Wednesday, February 3, 2010

MEMANDU DI KOTA KAHERAH




Sengaja entri ini ditulis. Melayan rindu pada Bumi Anbiya' yang menebal dalam hati, menyemak kembali fail gambar-gambar tika di sana, terkenang jalan raya Kaherah yang amat sibuk. Kaherah, ibu kota Mesir yang padat dengan manusia. Kaherah dikatakan sebagai bandar paling padat penduduk di Benua Afrika. Kaherah juga digelar sebagai "Kota Seribu Menara". Dengan populasi 6.8 juta penduduk pada keluasan 214 kilometer persegi, tidak hairanlah mengapa jalan raya di Kota Kaherah menghadapi masalah kesesakan hampir setiap masa.

Setiap hari ke Kuliyyah Darul 'Ulum, kami menaiki tremco yang disewa khas bagi memudahkan perjalanan kami. Tremco adalah salah satu daripada pengangkutan awam yang terdapat di Mesir. Antara pengangkutan awam lain ialah, Metro, Teksi, dan juga Bas. Hari pertama menaiki Tremco adalah ketika kami ke Universiti Kaherah untuk berjumpa dengan Dr. Hassan Basri dan juga ke Kuliyyah Darul 'Ulum untuk menduduki peperiksaan Mustawa Lughah. Hari pertama, saat masing-masing masih kebingungan di negara orang kami bertambah bingung melihat jalan raya Kota Kaherah yang sangat "caca-merba". Seolah-olah tiada peraturan jalan raya, laluan yang sepatutnya hanya membolehkan sebuah kereta melaluinya, terkadang lima kereta berderetan selamba. Jarak antara kenderaan dengan kenderaan sangat dekat. Lebih memburukkan keadaan ialah cara pemanduan pemandu tremco kami yang suka memecut dan suka berhenti mengejut. Hari pertama, sahabat saya Suhaizana, tak dapat menahan rasa loyanya, dan akhirnya dia pun "...................."

Sepanjang satu bulan di Kaherah, tidak pernah sekalipun saya melihat lampu isyarat menyalakan lampu merah atau hijau, kerana lampu isyarat sentiasa memancarkan lampu kuning sebagai tanda berjaga-jaga. Uniknya jalan raya di Kaherah bukan sekadar dipenuhi kenderaan bermotor tetapi binatang-binatang seperti unta, kuda dan baghal juga masih digunakan sebagai kenderaan untuk membantu manusia.

Sepanjang perjalanan pergi ke Universiti Kaherah, saya suka memandang jauh ke luar, melihat setiap inci pemandangan yang terbentang di depan mata. Walaupun jalannya sesak, banyak yang boleh dipelajari. Melihat ibu mengendong anak, melihat si ayah yang bersungguh-sungguh bekerja, melihat masyarakat arab yang turut sama terjajah dengan "ghazwatul-fikr" serangan Barat.

Walaupun jalan raya Kaherah amat sesak dan amat mencabar, terbit juga keinginan dalam hati mahu merasa pengalaman memandu di Kota yang sesak itu. Hmmm...bagaimana ya?

Tremco yang dibawa 'Ammu Sa'id dan 'ammu Ramadhan

No comments: