Monday, August 10, 2009

Amanah yang tak tertunai........Ighfir Zunubi YA RABB

ASIS YANG SAYA SAYANGI
Menghitung hari, hari konvokesyen yang tinggal dua hari saja lagi. Konvokesyen sebenarnya bagaikan tidak memberi apa-apa makna buat saya secara peribadinya. Tradisi keluarga, ibu dan bapa saudara yang jauh lebih hebat, walaupun konvokesyen untuk Sarjana, mereka tidak menghadirinya. Segan, segan dengan Ilmu di dada yang entahkan ada entahkan tidak. Tetapi, dengan niat supaya konvo ini dapat memberi motivasi buat adik-adik tersayang, saya hadiri. Mengingatkan tradisi konvokesyen ini dimulai ketika Islam di zaman kegemilangannya, saya hadiri.

Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam (Bioteknologi) (Kepujian), saya tahu ilmu di dada tak sebanyak mana, mengenang kembali, saat borang UPU diisi. Universiti Malaya pilihan pertama saya, dan Sains Gunaan pilihan saya yang utama, walaupun saya tahu saya akan berpisah dengan MATEMATIK yang saya cintai sepenuh hati dan saya tahu saya akan berhadapan dengan BIOLOGI yang amat saya lemah sepanjang pengajian saya. Universiti Malaya, “tradisi kecemerlangan” keluarga saya, sebelum Nilam Puri diambil alih oleh Universiti Malaya, arwah Pak Long dan Pak Ngah menuntut di situ dan menghantar mereka ke Mesir, Bumi Kinanah. Menjadi warga Universiti Terulung, Jamiah Al-Azhar. Kholah(Bahasa Arab yang bermaksud ibu saudara) menyusul, dan ketika itu, Nilam Puri diambil alih oleh UM, Kholah (panggilan untuk Mak Lang) tidak ke Mesir, tetapi ke UM Kuala Lumpur. Makcik dan Paksu pula menyusul, semuanya sebagai pelajar Akademi Pengajian Islam. Abun saya pengikut setia Anwar Ibrahim(kecuali ketika Anwar masuk UMNO) pula sentiasa menyuburkan rasa kagum pada DSAI yang petah pidatonya, membuatkan saya menjadikan UM sebagai Universiti idaman saya kerana Idola saya dididik di sana. Saya ditawarkan Matrikulasi Gopeng di negeri kelahiran saya sendiri dan juga Institut Perguruan Darul Aman yang mungkin menjanjikan masa depan yang lebih cerah dengan pekerjaan sebagai guru, tetapi saya nekad menolak kerana ingin terus menjadi warga UM.

Cita-cita dan Impian saya, ketika mula-mula memilih Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam, mahu jadi seperti Ilmuwan Islam tersohor, Jabir Ibn Hayyan Bapa Ilmu Kimia, Ibn Sina Bapa Perubatan, Al-Khawarizmi penulis kitab masyhur Al-Jabar, Abbas Ibn Firnas pencetus idea Kapal Terbang, Ibn Haitham Pakar Bidang Optik dan Ilmuwan-ilmuwan Islam yang lainnya. Mereka bukan sahaja menguasai satu bidang ilmu, bahkan pelbagai. MasyaAllah, hebatnya mereka. Saya impikan untuk menjadi seperti mereka, walaupun sudah tamat pengajian, impian itu tidak pernah padam, saya berdoa, jika Allah takdirkan saya untuk tidak menjadi seperti mereka, Moga-moga Allah takdirkan saya mendidik dan melahirkan generasi yang akan mengikut jejak mereka, Para Ilmuwan Islam yang saya kagumi.

Selepas PMIUM, persatuan yang saya sayangi di UM ini ialah ASIS(Applied Science With Islamic Studies Society) dan juga KRMTAZ( Kelab Rakan Motivasi Tun Ahmad Zaidi). Sayangnya KRMTAZ dibubarkan ketika Prof. Madya Dr. Faizah Yunus mengambil alih jawatan Pengetua Kolej. Melalui KRMTAZ saya mula belajar bergaul dengan pelbagai jenis ragam kawan-kawan, dari yang wara’ sehingga yang “gila-gila”. Bercampur dengan rakan-rakan dari pelbagai fakulti mengajar saya untuk mengenali pelbagai jenis mad’u. KRMTAZ membawa saya ke Pahang dan juga Melaka dalam melebarkan sayap ukhuwah Islamiah, mengajar saya berani berhadapan dengan masyarakat luar, berhadapan dengan karenah pentadbiran Kolej. Semua itu cukup Indah. Ada juga yang pahit, tatkala berselisih pendapat dengan sahabat seangkatan, Sobirine yang akhirnya menjadi tuning sahabat kesayangan saya. Sesuatu yang amat tidak disangka, tetapi percaturan Allah Maha Hebat, natijahnya, saya tidak lagi bermasam muka dengan tunang sahabat saya itu. Semasa bersama KRMTAZ juga saya mengenali Kak Ad dan Abg Nuar yang banyak mengajar selok belok dalam menguruskan program.

Sayang kepada ASIS, berbeza, walaupun ASIS bukanlah persatuan yang gah di Akademi Pengajian Islam, apatah lagi di UM, tetapi saya cukup menjiwainya kerana saya punyai impian bersamanya. Saya selalu berangan-angan untuk menggunakan platform ASIS dalam memupuk semangat mengembalikan kegemilangan Ilmuwan Islam di kalangan ahli-ahli ASIS itu sendiri. Saya selalu berangan-angan untuk melihat graduan-graduan ASIS keluar menjadi
Ilmuwan yang boleh menjadi jurubicara Ummah dalam pelbagai isu –isu semasa Sains dan Teknologi berbekalkan akidah yang mantap dan ilmu yang mampan. Tetapi malangnya saya selalu gagal kerana angan-angan saya tidak diiringi usaha. Saya sendiri pun masih gagal untuk membentuk diri saya, jadi tidak hairanlah kenapa saya gagal merealisasikan apa yang saya angankan. Tetapi, saya doakan agar ada yang meneruskan impian ini.

Teringat kata-kata Saidina ‘Umar ketika Berjaya menawan Baitul Maqdis. Kita dimuliakan oleh Allah dengan ISLAM, tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan selain ISLAM yang diberikan oleh Allah, maka Allah akan memberi kita kehinaan. ‘Izzah dengan ISLAM. Mulia dengan ISLAM. Alhamdulillah. Allah masih menitipkan keimanan buat hambaNya yang lemah ini. Namun, sedih tatkala melihat sahabat-sahabat ASIS sendiri seolah-olah tidak merasa ‘Izzah dengan ISLAM, sedangkan kami sama-sama ditarbiyah di bumi bi’ah solehah, Nilam Puri, belajar aurat harus dijaga, maruah wajib dipelihara, ilmu mesti beramal dengannya. Ketika di tahun pertama, atas usaha beberapa sahabat, Ustaz Nazri Yunus yang merupakan senior SGPI, datang memberi sedikit nasihat dan teguran yang benar-benar menusuk Kalbu buat kami semua pelajar-pelajar tahun pertama SGPI. Waktu itu istilah Profesional Ustaz “PROTAZ” sangat popular. Kata-kata Ustaz Nazri yang berbaur kemarahan yang saya takkan lupakan, “Nak jadi PROTAZ konon, ini bukan PROTAZ, tapi PROTON, Profesional Syaitan”. Mungkin sedih yang tak tertahan mendengar cerita-cerita tentang kelakuan buruk junior-juniornya membuatkan beliau berkata sebegitu.

ASIS saya tinggalkan. Saya tinggalkan dengan impian yang tak tercapai, tetapi impian itu takkan pudar dari hati. Dua tahun sebagai orang yang berada di dalam organisasi ASIS membuatkan saya bermuhasabah sendiri, menginsafi amanah yang tak tertunai. Ukhuwah sesama ahli ASIS yang sangat lemah, gagal saya kuatkan. Ada yang hanya suka mengusung Jaket ASIS ke sana ke mari, tetapi bila di ajak berprogram, tidak mengaku ahli ASIS pun. Sedih. Tak kurang yang menyayangi ASIS tetapi kerana taklifan yang lebih berat, membuatkan mereka terpaksa memandang ASIS dari jauh. Saya hargai , moga Allah permudahkan urusan kalian. Terlalu banyak kegagalan saya, tak terungkap, Allah sahajalah yang bisa mengampuni dosa yang bertimbun ini. ASIS, ramai yang hebat di dalamnya, Saudara Nazri Yunus, Saudara Azlan Zainal, Saudara Norazali Zainudin dan ramai lagi aktivis mahasiswa yang lain. Saya tumpang bangga. Teringat kata-kata Pengarah API ketika merasmikan Majlis Penutupan ASIS Day ‘09, tatkala Saudara Remy, Pengerusi ASIS menyatakan Presiden PMIUM merupakan pelajar SGPI, beliau turut bangga, kerana beliau sangkakan pelajar SGPI adalah jenis yang suka terpencil.

ASIS @ SGPI, tentu sahaja Prof. Dr. Mahmood Zuhdi tidak sekadar saja-saja mencetuskan kewujudannya. Sehingga saat ini, SGPI sudah mempunyai 3 generasi yang bergraduasi, pelbagai pembaikan dilakukan dari segi silibus mahupun pengiktirafan.
Terima kasih buat Kak Ani yang sangat dedikasi dalam kerjanya. Terima kasih buat Dr. Wan Suhaimi dan Dr. Noor Naemah yang sangat optimis dengan Program ini. Walaupun kemasukan pelajar baru SGPI semakin berkurang, dek kerana ramai ibu bapa yang risau anak-anaknya menjadi tikus putih, dan dek kerana bimbang masa depan yang tak terlihat jalannya, saya doakan, moga-moga yang sedikit ini mampu menggoncang dunia.

Buat Junior-junior ASIS. Tanamkan keazaman untuk menjadi Muslim yang terbaik. InsyaAllah, kita bisa membantu dalam mengembalikan kegemilangan ISLAM. Semoga Berjaya akak doakan untuk kalian. Maaf atas bantuan yang tak seberapa. Maaf atas amanah yang tidak dilaksanakan dengan baik.
Coretan ini dinukilkan kerana rasa sesal yang menebal. Sesal kerana gagal menunaikan amanah.
Pegang amanah sebagai seorang belajar sebaik mungkin. Sehebat dan sepandai mana pun kita, kelas mesti dihadiri tanda hormat seorang penuntut ilmu kepada gurunya. Sebosan mana pun seseorang pensyarah itu mengajar, keberkatan tetap ada pada Ilmu yang disampaikannya.

Buat sahabat-sahabat yang akan bergraduasi. Tahniah diucapkan.Perjuangan tak terhenti di sini. Masih jauh denai yang perlu dilalui. Semoga kita takkan patah semangat. Semoga rasa CINTA pada ISLAM kian menebal. Hikmah yang hilang. Sama-sama kita cari, agar kita miliki HIKMAH itu kembali. Biarpun kita mati tanpa sempat melihat ISLAM gemilang. Moga kita mati dengan usaha ke arah memastikan ISLAM gemilang, kuffar KECUNDANG.

Ahlan Ya Ramadhan


Sya’ban menghampiri penghujungnya
Ahlan Ya Ramadhan
Bulan penuh kemuliaan
Awal nya rahmah
Pertengahannya keampunan
Akhirnya Jauh dari neraka

Ahlan Ya Ramadhan
Bulan lailatul Qadar
Moga terpilih untuk mendapatnya
Bulan peristiwa Badar penuh sejarah
Kemenangan bukti pertolongan Allah


Ahlan Ya Ramadhan
Moga Ramadhan ini permulaan
Kembara hamba penuh keinsafan
Taubat dari dosa dan noda
Moga istiqamah dalam beribadah
Setelah dididik madrasah ramadhan yang penuh barakah