Thursday, November 25, 2010

Duhai nenda...


Hari ini khamis, genap seminggu perginya gemulah nenda menemui Ilahi. Mengingati tarikh itu, 18 November 2011, Aidil Adha kedua. Seawal jam 4 pagi aku sudah terjaga, usai menjalankan kewajipanku sebagai hamba, aku menyambung penulisan tesis ketika itu. Ku dengar dari dalam kamarku, makcik-makcikku berulang-ulang kali mengucapkan kalimah Lailahaillallah, terkadang Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin , terkadang kalimah istighfar. Mereka sememangnya sudah berhari-hari berjaga malam menjaga nendaku. Siapa saja yang lapang, akan duduk disamping nenda dan membacakan al-Qur’an. Nenda, ketika sihatnya seorang guru al-Qur’an, anak muridnya ramai, aku tidak pasti bilangannya , cuma yang pasti anjung teratak nenda yang luas itu penuh dengan anak-anak muridnya yang datang mengaji. Masih ku ingat, ketika kecil, ramai kanak-kanak bayaku datang ke rumah nenda untuk belajar mengaji, papan rehal yang berat bersusun tinggi di atas tangga rumah nenda. Cerita umi, nenda juga pakar masakan di kampung itu. Demikian itu, nenda sangat dikenali bahkan disayangi masyarakat sekeliling. Sepanjang 14 tahun nenda terlantar sakit , Qur’an adalah peneman nenda. Sungguhpun nenda tidak mampu lagi membaca al-Qur’an, tetapi al-Qur’an sentiasa dipasang dan diperdengarkan. Masih ku ingat, suatu hari aku dan kakakku melihat nenda mencatat sesuatu di dalam sebuah buku, ku lihat angka 1000 dan beberapa tulisan yang tidak kufahami ketika itu. Aku dan kakakku bertanya, “Siti tulis apa?”, nenda menjawab “ Tiap hari siti baca zikir harian sebanyak 1000 kali, bila dah cukup siti akan tulis”, lebih kurang begitu dialog aku, kakak dan nenda ketika itu. Yang kufahami tika itu, nenda menulis pahalanya. Begitulah pemikiranku ketika kecil dahulu.

Jam 6.15 pagi umi mengajak aku ke dapur, menyiapkan sarapan. Aku membuntuti umi. Pagi itu sarapan meriah dengan lemang, rendang dan nasi daging lebihan juadah hari raya semalam. Namun, suasana suram sekali. Semua tekun membaca al-Qur’an disamping nenda. Aku memanggil semua adik-adik dan sepupuku, minta bersarapan dahulu sebelum menyambung kembali bacaan al-Qur’an. Tika semua berkumpul di hadapan hidangan, Kholahku (Maklang) bersuara “ Pagi ni, jangan ada yang buka TV, Laptop dan main handphone, lepas makan, ambil wuduk, ambil Qur’an , duduk keliling siti dan baca Qur’an, siapa tak boleh solat, baca fatihah dan 3 kul niat zikir. Siti sedang sakarat.” Perlahan-lahan tutur kholah. Jantungku bagai berhenti berdegup mendengar perkataan ‘sakarat’ itu. Adik-adik dan sepupuku semua menurut tanpa membantah. Anak-anak nenda semua disisi bahagian depan paling hampir dengan nenda, makcik, makteh, paksu, umi, kholah, makndak. Cucu-cucu nenda dibahagian belakang. Atha’, Ismail, Imran, Muhammad, Miqdad, Nu’man, Syafiqah, Nuha, Aishah, Huda dan Khaulah. Satu persatu wajah adik-adikku itu ku tatap. Huda dan Khaulah yang kecil itu turut memegang Qur’an membaca ayat-ayat lazim. Ismail, Imran, Muhammad dan Nu’man duduk disisi kiri katil nenda. Atha’, Miqdad, aku dan cucu-cucu perempuan yang lain disisi kanan katil nenda. Sesekali paksu dan kholahku membisikkan kalimah syahadah ditelinga nenda. Yang lain, menyuapkan air di bibir nenda. Orang kampung mulai hadir dan turut mengalunkan bacaan al-Qur’an.

Jam 9.50 nenda pergi buat selamanya. Masing-masing berjujuh air mata tidak mampu menahan sebak. Suci bersih wajah nenda tika itu. Melihat nenda mudah hadapi sakaratnya, aku menginsafi diri untuk menjadi hamba yang selalu mendampingi al-Qur’an. Kenangan bersama nenda terlalu banyak, semuanya mengajarku untuk menjadi muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang indah. Maafkan aku nenda, sepanjang sakitmu, aku tidak banyak membantumu. Semoga kita sekeluarga dihimpunkan dipertemukan lagi di syurga kelak. Teratak nenda kini pastinya sepi, walaupun masih berpenghuni, tapi tentunya sunyi, tiada seri tanpa nenda.

Ya Allah, ampuni dosa siti, jad, atuk dan opahku...kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktuku kecil. Tempatkanlah mereka bersama para mukminin. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun.