Thursday, February 17, 2011

Damai

Guruh berdentum dentam. Petir mula menampakkan cahaya. Bangunan agam ini turut merasa tempias kilaunya. Namun, seisi penghuninya masih tenang menekuni ilmu, melunaskan kerja dan menghadami tiap perkataan dalam himpunan helaian kertas.

Perpustakaan tercinta ini. Aku mengambil kerusi yang paling belakang aras 3. Petang, menghampiri maghrib. Masih belum lengang. Pemuda cina di hadapanku tekun menghadap komputer ribanya sambil jari-jemarinya menggolek-golekkan pena. Dahinya berkerut memikir. Cemburu sekali. Wanita Iran di kiriku, tersenyum sambil jarinya menguis-nguis pipi gebunya. Hurm...belajarkah dia? atau ber'mukawajah'?

Perpustakaan tercinta ini. Ruang damai buat diri. Adakala damai itu membuatkan leka. Adakala damai itu menatijahkan minda yang ceria. Dek kerana tiap bait kata yang dibaca, mudah dihadam dan difahami. Bahagia. Sungguh bergelar penuntut ilmu ini sangat bererti nilainya. Namun, ilmu tanpa amal, bagai pohon tanpa buah, ilmu tanpa amal hanya sia-sia.

Perpustakaan tercinta ini. Syukur Allah berikan ruang untuk aku di sini. Semoga produktif sentiasa natijahnya.

*sekadar coretan pemula, meransang sel-sel neuro untuk terus bekerja. Allahumma iftah 'alaina hikmatak...amiin