentu Pencipta matahari lebih hebat. Jika alam ini indah, tentulah Penciptanya lebih indah.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka terus berzikir (mengingati) Allah. Mereka merasai Allah itu Maha Besar, Maha Suci, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Mereka merasakan bahawa zat yang mencipta matahari, bulan, bintang dan semesta alam ini mestilah dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Lalu merekapun melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Mereka bersolat, berpuasa, meninggalkan zina, arak dan lain-lain.

Walaupun kekadang, yang ditegah Allah itu sesuatu yang disukai, manakala yang disuruh pula dibenci, namun mereka melawan kehendak diri sendiri demi mentaati perintah Allah. Berlaku ‘peperangan’ di dalam diri mereka sendiri – antara apa yang mereka ingin, dengan apa yang diingini Allah. Peperangan inilah yang dikatakan mujahadah atau berjuang sepenuh jiwa untuk mematuhi perintah allah. Hasil mujahadah ini, iman mereka bertambah dan akhirnya mereka merasakan kemanisannya. Firman Allah:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan”

Al-Ankabut: 69

Sunday, June 19, 2011

Nak tanya sikit boleh?

sejukkkkk....grrrr.........balik lah..bye library...jumpa lagi esok dan saya akan bawak sweater..: )

Wednesday, June 8, 2011

Sesalan



Jangan mengaku beriman
Selagi belum diuji

Bila belum diuji
Terasa mampu
Setelah diuji
....
...........
..........................
..................................................

Muhasabahlah wahai diri
Ighfir zunubi ya Allah
:'(

Friday, June 3, 2011

HambaMu


Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui


Pesan sahabat saya, Syuhanis.

"sampai bila nak mengadap tesis...cepat-cepat siapkan, lepas ni lebih banyak tanggungjawab yang perlu dipikul, perhatian kepada keluarga, nak kena berbakti kepada ummah, sekarang..jangan bebankan diri dengan perkara yang belum menjadi taklifan kita.."

Maka

Saya

Cuba untuk tidak terlalu berfikir pada sesuatu yang belum perlu difikir

Dan

Sedang

Mengajar hati dan diri supaya tabah

Kuat semangat

Tekun

Dan

Tidak jemu berdoa

Doa..doa...doa...

Bersangka baik dengan Allah

Walau di lautan mana...walau di daratan mana

Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan urusan

Urusan di dunia dan akhirat

Dipelihara iman, akhlak, menjaga ibadah, terpelihara akidah

Allah itu dekat...mohonlah pada Allah

Suburkan rasa syukur dengan mengejar cinta Allah

Suburkan rasa cinta dengan tekun beribadah, menuntut ilmu, menambah ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan yang lebih mencabar masa mendatang...ighfir zunubi Ya Rabb...Allah ya Qawwiy...kuatkanlah aku...

Monday, May 30, 2011

Penantian

Sehari....
Dua hari.....
Seminggu....
Dua minggu.....
Tiga minggu....
Sebulan.....
Dua bulan.....
Tiga bulan......
Empat bulan.....
Lima bulan........
Enam bulan......

Alah bisa tegal biasa....
Sungguh menyiksa sementara mahu biasa...
Semoga terus kuat dan tabah melaluinya...
Allahumma yassir wa la tu'assir...wa tammim bil khair..

Oh...tesisku......bila mahu selesai?
6 purnama sahaja lagi tempoh maksimumnya...
semoga tak luntur semangat untuk terus menuntut ilmu..
tenang..tekun..semoga najah di penghujungnya
amiin..