Shirzad Lifeboat Thu Aug 21, 08 4:15:40 pm MYT
Di puncak dan lereng bukit berbatu ke Selatan bandar Hebron, Palestin, perternak kambing Palestin merungut dan mengadu tentang serangan kerap yang dilakukan oleh penduduk militant Israel yang menceroboh kawasan mereka.
Bagaimanapun aduan ini sering diabaikan oleh pihak berkuasa Israel atas alasan kononnya ia adalah aduan dan sungutan palsu. Malah menurut agensi Reuters (21 Ogos 2008), tentera dan polis Israel amat jarang mengambil sebarang tindakan atau campur tangan dalam perbalahan di antara dua puak penduduk ini walaupun insiden pencerobohan dan gangguan ke atas penternak Palestin ini berlaku secara terang-terang di hadapan mereka.
Hal ini turut disahkan oleh kumpulan hak asasi manusia Palestin dan Israel. Justeru kini, mereka yang dianiayai dan dibuli menggunakan kamera video kecil bagi mendokumentasikan penderaan terhadap mereka dengan harapan pihak berkuasa Israel dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Keganasan yang dilakukan oleh penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di kawasan ini dikatakan kian meningkat. Pejabat Hal Ehwal Kemanusian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencatatkan sebanyak 222 insiden untuk setengah tahun pertama 2008 berbanding dengan 291 insiden sepanjang tahun 2007.
Penternak kambing dan petani Palestin di lereng bukit Susia terpaksa menanggung derita keganasan tersebut sejak Israel membenarkan rakyatnya menduduki kawasan Tebing Barat sejak 1982 di mana rumah kediaman yang sempurna didirikan untuk penceroboh Israel itu dengan bekalan air tidak terhad.
Namun bagi penduduk Palestin sendiri, mereka terpaksa bergantung kepada bekalan air dari lori pembawa tanki air dan air yang dipam menggunakan pam tangan dari perigi di bumi mereka sendiri.
Berbanding dengan penceroboh Israel yang diberikan bekalan tenaga elektrik, penduduk sah Palestin tidak menikmati bekalan elektrik dan terpaksa menyambung TV mereka kepada bateri kereta.
Menurut penduduk Palestin yang kebanyakannya tinggal di khemah, penceroboh rakyat Israel yang tinggal di kawasan tersebut mahu mengusir terus penduduk rakyat Palestin dari kawasan berkenaan. Namun hal ini dinafikan oleh kerajaan Israel.
Persoalannya kini apakah bukti yang ditunjukkan menerusi rakaman kamera video ini akan mengubah persepsi pihak berkuasa kerajaan Israel terhadap penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin.
Atau apakah, Israel terus menggunakan taktik berdolak-daliknya apabila menangani masalah penduduk Palestin di wilayah Palestin yang diduduki Israel?
sumber:http://harakahdaily.net/
No comments:
Post a Comment