Wednesday, April 20, 2011

Guru..Cikgu...Teacher..Mu'allim..

Hari ini bukanlah hari guru, tetapi, kala mencari-cari video yang menarik yang sesuai untuk kanak-kanak 5 tahun, saya terkenang umi di rumah, yang selalu sibuk dengan kad-kad imbasannya, yang tak pernah letih setiap tahun membuat alat bantu mengajar yang baru, melukis ini, melukis itu, menggunting manila kad, menampal kertas berwarna dan pelbagai lagi. Pelik, umi tidak pernah bosan atau letih bahkan bila semuanya siap, umi sangat gembira dan tersenyum puas. Terkenang juga kesungguhan guru-guru semasa sekolah dahulu, pelbagai gaya mengajar, dan apabila diyakini pelajarnya faham dengan apa yang disampaikan, mereka akan berasa lega. Mulianya kalian wahai guru-guruku.

Menjadi pendidik. Tidaklah semudah yang disangka. Seorang guru bukan hanya perlu mahir dalam bidangnya, tetapi seorang guru juga perlu bijak dalam psikologi, mengetahui bagaimana untuk menarik perhatian pelajar-pelajarnya yang pelbagai karenah. Mengajar kanak-kanak 5 tahun, tidak akan sama seperti mengajar pelajar 12-17 tahun, juga tidak sama dengan mengajar pelajar berumur 20-24 tahun ataupun pelajar yang sudah berumur 30-40 tahun. Setiap tahap umur mempunyai tahap berfikir yang berbeza. Jika dengan pelajar berumur 5 tahun kita memberi kuliah seperti mengajar pelajar 20-24 tahun, alamatnya.................................mungkin dia tidak mahu belajar lagi! bosan!

Stigma bahawa pekerjaan guru merupakan pekerjaan yang low-class, mudah, untuk orang biasa-biasa perlu dibuang sama sekali. Acapkali, bila ditanya, "Dah grad nanti nak jadi apa?", "saya nak jadi cikgu", "cikgu je? kerja la lain...susah-susah ambil degree takkan nak jadi cikgu je.." Selalu bukan dengar ayat-ayat sebegini. Seolah-olah kerjaya guru merupakan kerjaya yang hina, tidak perlu belajar tinggi-tinggi. Sedangkan tanpa guru, siapalah kita. Gurulah yang mengajar kita mengenal erti tambah, tolak, darab, bahagi. Guru juga yang mengajar kita kisah Nabi, Malaikat, apa itu Qur'an dan pelbagai ilmu lagi. Guru mengajar tanpa penat lelah, walaupun hakikatnya kehidupan seharian seorang guru sangat memenatkan. Pagi hingga ke petang berhadapan dengan pelbagai ragam anak muridnya, dibebani pula dengan pelbagai tugas pentadbiran, kursus sana, kursus sini, perlu sediakan ringkasan mengajar, rancangan pengajaran tahunan, alat bantu mengajar dan macam-macam lagi.

Saya hanya menulis berdasarkan pengalaman yang sangat sedikit sebagai guru. Saya amat mencintai kerjaya guru. Saya amat mengagumi insan bernama guru termasuklah ibu dan bapa saya : ). Pernah terfikir, walaupun mempunyai ijazah sarjana kelak, saya tidak akan rasa rugi jika menjadi guru. Kerana menjadi guru akan mengajar erti hidup sebagai orang yang memberi. Saya sungguh terinspirasi menonton cerita-cerita seperti Laskar Pelangi, Sang Murabbi dan banyak lagi cerita dari seberang, tidak terkecuali cerita Gemilang, walaupun kurang isinya, tetapi begitulah kesungguhan seorang guru dalam memastikan anak didiknya berjaya.

Terima kasih buat semua guru-guru saya di SK Toh Johan, SK Changkat Jering, SMK Dr. Burhanuddin dan Universiti Malaya. : ) Halalkan ilmu yang kalian curahkan. Semoga Allah memberkahi kehidupan kalian di dunia dan akhirat. Amiin. "Ya Allah, ampunkan dosa guru-guruku, rahmatilah mereka dengan kemuliaan mereka yang tidak jemu menyampaikan ilmu"

Akhir kalam, mari belajar mengenal huruf hija'iyah..heheheheh...best lagu ni........not only for children, sesiapa yang nak baru nak belajar bahasa arab pun boleh layan lagu ni..sedap didengar..


****sebenarnya tertulis post kali ni sebab geram video ni tak boleh download...huhu..why??why???why?????????????????stressssss : (