Tika menulis entri ini saya berada di desa. Lari sebentar dari hiruk pikuk kota Kuala Lumpur. Kebetulan ibu saudara saya (makndak) dan keluarga datang ke Pesta Buku semalam, saya tidak melepaskan peluang untuk bersama mengunjungi Pesta Buku terbesar di Malaysia ini meski poket kering. Usai kunjungan , langsung pulang bersama makndak ke desa. Percuma. Jimat RM24.90. Hehe. Meski pulang hanya untuk sebentar. Memandang wajah insan-insan yang disayangi, cukup untuk menguatkan kembali semangat yang sering meluntur.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010
Selalunya saya ke pesta buku ditemani Safiyah, sahabat baik saya. Tetapi, kali ini saya menemani makndak dan keluarga yang baru pertama kali ke sini. Lagak orang muda, makndak memarahi saya yang terlalu laju berjalan. Lupa, kali ini saya bukan berjalan bersama kawan, yang boleh sama memecut laju, mencari buku yang hendak dibeli, kemudian pulang. Kali ini, saya bersama tetamu dari desa, yang datang semata-mata untuk Pesta buku.
Makndak jalan sendiri. Atha', sepupu saya juga jalan sendiri, saya pula, memimpin tangan anak tunggal makndak saya, Huda. Padahnya, semua promoter produk untuk kanak-kanak menyerbu saya. "kak, produk ni bagus untuk anak kak", "puan, anak puan comel, saya nak tolong dia bagi jadi pandai, beli la produk ni", "takpe, anak saya dah pandai, terima kasih". Penat menepis. Pelbagai ragam, ada yang mengekori, ada yang menghalang jalan dan ada juga yang menarik tangan! Saya berfikir, ada iras kah saya dengan adik sepupu saya yang comel ini? Jauh sekali, bagai langit dan bumi, ataupun! Oh tidak, adakah saya memang seperti ibu kepada seorang anak, sebesar huda! Hmmm...nampak tua sebelum usia, memang saya sudah biasa. "hadiah" lompat kelas dari tahun 3 ke tahun 5 sekolah rendah dulu. Pak najib punya idea..apa pun...saya tidak terlalu kisah soal usia.
Buah tangan yang dibawa pulang dari Pesta Buku, tentu sekali karya sahabat saya, Juwairiah Md. Jamil, Tawajuh Cinta. Selain itu, buku-buku yang berkaitan dengan tesis sarjana saya. Atha' pula tentunya buku-buku khat yang menjadi pilihan. Huda pula dengan koleksi komik ana muslim, asuh dan upin ipin.
Tawajuh Cinta
Hari ini, inbox message facebook saya menerima satu undangan perkahwinan. Rupanya, undangan perkahwinan ukhti Juwairiah dan akh Faisal. Barakallah Lakuma. Semoga perkahwinan diberkati dan selamat mendirikan baitul Muslim.
Tawajuh cinta, adalah himpunan cerpen-cerpen ukhti Juwairiah yang pernah tersiar di media seperti mingguan wasilah, siasah, berita harian dan sebagainya. Saya suka kesemua cerpen beliau. Jiwa pendidik, jiwa pejuang, dan juga jiwa bakal isteri solehah terserlah melalui tawajuh cinta ini. Tahniah Ju, karyamu sungguh mengesankan.
Dalam banyak-banyak cerpen, saya paling suka Miana Banua, kisah seorang isteri yang punyai ijazah sarjana, namun tidak bekerja demi menjaga sendiri anak-anaknya dan demi memastikan kerukunan rumah tangga terpelihara. Bukan atas paksaan, tetapi kerelaan. Konsep berhias yang baik juga ditonjolkan melalui cerpen ini. Saya juga mahu jadi seperti Shirin. =), insyaAllah.
Magnet dari desa
Kepulangan saya ke desa kali ini, banyak daya penariknya. Magnet yang paling kuat menarik saya ialah, anak buah yang sedang membesar, Mehdi 'akif. Nama bersempena Musryidul 'am Ikhwan Muslimin yang lepas. Mehdi, Kholah rinduuu....