Saturday, February 26, 2011

Sahabat


Buat ikhwah dan akhawatku..semoga redha Allah mengiringi kalian...juga mengiringiku..mungkin batas waktu memisah, mungkin juga keadaan membuat kita terpisah..tapi doaku untuk kalian selalu..andai takdir menemukan kembali kita..aku gembira..andai sebaliknya..aku redha..kerana tiap pertemuan dan perpisahan itu sudah tertulis..semoga bertemu dan berpisahnya kita kerana Allah..semoga mendapat naungan di arasyNya kelak..

Friday, February 25, 2011

Semangat!!!!

Setelah dua minggu berperang dengan perasaan yang berbaur. Memilih jalan untuk kehidupan yang mendatang. Berperang antara kehendak dan keperluan, berperang antara kenangan pahit dan kehidupan masa depan yang perlu diteruskan. Berperang antara memilih atau menerima sahaja dengan hati terbuka dan bersedia untuk menjadi memahami dan mengerti sesuatu yang tidak dijangka. Lemah. Perang dengan rasa memang melemahkan, meski tiada setitis darah pun yang tertumpah.

Akhirnya, entah dari mana rasa ini datang. Semangat!! Mungkin ini rentetan dari pertemuan bersama sahabat-sahabat seperjuangan dan juga murabbi yang memberi taujihat. Taujihat dan tasyji' yang membugarkan kembali semangat yang acapkali lesu dan layu. Nahnu Da'iyan Ila Allah. Semoga kalimah ini meniti di bibir-bibir kita setiap waktu dan ketika walau siapa pun kita.

Hidup. Mesti terus, biar suka dan duka hadir silih berganti. Kerana lumrah yang namanya hidup itu memang begini. Sembuhkan segera segala luka dengan dambakan kasih di sepertiga malam. Mujahidah, perlu rawat lukanya segera, agar sembuh dan bisa bergerak semula. Sungguh, doa dan munajat itulah penawar segalanya.

Semoga apa yang berlaku, itu yang terbaik untuk kita. Semoga Allah merahmati dan mengampuni salah dan silap kita. Semoga terbaik selalu..itu doaku...

Ayuh!! duhai diri, langsaikan kerja-kerjamu!! sehabis baik!!


Tuesday, February 22, 2011

Omongan hati II

Pertama kali. Tak tahu kepada siapa harus ku luahkan rasa. Cukuplah Allah sahaja yang mengerti. Kerana Allah yang mengatur kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Sungguh. Aku hanya berserah bersama doa yang tidak putus-putus.

Tesis. Suku sudah siap. Alhamdulillah. Bukan masa lagi untuk bergerak cara biasa. Sekarang masa untuk memecut. Selajunya. Usai sarjana dengan natijah yang baik itu impian. Laju, juga perlu tapi bukan utama bagiku. InsyaAllah, semoga mudah urusan.

Sahabat. Semoga yang baik-baik belaka untuk kalian. Itu doaku, doakan aku juga. Aku sentiasa berdoa agar dapat menjadi sahabat yang baik untuk kalian.

Agama. Bukan mesti yang belajar agama saja baik. Itu pasti. Siapa sahaja yang mahu Islam menjadi landasan hidupnya, tentu baik orangnya.

Sekadar ini omongan hati. Hati sendiri yang sukar di mengerti.

Thursday, February 17, 2011

Damai

Guruh berdentum dentam. Petir mula menampakkan cahaya. Bangunan agam ini turut merasa tempias kilaunya. Namun, seisi penghuninya masih tenang menekuni ilmu, melunaskan kerja dan menghadami tiap perkataan dalam himpunan helaian kertas.

Perpustakaan tercinta ini. Aku mengambil kerusi yang paling belakang aras 3. Petang, menghampiri maghrib. Masih belum lengang. Pemuda cina di hadapanku tekun menghadap komputer ribanya sambil jari-jemarinya menggolek-golekkan pena. Dahinya berkerut memikir. Cemburu sekali. Wanita Iran di kiriku, tersenyum sambil jarinya menguis-nguis pipi gebunya. Hurm...belajarkah dia? atau ber'mukawajah'?

Perpustakaan tercinta ini. Ruang damai buat diri. Adakala damai itu membuatkan leka. Adakala damai itu menatijahkan minda yang ceria. Dek kerana tiap bait kata yang dibaca, mudah dihadam dan difahami. Bahagia. Sungguh bergelar penuntut ilmu ini sangat bererti nilainya. Namun, ilmu tanpa amal, bagai pohon tanpa buah, ilmu tanpa amal hanya sia-sia.

Perpustakaan tercinta ini. Syukur Allah berikan ruang untuk aku di sini. Semoga produktif sentiasa natijahnya.

*sekadar coretan pemula, meransang sel-sel neuro untuk terus bekerja. Allahumma iftah 'alaina hikmatak...amiin

Friday, February 11, 2011

Insomnia

Kemana kau menghilang malam semalam?

Saat kau tiada

Mataku bugar menanti pagi

Aku mencari kekuatan untuk cuba lena diulit mimpi

Tapi ku tak berdaya

Tingkahku jadi serba tak kena

Kerana kau tiada


Ketiadaan kau rupanya sungguh menyeksa

Kerana natijahnya baru kini ku rasa


Saat aku tidak lagi perlukanmu

Hadirmu kini merunsingkan

Pandanganku kabur melihat dunia

Kepalaku memusing

Tekakku meloya

Oh, mengapa kini baru kau hadir

Saat perkara lain menanti untuk dilunaskan

Kantuk…kemana kau menghilang malam semalam…

Wednesday, February 9, 2011

Negara itu


Negara itu yang ku rindu

Negara itu lubuk ilmu




Negara itu

Bergolak kini

Dek kerana diktator yang mahu terus berkuasa

Si zalim yang hilang rasa malunya

Boneka Israel dan Amerika itu

Belum puas mengumpul harta



Katanya “September ini aku akan berundur”

Tuih! Tekakku meloya

Apa kamu bengap sekali memahami bahasa rakyat

Mereka tak mahu kamu lagi si tua yang zalim!

Menunggu September bagaikan terbakar di nerakamu

Negara itu yang ku rindu

Walau jalan sesak

Walau hidup payah

Tetapi

Di negara itulah aku temui kekuatan

Semangat para anbiya’

Semangat para pejuang Ikhwan

Bagaikan meresap masuk ke sukmaku


Negara itu

Moga ada sinar baru

Buat rakyat yang menderita begitu lama


Negara itu

Semoga aku kan kembali ke sana

Suatu ketika

Yang entahkan bila

.................................

Tintapenuntut87

08022011

Pantai Dalam

Tuesday, February 1, 2011

Terima kasih

Terima kasih
Atas hadiah yang sama
Untuk kali kedua

Terima kasih
walaupun aku tidak beroleh 'faedah' dengan hadiah itu

Terima kasih
kerana minyak RON97 naik lagi


Terima kasih
Aku tak mahu lagi hadiah ini

Tuesday, January 4, 2011

Ilmu itu...

Dahulu, saya pernah belajar bahawa ilmu itu pengertiannya ialah ketibaan makna pada diri. Kini saya makin mengerti pengertian itu. Ramai yang berkata, falsafah itu tidak jejak. Tetapi, ada yang menyangkal, falsafah Islamlah yang paling 'menjejak'. Puisi bahasa inggeris ini, saya pernah pelajarinya dengan mendalam ketika menengah atas. Tetapi, baru kini saya mengerti masuknya dalam-dalam. Itulah ilmu. Walaupun lambat memahaminya, tetapi gembira kerana berpeluang memahaminya.

The Road Not Taken oleh Robert Fros

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim
Because it was grassy and wanted wear,
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I marked the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I,
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.

Monday, December 27, 2010

Persidangan + cuti-cuti Pulau Pinang

Bismillah...

19 Disember 2010

Bertolak ke Pulau Pinang bersama Pakndak sekeluarga yang kebetulan mahu memenuhi undangan majlis perkahwinan anak sahabat mereka ketika di Mekah. Majlis perkahwinan itu tersebut berlangsung di Junjung, Kulim. Berjiran dengan Pulau Pinang. Sekitar jam 4 petang, kami tiba di rumah mertua kakak saya. Terima kasih kerana sudi menumpangkan saya selama 5 hari sebelum berangkat ke Langkawi. Allah sahajalah yang mampu membalas jasa kalian.

Hari pertama di Pulau Pinang, terhibur dengan keletah anak buah yang sungguh rajin!!




20 Disember 2010

Jam 5 pagi kakak menghantar SMS bertanyakan samada Siti(sahabat sepengajian) sudah tiba atau belum di Stesen Bas Butterworth. Setelah mendapat maklumat bahawa beliau sudah hampir tiba, saya, kakak, abang hafiz dan juga mehdi si kecil yang terpaksa berjaga awal pagi itu pergi menyambut beliau. Alhamdulillh, saya tidak keseorangan di Persidangan nanti. Gementar juga jika keseorangan.

Jam 8.20 pagi, kami bertolak ke Hotel Eastin, Queensbay, Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan yang pendek itu, saya gunakan untuk berlatih supaya lancar ketika membentangkan kertas kerja. Ini merupakan pengalaman pertama saya membentangkan kertas kerja dalam bahasa inggeris. Alhamdulillah tiba jam 8.50pagi. Fasting and Sustainable Health Conference dianjurkan oleh Cluster Healthy Lifestyle, Advance Medical And Dental Institute(AMDI), USM.

Jam 9 pagi, bermula dengan Perasmian oleh Naib Canselor USM. Pertama kali juga berdiri untuk menyanyikan lagu universiti lain. Lagu Rasmi USM, Menara Ilmu. Siti berbisik kepada saya, "mana lagi best?". Minda yang sudah masak dengan lagu Varsiti sudah pasti memilih lagu Varsiti sendiri.=)

Jam 10 pagi, kelibat seorang lagi sahabat yang perlu hadir di persidangan tersebut, Mohd Afifuddin yang bakal menjadi staf AMDI masih belum kelihatan. Perbentangan pertama dari speaker jemputan bertajuk Science of Fasting: Aspect From Islamic Perspective. Jika diberi nilai 1-10, saya nilaikan 10! Ustaz Hussain Yee Abdullah yang membentangkan tajuk tersebut berjaya menghuraikan puasa dari perspektif Islam secara mudah dan memperlihatkan betapa Islam agama yang mudah.

Jam 11.30 pagi, giliran saya hampir tiba, saya mendapat giliran ketiga, giliran pertama Dr. Ratna Roshida dari USM, giliran kedua Prof Madya Dr. Nurdeng Dueraseh dan giliran keempat Prof Emeritus Dr. Jitender Mohan dari Panjab University, India. Wah! Saya? Masih belum punyai gelaran Dr. pada pangkal nama. InsyaAllah pasti ada masa akan datang. Amin. Gembira bercampur gementar dapat membentangkan kertas kerja bersama Dr. Nurdeng Deuraseh, sudah lama berhajat ingin berjumpa beliau, Allah ketemukan kami di sini. Kertas kerja saya bersama sahabat-sahabat bertajuk, "Significance of Sahur During Fasting According To Islamic and Scientific Fasting". Akhir perbentangan Dr. Nurdeng bertanyakan dua soalan kepada saya. Pertama, bagaimana dikatakan sahur itu seperti sarapan dengan budaya masyarakat yang bersarapan jam 9pagi? Dan kedua, bagaimana hendak menterjemahkan kepentingan tamar dengan makanan asasi di negara-negara lain. Urf, saya hanya menjawab soalan-soalan itu, tetapi turun sahaja dari pentas, saya sudah terlupa apa yang saya jawabkan. Saya memang selalu terlupa. Yang lebih melucukan, sebelum menjawab soalan, saya tanpa segan silu bertanya "what is the first question? i already forget". Huhu. Inilah pengalaman yang mengajar erti kedewasaan, pengalaman berada di universiti kehidupan.

Jam 1 petang, saya, siti dan afif makan tengahari semeja dengan Dr. Nurdeng, isteri beliau dan juga Dr. Ratna Roshida. Juga turut di meja tersebutt, seorang doktor perubatan dari Myanmar yang sedang melanjutkan pelajaran '3rd degree' dalam bidang public health. Sedang menjamu selera, Dr. Nurdeng dan Dr. Ratna membuka topik kemunduran orang melayu. Kata mereka, sifat malas bangsa melayu itu sendiri yang membuatkan bangsa ini mundur. Tanah orang melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 1%! Oh bangsaku.. Pelajaran dari Dr. Nurdeng juga yang saya perolehi, katanya 'Ilmu ibarat benda di tengah meja (dengan membuat gaya meletakkan gelas air di tengah meja makan), untuk mendapatkannya perlu ada kerajinan, usaha dan disiplin, ini hanya satu contoh, bila sudah dapat ilmu, permasalahan apa pun yang datang, pasti dapat diselesaikan, insyaAllah, macam soalan yang saya tanyakan pada kamu tadi'.


Saudara Afif, Dr.Nurdeng, Pn Hayati(isteri Dr. Nurdeng) dan Dr. Ratna


Giliran siti dan saya pula bergambar

bersambung.....

Thursday, December 9, 2010

RINDU......

Rindu...
Kadang kala bisa menenangkan....

Rindu pada Mehdi
Rindu pada Usamah
Rindu pada Huda dan Khaulah

dan

Rindu pada anak buah yang baru
Darwisy al-Abqari....;)







Wednesday, December 1, 2010

Omongan hati

Tesis. Suku pun masih belum siap. Terlalu banyak yang mahu dibincangkan. Tamak. Ya, aku mahu haloba dalam ilmu. Ramai mula bertanya-tanya, kapan usai sarjana? Aku hanya diam membisu, kekadang melemparkan senyuman kelat. Sungguh, baru ku tahu langit itu tinggi atau rendah, oh, rupanya sangat tinggi. Menggapai langit rupanya tidak semudah yang ku sangka. Tuhan, mudahkan urusanku dalam menuntut ilmu.

Aku menjeling buku-buku yang tersusun kemas dalam almari bukuku. Buku-buku sastera, sains dan haraki yang masih banyak yang belum diusik. Maafkan aku, aku belum menunaikan hakku ke atas kalian. Aku buntu. Aku perlu tumpu pada sarjana ini seketika. Ini juga cintaku. Ilmu agama yang membuatkan aku rasa selamat dengannya. Sungguh, aku tidak tersalah jalan. Mudahan begitu. Walaupun payah untuk ku hadam setiap isinya, tapi puas di akhirnya.


Thursday, November 25, 2010

Duhai nenda...


Hari ini khamis, genap seminggu perginya gemulah nenda menemui Ilahi. Mengingati tarikh itu, 18 November 2011, Aidil Adha kedua. Seawal jam 4 pagi aku sudah terjaga, usai menjalankan kewajipanku sebagai hamba, aku menyambung penulisan tesis ketika itu. Ku dengar dari dalam kamarku, makcik-makcikku berulang-ulang kali mengucapkan kalimah Lailahaillallah, terkadang Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin , terkadang kalimah istighfar. Mereka sememangnya sudah berhari-hari berjaga malam menjaga nendaku. Siapa saja yang lapang, akan duduk disamping nenda dan membacakan al-Qur’an. Nenda, ketika sihatnya seorang guru al-Qur’an, anak muridnya ramai, aku tidak pasti bilangannya , cuma yang pasti anjung teratak nenda yang luas itu penuh dengan anak-anak muridnya yang datang mengaji. Masih ku ingat, ketika kecil, ramai kanak-kanak bayaku datang ke rumah nenda untuk belajar mengaji, papan rehal yang berat bersusun tinggi di atas tangga rumah nenda. Cerita umi, nenda juga pakar masakan di kampung itu. Demikian itu, nenda sangat dikenali bahkan disayangi masyarakat sekeliling. Sepanjang 14 tahun nenda terlantar sakit , Qur’an adalah peneman nenda. Sungguhpun nenda tidak mampu lagi membaca al-Qur’an, tetapi al-Qur’an sentiasa dipasang dan diperdengarkan. Masih ku ingat, suatu hari aku dan kakakku melihat nenda mencatat sesuatu di dalam sebuah buku, ku lihat angka 1000 dan beberapa tulisan yang tidak kufahami ketika itu. Aku dan kakakku bertanya, “Siti tulis apa?”, nenda menjawab “ Tiap hari siti baca zikir harian sebanyak 1000 kali, bila dah cukup siti akan tulis”, lebih kurang begitu dialog aku, kakak dan nenda ketika itu. Yang kufahami tika itu, nenda menulis pahalanya. Begitulah pemikiranku ketika kecil dahulu.

Jam 6.15 pagi umi mengajak aku ke dapur, menyiapkan sarapan. Aku membuntuti umi. Pagi itu sarapan meriah dengan lemang, rendang dan nasi daging lebihan juadah hari raya semalam. Namun, suasana suram sekali. Semua tekun membaca al-Qur’an disamping nenda. Aku memanggil semua adik-adik dan sepupuku, minta bersarapan dahulu sebelum menyambung kembali bacaan al-Qur’an. Tika semua berkumpul di hadapan hidangan, Kholahku (Maklang) bersuara “ Pagi ni, jangan ada yang buka TV, Laptop dan main handphone, lepas makan, ambil wuduk, ambil Qur’an , duduk keliling siti dan baca Qur’an, siapa tak boleh solat, baca fatihah dan 3 kul niat zikir. Siti sedang sakarat.” Perlahan-lahan tutur kholah. Jantungku bagai berhenti berdegup mendengar perkataan ‘sakarat’ itu. Adik-adik dan sepupuku semua menurut tanpa membantah. Anak-anak nenda semua disisi bahagian depan paling hampir dengan nenda, makcik, makteh, paksu, umi, kholah, makndak. Cucu-cucu nenda dibahagian belakang. Atha’, Ismail, Imran, Muhammad, Miqdad, Nu’man, Syafiqah, Nuha, Aishah, Huda dan Khaulah. Satu persatu wajah adik-adikku itu ku tatap. Huda dan Khaulah yang kecil itu turut memegang Qur’an membaca ayat-ayat lazim. Ismail, Imran, Muhammad dan Nu’man duduk disisi kiri katil nenda. Atha’, Miqdad, aku dan cucu-cucu perempuan yang lain disisi kanan katil nenda. Sesekali paksu dan kholahku membisikkan kalimah syahadah ditelinga nenda. Yang lain, menyuapkan air di bibir nenda. Orang kampung mulai hadir dan turut mengalunkan bacaan al-Qur’an.

Jam 9.50 nenda pergi buat selamanya. Masing-masing berjujuh air mata tidak mampu menahan sebak. Suci bersih wajah nenda tika itu. Melihat nenda mudah hadapi sakaratnya, aku menginsafi diri untuk menjadi hamba yang selalu mendampingi al-Qur’an. Kenangan bersama nenda terlalu banyak, semuanya mengajarku untuk menjadi muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang indah. Maafkan aku nenda, sepanjang sakitmu, aku tidak banyak membantumu. Semoga kita sekeluarga dihimpunkan dipertemukan lagi di syurga kelak. Teratak nenda kini pastinya sepi, walaupun masih berpenghuni, tapi tentunya sunyi, tiada seri tanpa nenda.

Ya Allah, ampuni dosa siti, jad, atuk dan opahku...kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktuku kecil. Tempatkanlah mereka bersama para mukminin. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun.

Tuesday, October 5, 2010

Angin oktober yang pilu

Angin oktober yang bertiup ,

Derasnya mengiringi turunnya hujan,

Bagaikan memahami degupan jantungku yang kencang

Menahan derai air mata..

Yang acapkali meronta minta dihamburkan..

Dan acapkali juga aku kalah dengan permintaannya..


Angin oktober yang pilu

Oktober ini tidak seperti selalu

Yang selalu hadirnya menceriakanku

Oktober ini pilu

Sepilu hatiku yang terluka…

Luka yang entah bila sembuhnya..


Angin oktober ini menampar-nampar pipi ku..

Menyedarkanku pilu itu tidak perlu

Masih jauh kehidupan yang perlu kutempuh…

Ujian ini meskipun memilukan

Ia adalah ajaran langsung dari Tuhan

Adakah kamu mengaku beriman sedangkan kamu belum diuji


Oktober ini mengajarku

Letakkan Allah dihatimu

Manusia digenggamanmu

Andai perlu dilepaskan….kau tak rugi walau sedikit..


Tintapenuntut..

Pantai dalam, saat angin oktober menyapa dari jendela kamarku

Nyaman…tapi pilunya lebih terasa…

Monday, October 4, 2010

Ujian itu tarbiyah

Ya Allah...tak tergambar peritnya hati ini menerima dugaan yang sebegini berat. Tak tergambar dek akal, tak terbayang di fikiran bahawa Allah akan menguji aku dengan ujian yang sangat menghancurkan hatiku. Ya Allah, kenapa ini yang harus aku lalui? Apa salah aku?

Hati aku tanpa segan menyalahkan Tuhan. Cepat aku tersedar, aku beristighfar. Aku teringat bait-bait kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang kubaca dari blog beliau.

"Gunakanlah prinsip: Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.

Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia."

Ya Allah, ujian sekecil ini sudah membuatkan aku melatah, betapa lemahnya iman aku, syukur kau bukakanku jalan sebelum lebih jauh masalah ini pergi, syukur ujian ini membuatkan aku berfikir lebih waras.. Syukur kau kurniakan aku teman-teman untuk menenangkanku kala kau berikan aku ujian. Akhirnya sukmaku yang bergelora menahan sedih pilu bersuara, aku redha ya Allah kau berikan aku ujian ini.. Aku mengerti ujian itu bisa meningkatkan imanku, dan aku mengerti ujian ini sebagai kifarah dosa-dosaku....