Saturday, October 6, 2012

Khabar dari Gibraltar


Sudah seminggu tidak mendengar suara abang. Kali terakhir, Sabtu yang lepas. Ketika kapal abang, SS Seri Angkasa, bersauh di Pelabuhan Algericas, Sepanyol. Pelabuhan yang terletak di selat Gibraltar. Selat yang lautnya berbeza karakter, bersebelah, tetapi tidak bercampur. Seperti yang tercatat dalam Surah al-Rahman: 19-20. Tika saya di Mesir dahulu, ada juga lautan yang begini. Subahanallah, begitulah kuasa Allah. AllahuAkbar. Selat Gibraltar juga banyak menyimpan kisah sejarah Tamadun Islam. Rezeki abang. Abang. Kali terakhir terima email abang, Jumaat lepas. Itupun selepas 2 hari tiada khabar. Rupa-rupanya, masalah biasa. Ya, sangat biasa bagi pelaut dan isteri-isteri pelaut yang sudah sangat memahami. “Amos problem sayang”, lewat email abang memberitahu. Meskipun itu masalah biasa, tetapi gusar dijiwa tetap ada.

Hari ini, bangun pagi dengan azam yang baru. Mahu menjadi hamba Allah yang lebih baik dari semalam. Saya bersarapan, sekadar biskut dan susu. Bersedia untuk ke perpustakaan, rutin mingguan saya sepanjang menjadi pelajar pascasiswazah, yang sudah hampir memasuki usia 3 tahun. Terdetik di dalam hati, andai perpustakaan itu boleh bersuara, mungkinkah ia akan bertanya, “asyik muka kamu setiap minggu, belum siap lagikah tesis?”. Saya tersenyum sendiri. Soalan yang sering ditanya pada diri. Kadang-kadang soalan itu bukannya datang dari orang lain, tetapi dari diri sendiri. Ya Allah, kau gagahkanlah diri ini. Bukanlah gelaran yang dikejar, tetapi matlamat utama menambah ilmu itu yang dikejar. Supaya menjadi orang yang sentiasa cintakan ilmu. Semoga semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat diri dengan Pencipta. Sebelum keluar rumah, saya pastikan semua suis telah dipadamkan, pintu dan tingkap ditutup  kemas. Terngiang-ngiang di telinga, pesan abang, “sayang, sebelum keluar rumah, cek semua suis, tutup semua tingkap, baca doa ye..”. Itulah juga yang dipesan umi, abun, ma dan abah. Bismillah, Astawdi’ullah mali wa ahli. Aku tinggalkan pada Allah, harta bendaku dan ahli keluargaku. Saya melangkah keluar rumah. Pintu dan grill dikunci. Ya Allah, mudahkanlah urusanku hari ini. Saya menuruni tangga, menuju ke parkir. Senyum. Terapi jiwa dan minda. Walau hati gusar tiada khabar dari abang.

Setibanya di kereta, saya menghidupkan enjin, gagal. Saya cuba berkali-kali, masih sama, gagal. Ya Allah, masalah baterikah? Sedangkan baru semalam saya pergi ke perpustakaan, tiada apa-apa masalah. Saya buntu seketika, saya masih baru di kawasan ini. Saya tidak tahu bengkel yang terdekat. Saya tidak mengenali sesiapa di sini. Saya berfikir, dan mengulang-ulang doa di dalam hati, Rabbana yassir wala tu’assir, wa tammim bil khair. Alhamdulillah, saya ternampak pelekat perodua yang ditampal oleh pusat servis dua bulan yang lepas di cermin depan kereta. Saya menghubungi Perodua Smart Assist, “dalam masa sejam, mekanik kami akan sampai”. Alhamdulillah, mujurlah perkara ini berlaku hari ini, hari Ahad. Jika berlaku esok, tentu saya terpaksa datang lewat ke sekolah. Mujur juga tidak berlaku semalam, andai kereta tiba-tiba kehabisan bateri di tengah jalan. Alhamdulillah, Allah menguji apa yang mampu ditanggung oleh hambaNya. Namun begitu, manik-manik jernih yang bertakung dimata akhirnya berderai jua. Terbayang andai abang ada disisi tika ini, tentu kurang gelisahnya. Pantas jari jemari saya menaip email pada abang, walau hakikatnya abang tak mungkin dapat hadir membantu. Saya kembali menyedarkan diri. Allah mendidik saya menjadi seorang yang lebih kuat, lebih tabah. Saya senyum. Belajar menjadi tabah Sumaiyah. Bukan besar manapun ujian yang Allah beri ini. Jika dibanding dengan Sumaiyah zaman Nabi s.a.w dahulu, wanita pertama syahid dalam  Islam, ujiannya lebih lagi. Melihat suami diseksa di depan mata, dan dia sendiri diseksa. Namun, tega mempertahankan aqidahnya. Tentu bila umi dan abun memilih nama ini dahulu, umi dan abun mahu saya menjadi insan yang tabah menghadapi liku kehidupan. “Habis bateri kereta je pun....small matterlah”, kata saya sendiri.

Sejam lebih menanti, akhirnya mekanik tiba. Dalam masa 10 minit sahaja, Alhamdulillah, enjin sudah dapat dihidupkan seperti biasa. Saya bertanya, “Selalunya bateri boleh tahan berapa lama ye?”, “Kalau bateri sel basah macam ni,setahun, setahun lebih. Kalau sel kering, dalam 2 tahun boleh tahan”, Saya membalas, “kalau macamtu, kereta ni lagi hebatlah, dah nak dekat tiga tahun, tak pernah tukar.” Saya tersenyum sendiri, patutlah...................memang sudah sampai masa.

Saya membatalkan hasrat untuk ke perpustakaan. Saya sekadar duduk di rumah. Acapkali saya melihat inbox email, kalau-kalau ada email dari abang. Hampa. Tiada sebarang email. Ya Allah ya Qawiyy, kuatkanlah hatiku. Ya Allah, sampaikanlah rindu ini pada suamiku, agar dia terdetik untuk menghubungiku. Saya tahu, bukan mudah untuk berhubung melalui telefon apabila abang berada di tengah-tengah lautan. Kadang-kadang, telefon satelit pun menghadapi masalah tiada signal. Keduanya, bukan murah untuk selalu berhubung. Selalunya seminggu sekali, dua sahaja abang akan menghubungi melalui telefon, selebihnya melalui email. Saya sangat memahami. Tetapi, hari ini saya sungguh-sungguh berharap abang menghubungi saya. Saya mahu mendengar suara abang. Sehingga jam 12 malam saya menunggu, saya hampa.

Jam 12.40 malam, telefon saya berdering, saya melihat nombor yang tertera di skrin. +8707XXXXXX, nombor telefon satelit, tahulah saya, tentu saja abang!. “Salam sayang, kenapa tak balas email abang, abang cek email, tak dapat pun email sayang, risau abang....” “Sayang pun tunggu email abang”. “AMOSSSSSSSSSSS!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”, mahu saja saya menjerit. Geramnya dengan amos. Amos. Sistem email satelit yang digunakan di atas kapal.  Ish, mahu saja saya jadi pakar IT, dan mengubah sistem email di atas kapal. Kalau saya jadi pakar IT, saya akan sediakan internet sekali atas kapal. Mahu sahaja saya mengadu pada syarikat abang, kenapa kebajikan pekerja tak terjaga, cubalah fikir perasaan pekerja-pekerja yang berjauhan dari keluarga. Emosi pula. Hurm...

Semua perkara yang berlaku dalam tempoh seminggu ini telah saya ceritakan pada abang. “Kesian sayang, kena hadapi semua sorang-sorang, nanti cukup je setahun, kita tukar bateri kereta ye.....”. Wah...untungla kedai bateri kalau dapat pelanggan macam kami ye. Rindu abang....kala saya sangat bersedih kerana kami belum berpeluang menjadi ummi dan abi, abang memujuk, “Semua Allah tentukan tu ada hikmah,  Nabi Zakaria lagi lambat dapat zuriat kan............”. Terima kasih Ya Allah, kau berikan aku suami yang baik. Alhamdulillah. Benar, ada kala kita rasa kita cukup mampu, tapi Allah lebih tahu hakikat sebenar, mampu atau tidak. Tak mengapalah, sebelum Allah kurniakan zuriat buat kami, Allah mahu kami persiapkan diri dengan  ilmu, agar kami dapat mendidik anak-anak kami sebaiknya, supaya kami dan mereka menjadi pejuang agama,InsyaAllah..

*****************************************
Begitulah hari-hari yang dilalui. Ada pasang surutnya. Adakala, rasa cukup tabah. Namun, hati wanita mana yang tidak rapuh apabila terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Tambahan, saya jauh dari keluarga, juga dari rakan-rakan di tempat baru ini. Tetapi, saya selalu ingatkan diri,  Allah itu dekat bukan. Ya, Allah selalu melindungi. Allah itu lebih daripada cukup.

Kadang-kadang terasa mahu saja minta abang berhenti kerja kapal. Tapi, kalau semua isteri minta suami berhenti kerja kapal, siapa pula yang tinggal untuk kerja kapal? Tak mengapalah, ilmu pelayaran ilmu yang penting juga, umat Islam perlu kuasai. Biarlah abang bekerja, menambah pengalaman dan menambah pengetahuan tentang selok belok dunia pelayaran. Tiada apa yang rugi jika semuanya disandarkan kepada Allah.

Usia perkahwinan saya hampir memasuki 1 tahun, insyaAllah 1 Muharram 1434 ini. Walau hakikatnya, kami bersama baru 4 bulan 20 hari. Alhamdulillah. Terlalu jauh lagi perjalanan ini. Isteri pelaut-pelaut lain sudah berpuluh tahun pun hidup begini, ada masa bersama, dan ada masa terpaksa berpisah sementara. Semoga saya setabah mereka. Kagum dengan kalian semua. Insan-insan tabah ini. Semoga Allah memudahkan urusan kita.

Malam itu, saya tidur sambil tersenyum. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Allah Maha Mendengar. Allah mendengar jeritan hati saya. Saya mahu bercakap dengan abang. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati abang untuk menghubungi saya. Alhamdulillah. Ya Hafiz, Ya Muhaimin....peliharalah suamiku, peliharalah kami.. Biarpun di dunia yang sementara ini , kami sering terpaksa berjauhan, namun satukanlah kami selama-lamanya di syurga. Perelokkanlah akhlak kami, ibadah kami, teguhkanlah akidah kami. Ya Allah, jadikanlah kami ahli syurga. Amiin.