Monday, December 27, 2010

Persidangan + cuti-cuti Pulau Pinang

Bismillah...

19 Disember 2010

Bertolak ke Pulau Pinang bersama Pakndak sekeluarga yang kebetulan mahu memenuhi undangan majlis perkahwinan anak sahabat mereka ketika di Mekah. Majlis perkahwinan itu tersebut berlangsung di Junjung, Kulim. Berjiran dengan Pulau Pinang. Sekitar jam 4 petang, kami tiba di rumah mertua kakak saya. Terima kasih kerana sudi menumpangkan saya selama 5 hari sebelum berangkat ke Langkawi. Allah sahajalah yang mampu membalas jasa kalian.

Hari pertama di Pulau Pinang, terhibur dengan keletah anak buah yang sungguh rajin!!




20 Disember 2010

Jam 5 pagi kakak menghantar SMS bertanyakan samada Siti(sahabat sepengajian) sudah tiba atau belum di Stesen Bas Butterworth. Setelah mendapat maklumat bahawa beliau sudah hampir tiba, saya, kakak, abang hafiz dan juga mehdi si kecil yang terpaksa berjaga awal pagi itu pergi menyambut beliau. Alhamdulillh, saya tidak keseorangan di Persidangan nanti. Gementar juga jika keseorangan.

Jam 8.20 pagi, kami bertolak ke Hotel Eastin, Queensbay, Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan yang pendek itu, saya gunakan untuk berlatih supaya lancar ketika membentangkan kertas kerja. Ini merupakan pengalaman pertama saya membentangkan kertas kerja dalam bahasa inggeris. Alhamdulillah tiba jam 8.50pagi. Fasting and Sustainable Health Conference dianjurkan oleh Cluster Healthy Lifestyle, Advance Medical And Dental Institute(AMDI), USM.

Jam 9 pagi, bermula dengan Perasmian oleh Naib Canselor USM. Pertama kali juga berdiri untuk menyanyikan lagu universiti lain. Lagu Rasmi USM, Menara Ilmu. Siti berbisik kepada saya, "mana lagi best?". Minda yang sudah masak dengan lagu Varsiti sudah pasti memilih lagu Varsiti sendiri.=)

Jam 10 pagi, kelibat seorang lagi sahabat yang perlu hadir di persidangan tersebut, Mohd Afifuddin yang bakal menjadi staf AMDI masih belum kelihatan. Perbentangan pertama dari speaker jemputan bertajuk Science of Fasting: Aspect From Islamic Perspective. Jika diberi nilai 1-10, saya nilaikan 10! Ustaz Hussain Yee Abdullah yang membentangkan tajuk tersebut berjaya menghuraikan puasa dari perspektif Islam secara mudah dan memperlihatkan betapa Islam agama yang mudah.

Jam 11.30 pagi, giliran saya hampir tiba, saya mendapat giliran ketiga, giliran pertama Dr. Ratna Roshida dari USM, giliran kedua Prof Madya Dr. Nurdeng Dueraseh dan giliran keempat Prof Emeritus Dr. Jitender Mohan dari Panjab University, India. Wah! Saya? Masih belum punyai gelaran Dr. pada pangkal nama. InsyaAllah pasti ada masa akan datang. Amin. Gembira bercampur gementar dapat membentangkan kertas kerja bersama Dr. Nurdeng Deuraseh, sudah lama berhajat ingin berjumpa beliau, Allah ketemukan kami di sini. Kertas kerja saya bersama sahabat-sahabat bertajuk, "Significance of Sahur During Fasting According To Islamic and Scientific Fasting". Akhir perbentangan Dr. Nurdeng bertanyakan dua soalan kepada saya. Pertama, bagaimana dikatakan sahur itu seperti sarapan dengan budaya masyarakat yang bersarapan jam 9pagi? Dan kedua, bagaimana hendak menterjemahkan kepentingan tamar dengan makanan asasi di negara-negara lain. Urf, saya hanya menjawab soalan-soalan itu, tetapi turun sahaja dari pentas, saya sudah terlupa apa yang saya jawabkan. Saya memang selalu terlupa. Yang lebih melucukan, sebelum menjawab soalan, saya tanpa segan silu bertanya "what is the first question? i already forget". Huhu. Inilah pengalaman yang mengajar erti kedewasaan, pengalaman berada di universiti kehidupan.

Jam 1 petang, saya, siti dan afif makan tengahari semeja dengan Dr. Nurdeng, isteri beliau dan juga Dr. Ratna Roshida. Juga turut di meja tersebutt, seorang doktor perubatan dari Myanmar yang sedang melanjutkan pelajaran '3rd degree' dalam bidang public health. Sedang menjamu selera, Dr. Nurdeng dan Dr. Ratna membuka topik kemunduran orang melayu. Kata mereka, sifat malas bangsa melayu itu sendiri yang membuatkan bangsa ini mundur. Tanah orang melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 1%! Oh bangsaku.. Pelajaran dari Dr. Nurdeng juga yang saya perolehi, katanya 'Ilmu ibarat benda di tengah meja (dengan membuat gaya meletakkan gelas air di tengah meja makan), untuk mendapatkannya perlu ada kerajinan, usaha dan disiplin, ini hanya satu contoh, bila sudah dapat ilmu, permasalahan apa pun yang datang, pasti dapat diselesaikan, insyaAllah, macam soalan yang saya tanyakan pada kamu tadi'.


Saudara Afif, Dr.Nurdeng, Pn Hayati(isteri Dr. Nurdeng) dan Dr. Ratna


Giliran siti dan saya pula bergambar

bersambung.....

Thursday, December 9, 2010

RINDU......

Rindu...
Kadang kala bisa menenangkan....

Rindu pada Mehdi
Rindu pada Usamah
Rindu pada Huda dan Khaulah

dan

Rindu pada anak buah yang baru
Darwisy al-Abqari....;)







Wednesday, December 1, 2010

Omongan hati

Tesis. Suku pun masih belum siap. Terlalu banyak yang mahu dibincangkan. Tamak. Ya, aku mahu haloba dalam ilmu. Ramai mula bertanya-tanya, kapan usai sarjana? Aku hanya diam membisu, kekadang melemparkan senyuman kelat. Sungguh, baru ku tahu langit itu tinggi atau rendah, oh, rupanya sangat tinggi. Menggapai langit rupanya tidak semudah yang ku sangka. Tuhan, mudahkan urusanku dalam menuntut ilmu.

Aku menjeling buku-buku yang tersusun kemas dalam almari bukuku. Buku-buku sastera, sains dan haraki yang masih banyak yang belum diusik. Maafkan aku, aku belum menunaikan hakku ke atas kalian. Aku buntu. Aku perlu tumpu pada sarjana ini seketika. Ini juga cintaku. Ilmu agama yang membuatkan aku rasa selamat dengannya. Sungguh, aku tidak tersalah jalan. Mudahan begitu. Walaupun payah untuk ku hadam setiap isinya, tapi puas di akhirnya.


Thursday, November 25, 2010

Duhai nenda...


Hari ini khamis, genap seminggu perginya gemulah nenda menemui Ilahi. Mengingati tarikh itu, 18 November 2011, Aidil Adha kedua. Seawal jam 4 pagi aku sudah terjaga, usai menjalankan kewajipanku sebagai hamba, aku menyambung penulisan tesis ketika itu. Ku dengar dari dalam kamarku, makcik-makcikku berulang-ulang kali mengucapkan kalimah Lailahaillallah, terkadang Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin , terkadang kalimah istighfar. Mereka sememangnya sudah berhari-hari berjaga malam menjaga nendaku. Siapa saja yang lapang, akan duduk disamping nenda dan membacakan al-Qur’an. Nenda, ketika sihatnya seorang guru al-Qur’an, anak muridnya ramai, aku tidak pasti bilangannya , cuma yang pasti anjung teratak nenda yang luas itu penuh dengan anak-anak muridnya yang datang mengaji. Masih ku ingat, ketika kecil, ramai kanak-kanak bayaku datang ke rumah nenda untuk belajar mengaji, papan rehal yang berat bersusun tinggi di atas tangga rumah nenda. Cerita umi, nenda juga pakar masakan di kampung itu. Demikian itu, nenda sangat dikenali bahkan disayangi masyarakat sekeliling. Sepanjang 14 tahun nenda terlantar sakit , Qur’an adalah peneman nenda. Sungguhpun nenda tidak mampu lagi membaca al-Qur’an, tetapi al-Qur’an sentiasa dipasang dan diperdengarkan. Masih ku ingat, suatu hari aku dan kakakku melihat nenda mencatat sesuatu di dalam sebuah buku, ku lihat angka 1000 dan beberapa tulisan yang tidak kufahami ketika itu. Aku dan kakakku bertanya, “Siti tulis apa?”, nenda menjawab “ Tiap hari siti baca zikir harian sebanyak 1000 kali, bila dah cukup siti akan tulis”, lebih kurang begitu dialog aku, kakak dan nenda ketika itu. Yang kufahami tika itu, nenda menulis pahalanya. Begitulah pemikiranku ketika kecil dahulu.

Jam 6.15 pagi umi mengajak aku ke dapur, menyiapkan sarapan. Aku membuntuti umi. Pagi itu sarapan meriah dengan lemang, rendang dan nasi daging lebihan juadah hari raya semalam. Namun, suasana suram sekali. Semua tekun membaca al-Qur’an disamping nenda. Aku memanggil semua adik-adik dan sepupuku, minta bersarapan dahulu sebelum menyambung kembali bacaan al-Qur’an. Tika semua berkumpul di hadapan hidangan, Kholahku (Maklang) bersuara “ Pagi ni, jangan ada yang buka TV, Laptop dan main handphone, lepas makan, ambil wuduk, ambil Qur’an , duduk keliling siti dan baca Qur’an, siapa tak boleh solat, baca fatihah dan 3 kul niat zikir. Siti sedang sakarat.” Perlahan-lahan tutur kholah. Jantungku bagai berhenti berdegup mendengar perkataan ‘sakarat’ itu. Adik-adik dan sepupuku semua menurut tanpa membantah. Anak-anak nenda semua disisi bahagian depan paling hampir dengan nenda, makcik, makteh, paksu, umi, kholah, makndak. Cucu-cucu nenda dibahagian belakang. Atha’, Ismail, Imran, Muhammad, Miqdad, Nu’man, Syafiqah, Nuha, Aishah, Huda dan Khaulah. Satu persatu wajah adik-adikku itu ku tatap. Huda dan Khaulah yang kecil itu turut memegang Qur’an membaca ayat-ayat lazim. Ismail, Imran, Muhammad dan Nu’man duduk disisi kiri katil nenda. Atha’, Miqdad, aku dan cucu-cucu perempuan yang lain disisi kanan katil nenda. Sesekali paksu dan kholahku membisikkan kalimah syahadah ditelinga nenda. Yang lain, menyuapkan air di bibir nenda. Orang kampung mulai hadir dan turut mengalunkan bacaan al-Qur’an.

Jam 9.50 nenda pergi buat selamanya. Masing-masing berjujuh air mata tidak mampu menahan sebak. Suci bersih wajah nenda tika itu. Melihat nenda mudah hadapi sakaratnya, aku menginsafi diri untuk menjadi hamba yang selalu mendampingi al-Qur’an. Kenangan bersama nenda terlalu banyak, semuanya mengajarku untuk menjadi muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang indah. Maafkan aku nenda, sepanjang sakitmu, aku tidak banyak membantumu. Semoga kita sekeluarga dihimpunkan dipertemukan lagi di syurga kelak. Teratak nenda kini pastinya sepi, walaupun masih berpenghuni, tapi tentunya sunyi, tiada seri tanpa nenda.

Ya Allah, ampuni dosa siti, jad, atuk dan opahku...kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktuku kecil. Tempatkanlah mereka bersama para mukminin. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun.

Tuesday, October 5, 2010

Angin oktober yang pilu

Angin oktober yang bertiup ,

Derasnya mengiringi turunnya hujan,

Bagaikan memahami degupan jantungku yang kencang

Menahan derai air mata..

Yang acapkali meronta minta dihamburkan..

Dan acapkali juga aku kalah dengan permintaannya..


Angin oktober yang pilu

Oktober ini tidak seperti selalu

Yang selalu hadirnya menceriakanku

Oktober ini pilu

Sepilu hatiku yang terluka…

Luka yang entah bila sembuhnya..


Angin oktober ini menampar-nampar pipi ku..

Menyedarkanku pilu itu tidak perlu

Masih jauh kehidupan yang perlu kutempuh…

Ujian ini meskipun memilukan

Ia adalah ajaran langsung dari Tuhan

Adakah kamu mengaku beriman sedangkan kamu belum diuji


Oktober ini mengajarku

Letakkan Allah dihatimu

Manusia digenggamanmu

Andai perlu dilepaskan….kau tak rugi walau sedikit..


Tintapenuntut..

Pantai dalam, saat angin oktober menyapa dari jendela kamarku

Nyaman…tapi pilunya lebih terasa…

Monday, October 4, 2010

Ujian itu tarbiyah

Ya Allah...tak tergambar peritnya hati ini menerima dugaan yang sebegini berat. Tak tergambar dek akal, tak terbayang di fikiran bahawa Allah akan menguji aku dengan ujian yang sangat menghancurkan hatiku. Ya Allah, kenapa ini yang harus aku lalui? Apa salah aku?

Hati aku tanpa segan menyalahkan Tuhan. Cepat aku tersedar, aku beristighfar. Aku teringat bait-bait kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang kubaca dari blog beliau.

"Gunakanlah prinsip: Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.

Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia."

Ya Allah, ujian sekecil ini sudah membuatkan aku melatah, betapa lemahnya iman aku, syukur kau bukakanku jalan sebelum lebih jauh masalah ini pergi, syukur ujian ini membuatkan aku berfikir lebih waras.. Syukur kau kurniakan aku teman-teman untuk menenangkanku kala kau berikan aku ujian. Akhirnya sukmaku yang bergelora menahan sedih pilu bersuara, aku redha ya Allah kau berikan aku ujian ini.. Aku mengerti ujian itu bisa meningkatkan imanku, dan aku mengerti ujian ini sebagai kifarah dosa-dosaku....


Friday, September 17, 2010

Syawal, Lebaran, Aidil Fitri...

Bismillahirrahmanirrahim..

Syawal sudah memasuki hari ke 8. Mood raya masih segar di kalangan masyarakat Islam Malaysia. Cerianya lebaran adalah bergantung kepada kejayaan seseorang muslim melalui bulan Ramadhan. Semoga ramadhan yang baru berlalu lebih baik dari ramadhan pada tahun-tahun lepas..

Alhamdulillah...lebaran kali ini disambut dengan sederhana tetapi tetap meriah, sesuai dengan usia yang makin meningkat, raya bukanlah sekadar bermaaf-maafan, tetapi raya adalah medan untuk melatih diri untuk istiqamah dengan amalan yang dilakukan di dalam bulan ramadhan..Adakah Qur'an masih menjadi agenda utama dalam diari harian kita semasa bulan syawal ini? Ataupun tadabbur Qur'an sudah menjadi agenda terakhir..sama-samalah kita bermuhasabah diri..

Syawal pertama, beraya di rumah siti (nenek) , seperti biasa, bermula hari terakhir puasa, seisi rumah sudah sibuk membuat persiapan untuk menyediakan juadah untuk hari terbuka..Menu tahun ini, nasi lemak, ayam goreng berempah, udang masak petai dan kuih-kuih raya yang lain..tanpa lemang, ketupat dan rendang tahun ini, serasa kurang sempurna hidangan...hurm...tapi, apa yang penting, tidak membazir!! Terlalu banyak juadah kadang-kadang akan membawa kepada pembaziran..





Syawal kedua, pulang ke rumah, seperti biasa, tetamu hadir tak putus-putus..tetamu hadir membawa berkat..Menu di rumah pula, ringkas sahaja , bihun goreng, nasi impit dan kuah kacang air tangan saya..hehe..




Paling istimewa raya kali ini, ialah kehadiran sahabat-sahabat baik yang menceriakan lagi lebaran ...terima kasih Munirah sudi hadir, juga Pn. Safiyah dan Ustaz Sobirin walaupun sesat akhirnya sampai juga, mungkin kalian mencipta sejarah tetamu yang paling lewat datang beraya, jam 12tengah malam!!..=) dan tetamu yang datang beraya dua kali..=) terima kasih banyak...



Dalam kemeriahan beraya, ingatlah sahabat-sahabat kita di Pakistan dan negara-negara Islam yang lain, yang menyambut Aidil Fitri dalam keadaan serba kekurangan...
Jangan berhenti bersyukur!
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.....
Semoga bertemu lagi Ramadhan yang akan datang...juga Syawal yang akan datang...

Saturday, August 28, 2010

Dar el-Ulum

Hari ini 18 Ramadhan..lagi 2 hari untuk ke fasa terakhir, mengejar lailatul Qadar..semoga tergolong dalam hamba-hambaMu yang bertuah Ya Allah..

Dalam damainya ramadhan ini

Dalam damainya ramadhan ini..
Aku terkenang damainya bumi haramain yang pernah ku jejaki..
Ya Allah..sampaikan lagi aku ke sana
Menatap baitullahMu
Menziarahi makam kekasihMu

Dalam damainya ramadhan ini..
Aku masih seperti dulu..
Berjuang melawan nafsu
Yang terkadang lupa akan taggungjawabku
Dalam melunaskan amanah sebagai penuntut ilmu..



Dalam damainya ramadhan ini...
Aku terkenang dar el-ulum
Tempat aku menadah ilmu bahasa Nabiku
Kenangan ini membuat aku segar
Lalu ku pantas merencana
Satu per satu langkah yang perlu kuatur
Agar tak ku tercicir dari landasan agamaMu..

Dalam damainya ramadhan ini..
Aku memohon dariMu
Beri kekuatan padaku
Menempuh hari yang mendatang dengan tenang
Setelah kabut melandaku hari-hari semalam..
Aku meminta dariMu
Agar mudah urusan duniaku
Agar kelak mudah urusan akhiratku

tinta penuntut..perpustakaan tercinta ini
28 Ogos 2010

Wednesday, August 11, 2010

RAMADHAN KAREEM


SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN YANG MULIA

RAMADHAN
AWALNYA RAHMAH

PERTENGAHANNYA MAGHFIRAH

AKHIRNYA JAUH DARI API NERAKA


SEMOGA RAMADHAN INI LEBIH BAIK DARI RAMADHAN YANG LALU

Thursday, July 29, 2010

Kenangan di Seminar Warisan Nabawi 2010


Khasiat Buah-buahan Yang Disebut Di Dalam Al-Qur’an : Satu Tinjauan awal Terhadap hadith-hadith sunan sittah dan kajian Sains

Oleh :Sumaiyah Mohd Tamizi (Pelajar Sarjana Universiti Malaya)

& Ishak Suliaman (Prof Madya Jbtn Qur'an & Hadith)

& Halijah Ibrahim (Prof. Institut Sains Biologi)

Abstrak: Sejak kebelakangan ini, kecenderungan masyarakat mengamalkan makanan yang disebutkan di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah merupakan sesuatu amalan yang positif. Hal ini dapat dilihat melalui kemunculan pelbagai syarikat yang menawarkan produk-produk makanan kesihatan yang bertemakan makanan al-Sunnah. Antara makanan yang disebutkan di dalam al-Qur’an ialah buah-buahan, madu, susu, manna dan lain-lain. Artikel ini akan menyoroti buah-buahan yang disebutkan di dalam al-Qur’an iaitu Kurma (Phoenix dactylifera), Zaitun (Oleo europea), Tin (Ficus carica), Delima (Punica granatum) dan Anggur (Vitis vinifera). Ayat al-Qur’an tentang buah-buahan ini tidak menyebut kebaikannya secara langsung, tetapi keyakinan tentang keistimewaan buah-buahan ini adalah kerana ianya disebut di dalam al-Qur’an yang merupakan mukjizat teragung dan ia adalah bukti kekuasaan Allah S.W.T. Artikel ini bertujuan untuk me khasiat buah-buahan ini berdasarkan hadith-hadith Nabi S.A.W melalui Sunan Sittah (Shahih Bukhary, Shahih Muslim, Abu Dawud, At-Tirmizi, Nasaie dan Ibn Majah) dan juga kajian-kajian sains melalui jurnal-jurnal penyelidikan dan buku-buku perubatan Islam. Hasil analisis ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat sebagai alternatif dalam pencegahan dan perawatan pelbagai penyakit.

Kata kunci : Buah-buahan yang disebut di dalam al-Quran, Sunan Sittah, Penemuan Sains

*kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Warisan Nabawi, SWAN10, di Fakulti Pengajian Qur'an dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia pada 28 dan 29 Julai 2010.


-Alhamdulillah, membentangkan kertas kerja di luar kampus sendiri merupakan pengalaman baru. Syukur, segalanya berjalan lancar. Semoga yang mendengar beroleh manfaat. Terima kasih buat Ustaz Ishak dan Prof Halijah atas bimbingan dan dorongan. Minggu depan, satu lagi pembentangan dan kali ini ditempat sendiri. Tajuk kertas kerja yang lebih mencabar. Pening menyiapkannya. Semoga dapat memberi manfaat kepada yang hadir. InsyaAllah.


Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan,

Saya penuntut ilmu yang sentiasa mahu belajar,

Kalau salah tolong bimbing dan betulkan.

Wednesday, July 21, 2010

Jemputan Buat Semua

Sukacita dimaklumkan bahawa Program Sains Gunaan Dengan Pengajian Islam, Universiti Malaya dengan kerjasama Yayasan Ilmuwan akan menganjurkan:

SEMINAR ISLAM, SAINS DAN TEKNOLOGI:KUPASAN BEBERAPA ISU SEMASA

4 DAN 5 OGOS 2010

BALAI ILMU, AKADEMI PENGAJIAN ISLAM

YURAN PENYERTAAN:

RM 100

RM 25 (PELAJAR)

Pelbagai isu akan dibincangkan di bawah topik pemikiran, kesihatan, pendidikan, astronomi dan sebagainya.

Sebarang pertanyaan emailkan ke alamat: shaikh@yi.org.my @ jundislami@gmail.com


Tuesday, June 29, 2010

Zaman yang ditinggalkan

Zaman kanak-kanak adalah momen terindah dalam graf perjalanan hidup saya secara peribadinya.Alhamdulillah syukur Allah berikan rezeki melalui zaman kanak-kanak dengan sempurna. Seawal darjah satu, abun mewajibkan saya dan kakak menghafaz surah-surah juzu' 'amma, setiap kali selepas solat maghrib, kami akan di tasmi'. Apa yang pasti, kakaklah lebih hebat dari saya, kakak menjuarai pertandingan hafazan setiap kali beliau mewakili sekolah, saya pula seringkali tersangkut sana dan sini. Surah yang paling mencabar untuk dihafaz tika itu ialah surah al-Muthoffifin. Hanya kakak yang berjaya menghafaz, saya pula menipu abun. Bagaimana saya menipu? Saya tasmi' di depan abun kononnya dalam keadaan memejam mata dengan helaian surah itu dibuka. Hakikatnya saya melihatnya secara "curi-curi". Saya pasti abun tahu, tetapi oleh kerana saya bongsu ketika itu, saya tidak dimarahi bahkan dipuji. Itulah yang membuatkan kakak seringkali cemburu pada saya.

Tiap kali waktu senggang, abun akan menceritakan pelbagai isu-isu semasa kepada kami dua beradik(tika itu). Selepas itu, abun akan mengajukan trivia berdasarkan apa yang abun ceritakan. Antara soalannya, siapakah perdana menteri Malaysia, apakah ibu negara Amerika, dan soalan yang paling kami gembira kala menjawab ialah, siapakah Menteri Besar Kelantan. Kami menjerit, Tok Guru Nik Aziz!!! =) Sekarang, abun tidak lagi bertanya itu dan ini, anak-anaknya sudah besar, sekarang masa untuk bertindak sendiri. Abun....terima kasih..

Abun dan umi sangat berbeza karakternya. Abun suka menonjol, umi pula tidak. Jelasnya, kakak mengikut karakter abun, saya pula lebih mengikut cara umi cuma terkadang terikut juga cara abun secara tidak sedar. Sewaktu darjah dua, abun menyuruh saya membacakan pantun di perhimpunan sekolah, itulah kali pertama saya berdiri di hadapan orang yang ramai. Bermula dari itu, saya seringkali melibatkan diri dengan acara pentas, baca syair, syarahan dan sebagainya. Abun juga yang mendorong saya dengan sering menceritakan kehebatan Dato' Seri Anwar yang hebat pidatonya. Pencapaian paling baik saya ialah tika tingkatan 4 dan 5, mewakili zon keperingkat negeri dalam pertandingan pidato, dan memasuki pusingan akhir pidato piala diraja. Peliknya, saya tidak pernah berpidato di hadapan umi dan abun, dan saya juga tidak mempunyai jurulatih, saya hanya berlatih seorang diri di dalam bilik, semua ini gara-gara malu yang tak bertempat. Kali terakhir saya memasuki pidato sewaktu di Asasi Nilam Puri dan memenangi tempat ketiga. Akhirnya saya merasakan itu bukan jiwa saya.

Teringat juga, permainan sewaktu zaman kanak-kanak. Main getah, batu seremban, jengket-jengket, tuju kasut, tudung tin, main masak-masak dan ada juga main kawin-kawin . Tersenyum mengingatkan semua ini yang masih segar dalam ingatan. Permainan harian di kawasan perumahan saya ialah hoki dan rounders. Saya hanya suka bermain badminton bersama abun dan kakak. Abunlah paling hebat bermain badminton bagi saya, sementara menunggu bulu tangkis yang dipukul kami sampai, abun akan membuat pelbagai gaya, kami sangat terhibur. Main getah bersama kawan-kawan, mengutip getah, menyambungkan getah tersebut dan membahagikan kepada 2 kumpulan, cara membahagikan kumpulan dengan menyanyikan lagu "lat ta li lat ta li tam plum", kemudian menentukan kumpulan mana mendapat giliran pertama dengan 1,2 Juz. Bermula dengan melangkah getah yang dipijak di atas tanah, kemudian paras lutut, paras pinggang, paras dada, paras bahu, paras telinga dan paras kepala. Itulah zaman kanak-kanak dahulu yang berbeza dengan apa yang dilalui kanak-kanak sekarang.

Main-main juga, tepat pukul 7 mesti ada di rumah, pernah suatu ketika saya dan kakak pergi bermain rounders di padang permainan dan kami tidak menyedari jam sudah melebihi pukul 7, akhirnya kami dijemput umi yang membawa parang di tangan. Huhu. kami pulang ditemani deraian air mata. Satu lagi kisah, kakak dan saya mencuri-curi membeli bunga api, dan sewaktu umi tahu, umi merampasnya dan membakar kesemua bunga api tersebut. Kami hanya memandang dengan hati yang berbaur sedih dari cermin tingkap di rumah. Seharian kami tidak mengeluarkan suara kerana terlalu sedih. Umi sangat marah tika itu, tetapi umi menerangkan kepada kami, itu bukan budaya kita sebagai muslim.

Itulah zaman kanak-kanak, terlalu panjang kisahnya untuk ditulis di atas lembaran. Namun, semuanya masih segar dalam ingatan. Terima kasih umi dan abun. Syukur zaman kanak-kanak itu dilalui di madrasah kalian. Hari ini, saya sedar, saya tak ke mana tanpa umi dan abun. Kala abun melepaskan kami untuk berfikir sendiri, bertindak sendiri kerana kami meningkat dewasa, prestasi kami merudum, graf tidak lagi mencacak naik, sebaliknya statik. Betapa dewasa hanya pada usia.

Zaman itu sudah ditinggalkan walau masih dalam ingatan. Sekarang masa untuk memandang jauh ke depan. Supaya harapan umi dan abun dapat dilaksanakan.

Tuesday, June 8, 2010

Rachel Corrie

Semalam, aktivis-aktivis kemanusiaan yang menaiki kapal MV Rachel Corrie, selamat pulang ke tanah air. Kapal yang sebelum ini dinamakan sebagai LINDA ditukarkan nama kepada Rachel Corrie bersempena nama seorang aktivis Gaza dari Amerika yang terbunuh di tangan Israel.

Usia yang muda, beliau meninggalkan dunia setelah berjuang atas nama keadilan dan kemanusiaan. Usia 23 tahun, berani menentang kekejaman yahudi,bagaimana pula muda-mudi yang berusia 23 tahun di Malaysia hari ini? Termasuk saya tanpa kecuali, masih leka...

Perjuangan membebaskan Palestin pasti tidak akan terhenti, kerana Janji Ilahi, kemenangan itu pasti..

Berjuang, terlalu banyak pilihan yang diberikan Allah dalam perjuangan. Berjuanglah dengan apa cara sekalipun, jika seorang pelajar, sudah pasti belajar adalah perjuangannya. Kita mungkin tidak mampu untuk ke Palestin mengangkat senjata, namun, yakinilah dengan senjata ilmu di dada, kita kuatkan diri dan saudara seagama, membina masyarakat yang soleh, memilih pemimpin yang soleh, membina negara yang soleh, dan akhirnya, kekuatan yang ada kita gunakan menentang Zionis Laknatullah.

Baldatun tayyibah wa rabbun ghafur...


Wednesday, June 2, 2010

Sekadar ini yang ku mampu??

Sekadar ini yang ku mampu
Mengekspresi rasa benci
Tetapi, sampai bila harus hanya sekadar ini??




Sunday, May 30, 2010

Fikirkanlah dan Bersyukurlah...

Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di laut dengan(muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkanNya bumi setelah mati(kering), dan Dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, semua itu sungguh merupakan tanda-tanda(kekuasaan Allah) bagi orang yang berfikir. -Surah al-Baqarah (2) : 164-

Friday, May 14, 2010

Cetusan Rasa

Aku merasa bahagia dunia
Lantas ku terfikir, bagaimana ya bahagia di syurga
Aku melihat indahnya dunia
Lantas ku terbayang, indahnya syurga tak terbayangkan
Dunia
Sementara Cuma
Syurga
Kekal abadi
Aku mahu yang kekal itu..
Layakkah aku…
Layak..kiranya aku bersungguh meninggalkan dosa…
Juga kiranya aku diredhaiNya..
Ya Allah..redhaMu ku cari….

Mujahadah memang pahit
Iman itu manis
Dan syurga itu bahagia

Wednesday, May 5, 2010

Hai anak muda, bersediakah memimpin dunia?

Suatu pagi, umi sibuk bersiap-siap ke sekolah, sedang saya pula duduk di meja dan membelek-belek akhbar, umi bertanya:

"Global itu apa?"

"Global itu dunia, dunia global" jawab saya kurang pasti dan baru menyedari bahawa saya tidak memahami maksud perkataan itu sebelum ini.

"Bukan itu yang umi mahu, apa maksud global?" saya terdiam, memang saya tidak tahu menjawabnya, tetapi saya tahu penggunaannya. Rupanya saya perasan tahu.

Umi siap untuk ke sekolah, menyarungkan stoking di kaki. Saya juga masih membaca akhbar. Umi bertanya lagi :

"APCO itu apa?"

"APCO itu syarikat konsultasi milik Israel" Jawab saya, juga kurang yakin.

Umi membuka daun pintu, bersedia melangkah keluar, sebelum umi pergi, umi berpesan.

"Orang muda kena tahu semua itu, jangan pura-pura faham, jangan hanya membaca kepala berita, isinya perlu diteliti, dikaji, ok, umi pergi sekolah dulu, kunci pintu, kalau ada orang panggil buat tak layan saja, jemur kain, basuh pinggan, kemas rumah, masak untuk tengahari..Assalamu'alaikum"

Pagi itu, umi membuatkan saya berfikir dan bermonolog " Aku orang muda, mahu memimpin dunia kononnya, tapi, ilmu tak seberapa, disiplin tiada". Terbayang betapa disiplinnya orang Jepun dan betapa Yahudi yang tidak pernah berhenti mengatur strategi menghancurkan umat Islam.

Terus saya bangun dari kerusi, menyelesaikan kerja-kerja rumah, mengatur jadual supaya lebih disiplin. Ternyata saya berjaya untuk hari itu dan dua hari selepasnya. Hari berikutnya...hehehe..tapi tidak mengapa, azam baru untuk setiap hari yang baru, pagi dan petang yang baru..

Apa itu global?

Saya membuka kamus dewan, global maksudnya dari segi perkataan :

1. bkn dunia seluruhnya;
2. pd keseluruhannya, pd umumnya.

Globalisasi pula:

- fenomena yg menjadikan dunia kelihatan mengecil dr segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat: dlm era ~ sekarang ini, kita lebih terdedah kpd pengaruh budaya luar.

Apa itu APCO?

....belum habis dikaji....mungkin apabila isu ini sudah dingin baru saya siap mengkajinya, tidak mengapa..( semoga diri tidak terus-terusan LEMBAB begini, doakan saya)

Sekian,
Sekadar coretan insan biasa...

Friday, April 30, 2010

Apabila pemimpin pun.....

Salam buat semua,

Selepas pilihanraya Hulu Selangor selesai dan kemenangan berpihak kepada BN, bergembiralah penyokong-penyokong dacing (orang kampung sebut, dacing dolu-dolu, zaman takde penimbang digital, huhuh, tak maju sungguh). Gembira selepas duit ditabur-tabur(ooops...silap, kata ketua mereka"kami tak beli undi"). Apa yang boleh dilihat dan dibaca dengan mata kasar ialah:

Pertama: Pengundi melayu masih berfikiran kelas ketiga
Kedua : Kempen keji dan serangan peribadi BN berkesan, dan yang mudah dipengaruhi itu juga si layu...aduhai...
Ketiga : Kerendahan moral pemimpin yang memerintah negara terbongkar(sape terasa, nasib), Iyalah, mereka menjaja "Zaid kaki botol", mereka itu betul-betul spesies yang dinyatakan Tun dalam puisinya dulu, ...mudah lupa..lupa yang Zaid dulu dari kalangan mereka. Sudah pasti mereka dan puak-puak mereka juga begitu....

Hmm....apabila pemimpin pun begitu, apa nak diharap pada anak bangsa..
Tika menyelak halaman akhbar Harakah, mata tertegun sebentar pada tulisan Pak Subky Latiff, perihal seorang yang bernama Zaid Ibrahim yang meninggalkan jawatan menteri demi sebuah keadilan. Semoga cahaya hidayah Ilahi sentiasa menerangi kita semua. Amiin

tambahan : Sedang umi asyik membaca siasah, umi bersuara, "patutlah depa pertahankan tak mau sebat orang yang minum arak, rupanya depa pun.........." , heheh, tersenyum kami berdua..

Thursday, April 29, 2010

Takziah


Takziah buat keluarga adik Aminulrasyid Amzah. Gamam dan bingung seluruh negara. Adakah Institusi Polis semakin tidak boleh dipercayai.

Tak mungkin polis yang menembak adik ini berfikir seperti Nabi Khidir. Huh. Wallahu'alam..
Allah jualah yang mengetahui segala-galanya..Semoga roh adik Aminulrasyid tenang bersama orang-orang yang beriman, insyaAllah.

Noktah

Friday, April 23, 2010

Sehari di UniRAZAK

Pada 13 April yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi seorang rakan sekursus, Mohd Afifuddin Mohamad yang menjawat jawatan pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak, Kelana Jaya. Hasrat hati sebenarnya adalah untuk melihat beliau mengajar, tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau meminta saya, dan dua orang lagi sahabat (kak aishah dan kak sabil) untuk memberi sedikit pengisian lantaran silibus pengajarannya sudah diselesaikan. Kak sabil dan kak aishah ternyata sangat mahir dalam pengucapan awam, kak aishah mengambil sarjana dalam bidang dakwah dan kak sabil pula mengambil sarjana bidang al-Qur'an dan Hadith, ternyata bakat mereka sebagai pendakwah terserlah pada hari itu. Saya pula, jenuh memerah otak berfikir pengisian apa yang perlu saya kongsikan.

Generasi Muda Kini

Peluang untuk bersama segelintir mahasiswa UniRAZAK adalah satu pengalaman yang memberi banyak pengajaran kepada saya secara peribadi. Usai pengisian diberi, ada 2, 3 kelompok mahasiswi datang mengadukan masalah. Pelbagai masalah hinggakan saya terkelu lidah, tidak tahu apa yang perlu diresponkan. Sewaktu saya bertanya kepada pelajar-pelajar lelaki siapa yang merokok, 4/5 daripada mereka merokok. Sedih, jika saya yang tiada pertalian kekeluargaan dengan mereka merasa kesedihannya apatah lagi ibu bapa dan adik mereka. Langsung teringat adik lelaki seorang di rumah. Teringat ibu dan ayah menatang anak-anaknya bagai minyak yang penuh. Akhirnya...Allahu ya Ghafur, Ighfir zunubana...

Antara masalah yang diadukan kepada kami, masalah lesbian, masalah keluarga, masalah aurat juga. Zina? juga ada. Aduhai...saya memang sentiasa mengeluh panjang. Memikir apa senjata saya untuk memerangi penyakit-penyakit sosial ini. Saya yakin pemimpin-pemimpin hari ini lebih memikirkan masalah ekonomi, politik (bagaimana mahu merampas ini dan itu), hubungan antarabangsa(bagaimana mahu menjadi sekutu yang baik bagi kutu-kutu yang lain), tetapi masalah sosial ditolak tepi. Saya yakin memang pemimpin-pemimpin hari ini begitu, masakan tidak, mereka sendiri suka dan gembira melihat telatah anak-anak muda hari ini yang suka berhibur. Sebagai contoh, ketika menghadiri satu jamuan, yang berucap malam itu ialah seorang menteri, dengan riak gembiranya, dia (eh...silap, beliau) menzahirkan kebanggaannya dengan anak-anak muda yang pandai menyanyi, bersuara lunak dan berpakaian mendedah sana-sini. "kalau masuk Malaysia Idol, mesti menang ni" kata pak menteri itu. Gulp? wah, pak menteri ini memang berpandangan jauuuuuh....hmmm...


Persatuan Mahasiswa Islam Unitar (Permai)

Kagum saya bukan sedikit kepada penggerak-penggerak persatuan ini. Mereka begitu komited dalam pendirian beragama dan dalam mengadakan program-program da'wah dalam kondisi mahasiswa di situ yang majoritinya sudah jauh dari agama saya kira(juga yakin). Salah siapa semua ini. Malas untuk mendendangkan lagu bangau oh bangau, cuma renungkan dan fikirkanlah bersama. Sama-sama mengambil tanggungjawab, insyaAllah Malaysia Baru akan muncul jua.

Tahniah buat penggerak PERMAI...barakallah fikum jami'a..

Belajar melalui pengalaman

Kunjungan ke UniRAZAK tempohari adalah satu pengalaman yang berharga. Menyedarkan diri dengan tanggungjawab yang berjuta, amanah yang tak pernah ditunaikan dengan baik dan menyedarkan diri untuk terus belajar menjadi da'ie yang baik. Pertama, saya mahu menjadi da'ie yang baik kepada adik-adik yang membesar dalam persekitaran yang merosakkan, kala rokok dan dadah dijual bagaikan gula-gula di kampung saya, owh, sungguh menakutkan. Ya Allah, selamatkanlah aku dan keluargaku dari api nerakaMu.

Syukur yang utama buat Allah pengatur segalanya, Tahmid. Juga terima kasih buat Ustaz Afifuddin yang mendedahkan kami dengan pengalaman ini, juga terima kasih kerana belanja makan...:), semoga dimurahkan rezeki selalu..

kata hati : Rokok..rokok...rokok...kaulah musuh utamaku..benci..kenapalah kerajaan bodoh sangat benarkan penjualan rokok yang dah sah-sah merosakkan anak bangsa..siapla kerajaan, kalau kerana kau adik aku rosak, aku takkan lepaskan kau kerajaan...eiii..kera sungguh..pikir macam kera..memang geram sungguh..:'(

Tuesday, April 20, 2010

Cerita ceriti

Suatu kisah..sewaktu pemilihan calon untuk jawatan ketua pengawas di sekolah dot dot..cikgu nuar memilih Brahim sebagai calon..tapi pengawas-pengawas yang lain semua tak setuju..apa lagi...berderu-deru pengawas yang tak setuju tu hantar surat letak jawatan..bukan setakat itu, ada pula yang menyebarkan khabar bahawa Brahim itu seorang kaki rokok, sehari berkotak-kotak rokok dihisapnya.. Cikgu Nuar pun pening kepala, tapi cikgu Nuar percaya Brahimla yang paling layak, punyai pengalaman yang luas dalam kepimpinan. Cikgu Nuar selaku guru pengawas tentu sahaja mahu memilih calon yang mampu memimpin pelajar-pelajar sekolahnya. Tetapi selepas macam-macam protes, cikgu nuar naik runsing juga.

Pelajar-pelajar biasa lagi runsing, mereka memang menyebelahi Brahim, tetapi ada juga yang terpengaruh dengan khabar angin yang busuk baunya itu..Ada jugak yang tak setuju sebab Brahim baru masuk sekolah tu, tiba-tiba dah nak lantik jadi ketua..Brahim tu dulu exco tertinggi badan pengawas sekolahnya..memang budak baguih.. Cikgu-cikgu yang lain semuanya menyebelahi Brahim, mereka pun tahu Brahim paling layak. Cikgu lias masuk campur, selaku guru disiplin, cikgu lias kata, budak-budak yang letak jawatan jadi pengawas tu, gasak pi la kat depa, memang oghang macam tu kita tak buluq aih, tak layak jadi pemimpin, semayang pun culaih, tunjuk duit sikit dah terliuq...ada la sapa-sapa tunjuk duit kat depa tu..mesti ada soghang kepala yang suruh buat perangai time-time ni..kita memang dah jangka..hat tunjuk duit tu nak jadi ketua, dia pulak memang oghang kaya.. Cikgu Lias memang geram..besala, darah muda sampuk cikgu lain, saja nak tunjuk hero la..

Cikgu Nuar pusing...pening, tapi tak mengapalah, dia tetap mahu memilih Brahim. Apa dia peduli, budak-budak tu tak boleh buat apa pun. Ketua pengawas tugasnya banyak, walaupun apala sangat jadi ketua pengawas sekolah ja pun..tapi ni la masa nak latih budak-budak jadi pemimpin..Pemimpin yang berintegriti. Cikgu Nuar mula soal siasat Brahim:

"hang isap rokok ka?",

"ya cikgu, tapi dulu ja, waktu tingkatan satu".

"owh, kiranya hang dah berenti la, la ni?"

"lama dah berenti cikgu, lepas kena penampaq ngan penerajang dengan bapak, saya tak berani dah, tengok rokok pon takut".

"baguihla gitu, tok sah dok teringin la makan asap tu, tak sedap pon, hang nak jadi pemimpin ni kena sabaq sikitla, memang macam-macam dugaan, ada orang suka, ada orang benci, tapi apa yang penting..."

"kerjasama.."ketawa berdekah-dekah Cikgu Nuar mendengar jawapan Brahim..

"Bukan, yang penting hang buat betui dengan Allah, buat hat Allah sughuh, tinggai hat Allah laghang, tok sah peduli apa oghang kata, janji kita betui dengan Allah, hang ni la, dok tengok jugak kartun wonder pet tu"

"Aik, cikgu tau no nama kartun tu, cikgu pon tengok pa?"Cikgu Nuar pun tersengih-sengih.

........................................



Sunday, April 18, 2010

Menjejaki Pejuang

Selepas menghadiri Dialog Muslim-Christian, saya teringat pada Allayarham Syeikh Ahmad Deedat yang sangat lantang dalam sesi perdebatan antara agama. Semoga Allah sentiasa merahmati beliau.

Saya menonton dialog-dialognya di dalam youtube, menambah pengetahuan, dan video di bawah ini sangat menyentuh hati. Menitis air mata kala menontonnya. Terkenang siti (nenek) di kampung juga. Syeikh Ahmad Deedat menderita sakit angin ahmar selama 4 tahun,siti pula sudah melebihi 10 tahun. Syeikh Ahmad Deedat diakhir hayatnya hanya terlantar di katil, tetapi otaknya, MasyaAllah, walaupun hanya berkomunikasi menggunakan kod nombor, dalam keadaan uzur, tetapi beliau mampu memberi respon yang sangat baik. Itulah otak orang berilmu, dekat diri dengan Allah.

Bagaimana ya kita kelak, bila tua datang menjemput, masihkah mampu mengingati ilmu. Sedang kala muda hati dan lidah jarang dibasahi zikrullah, tetapi selalu dibasahi lagu-lagu yang melalaikan.Akal pula jarang berfikir keagungan Allah. Tetapi selalu berfikir dunia yang sementara.

Syeikh Ahmad Deedat sudah lama meninggalkan kita..adakah ada penggantinya? Tentu ada..setiap yang hilang pasti ada pengganti. Tetapi siapa? Kenapa bukan kita?

Friday, April 16, 2010

Seputar Future Of Muslim-Christian Dialogue : Prospects And Challenges

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, hari ini saya dan rakan saya Zuhra berkesempatan menghadiri Future of Muslim-Christian Dialogue: Prospects and Challenges yang dianjurkan oleh International Institute of Advanced Islamic Studies Malaysia. Moderator bagi dialog ini ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, manakala speaker yang dijemput ialah Dr. Olav Fykse Tveit dari Norway yang merupakan General Secretary, World Council of Churches.

Setiap kali saya menghadiri Dialog antara agama dan apa sahaja program yang berbentuk inter-faith, saya akan bicara sendiri. "Perlukah aku pergi? Bukankah ini seolah-olah aku mengiktiraf agama lain?....dan banyak lagi persoalan yang timbul di benak saya. Sebelum ini, saya menghadiri program Pemuda Persatuan Ulama' Malaysia tentang wanita dan kanak-kanak menurut persepktif pelabagai agama.Apabila keseluruhan forum nampak seperti ingin menyatakan semua agama adalah sama, ternyata salah seorang panelnya, Prof Dr. Mat Rofa Ismail sangat bijak berhujah tentang betapa tiada agama yang lebih tulen dan asli melainkan Islam. Lega.

Walaubagaimanapun, dialog hari ini lebih menarik. Jika program sebelum ini hanya dipenuhi dengan penganut Islam, tetapi dialog hari ini nisbah penganut Islam kepada penganut agama lain adalah sama, bahkan boleh juga dikatakan mungkin penganut Islam yang hadir lebih sedikit. Dialog dimulakan dengan ucapan Dr. Olav mengenai Christian di Norway dan hubungan mereka dengan penganut Islam. Majoriti penduduk Norway adalah penganut Kristian iaitu 85%, manakala 15% yang lain adalah Islam, golongan yang digelar Humanities dan juga Atheis. Dr. Olav mengulas bahawa apa yang menjadi prinsip mereka ialah berbuat baik kepada semua orang. (telinga yang mendengar mungkin tidak sama dengan mata yang melihat, wallahu'alam).

Selepas 20 minit , sesi soal jawab bermula. Majoriti peserta mahu bertanyakan soalan. Saya seperti biasa, bisu. Hanya mengulas di dalam hati. Soalan-soalan yang ditimbulkan ialah:

-Monopolize of God
-Mengapa agama lain disebut sebagai non-muslim di Malaysia
-Mengapa ada golongan yang menentang adanya dialog antara agama di Malaysia
-Semua perkara yang ingin dilakukan di Malaysia hancur disebabkan politik
-Perlunya pendidikan diperingkat awal mengenai agama-agama lain
-Kenapa bila perayaan kaum lain kaum melayu tidak ramai yang hadir.

Dan banyak lagi soalan-soalan. Bagi generasi muda pula, mereka melontarkan persoalan, What was happen actually in our country? We as young generation never have any problem to understand each other wether we are from different religion. Itu pandangan orang muda. Tetapi mungkin tidak mewakili semua.

Saya hanya menarik nafas gelisah, bercakap sendiri di dalam hati. What is my answer for all these question?. Banyak pro dan kontranya juga dialog seperti ini. Saya terlalu jahil untuk mengulas apa pun. Tetapi saya akan terus belajar. Terus menghadiri program seperti ini. Saya mengharapkan adanya "Ahmad Deedat " baru di Malaysia.

Dunia ini ciptaan siapa ya? Allah. Agama apa ya yang diredhai di sisi Allah? Islam.
Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya.
Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah.
Kembalilah kepada Islam.....
Wallahu'alam.


Dr. Olav


Sesi dialog

Bertukar cenderamata(atau lebih tepat, bertukar hasil penerbitan)


**Saya juga berkesempatan membeli buku karangan Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Tauhid dan Sains. Sebelum ini saya meminjam versi Bahasa Inggerisnya dari Perpustakaan Universiti, tetapi ternyata mencabar minda untuk memahaminya. Tanpa segan silu saya menceritakan yang saya tidak memahami versi Bahasa Inggerisnya kepada Prof semasa meminta beliau menandatangani buku tersebut. Beliau tersenyum dan ketawa kecil, tetapi tentu beliau sangat berdukacita dengan orang muda yang malas memerah otak seperti saya. Hmm...berubahlah wahai diri..

Thursday, April 8, 2010

Lelucon yang memotivasikan

Malu untuk saya suarakan yang terkadang ada lelah menyinggah dalam perjalanan untuk menambah ilmu ini. Malu, iya, kerana terkenang ulama'-ulama' dahulu walaupun kehidupan mereka tanpa laptop, internet mahupun sistem opac untuk pencarian buku, tetapi mereka berjaya menghasilkan karya-karya ilmu yang amat bermanfaat buat ummah. Saya pula, ke perpustakaan, mencari bahan, kemudian menyalin atau fotostat sahaja dahulu yang mana dikira perlu dan penting.

Namun perasaan lelah itu hadir juga. Kala lelah itu hadir, saya berusaha menukarkannya menjadi mampir. Ada tiga kata-kata semangat yang saya "ter"jumpa. Mungkin si pemberi tak merasa pun ianya bakal memberikan semangat kepada saya.

Pertama, tika membaca status-status di facebook (buku wajah atau wajah buku, entah), status Hamidi Yusoff, biras saya membuatkan saya terus menekan butang pangkah untuk menutup facebook. Statusnya ialah :
"Kewajiban lebih dari waktu yang dimiliki, jangan berkhayal lagi"

Kedua, tika saya terlalu banyak tidur, saya bermesej kepada kak niswa, kawan kakak saya zaman sekolah dulu, "Akak, banyaknyaaa tido hari ni, tak taula apa nak jadi". Kak niswa membalas:
"Jadilah manusia biasa yang menggunakan akal"

Ketiga, tika penat membelek satu persatu rujukan yang diperlukan di perpustakaan Pusat Islam, saya menghantar mesej mengadu penat kepada kak sabil, kakak yang mempunyai nama yang sama dengan kakak saya, dia menjawab:
"Bercintalah dengan library sebelum library mencintai kamu"

Walaupun saya tidak mengerti apa sebenarnya yang dimaksudkan kak sabil tetapi ketawa saya tika membacanya, sekaligus lelah itu hilang. Itulah lelucon yang memotivasikan.

Terima kasih kepada semua yang memotivasikan diri ini, secara langsung atau tidak.
Semoga berjaya semuanya. InsyaAllah.


Thursday, April 1, 2010

Friday, March 26, 2010

Tinta penuntut

Semalam
Ada duka dalam tawa
Ada sedih dalam gembira

********
Aku hanya mahu menuntut Ilmu
Bukan mahu mengejar apa-apa
Doktor mahupun sarjana
Kerana aku tahu
Penyudahnya hidup ini di sana
Ilmu ini bekalnya

*****************
Perjuangan aku satu
RedhaNya
Namun
Likunya tajam
Bermusuh dengan nafsu
Bermusuh dengan situasi
Iman yang mudah goyah begini
terlalu lemah tika diuji

*************
Esok
Biarlah ada duka dalam tawa
Yang penting
Agamaku terjaga
Dan bertambah ilmu didada