Friday, August 12, 2011

3 R : Ramadhan, Research and ....

Ramadhan

Ramadhan= Race. Berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Terlalu banyak keistimewaan bulan Ramadhan. Ada solat sunat terawih, ada sahur, ada berbuka puasa, ada malam al-Qadar dan bulan Ramadhan merupakan bulan al-Qur'an diturunkan. Subhanallah. Maha Suci Allah dan Maha Pemurahnya Allah. Diciptakan satu bulan yang khusus untuk hambaNya menambah pahala. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mahu merebut pahala.


Dari kecil kita dibiasakan dengan solat sunat terawih, terkenang ketika berada di zaman kanak-kanak, saya dan kakak selalu mengikut ayah ke masjid. Dahulu, tujuan utama saya mengikut ayah ke masjid, bukanlah untuk solat terawih, tetapi lebih kepada mahu berjumpa kawan dan makan moreh. Kakak saya tekun dengan 8 rakaat atau 20 rakaat terawihnya. Saya pula, kadang-kadang 8 rakaat dan kadang-kadang 2 rakaat sahaja (supaya senang menjawab soalan ayah). Apabila ayah bertanya, "Buat terawih tak?", mudah untuk saya jawab "buat" (dalam hati..janganla tanya berapa rakaat buat), "Alhamdulillah..." kata ayah sambil tersenyum..dan tika itu, mula timbul rasa bersalah dalam hati. Sementara menunggu jemaah selesai menunaikan solat terawih untuk makan moreh bersama-sama, biasanya saya akan bermain batu seremban, ataupun main hantu-hantu bersama kawan-kawan. Oh!! Begitulah zaman kanak-kanak. Kadang-kadang apabila kami 'malas' mengikut ayah, kami tetap di'paksa' terawih di rumah. Ayah sanggup lewat ke masjid semata-mata mahu mengimamkan kami terawih di rumah terlebih dahulu. Selalunya saya dan kakak akan kenakan syarat pada ayah "Abun jangan baca lambat-lambat". "Ok, abun baca fatihah sambung-sambung", syarat kedua, "Abun jangan baca surah panjang-panjang", "ok, abun baca qulhuwallah saja", kami berdua tiada alasan lagi untuk bermalas-malas dan jawapannya "ok". Tetapi, malas itu tidak terhenti di situ, "kakak, kakak amik wuduk dulu", "mayah la dulu", dan kami akan berhenti bertolak-tolak siapa yang dulu apabila ayah mengetap bibir dan menjegilkan mata dan waktu itu, kedua-dua kami akan 'berebut' mengambil wuduk. Begitulah ramadhan ketika zaman kanak-kanak, sungguh indah walaupun dipenuhi dengan taktik-taktik 'kotor'. Kadang-kadang apabila mengimbas semula kenangan dan fe'el zaman kanak-kanak..saya dan kakak ketawa dan kami sangat bersyukur ibu dan ayah mendidik kami dengan tegas. Alhamdulillah, syukur.

Ramadhan bulan pengampunan. Kita mungkin tidak berpeluang ke Mekah, berdoa di hadapan Baitullah, memohon keampunan Allah, tetapi kita ada sahur dan juga berbuka di dalam bulan ramadhan ini. Antara waktu mustajab untuk berdoa ialah, ketika waktu sahur dan juga sebelum berbuka puasa. Allah s.w.t juga berfirman, bahawa Dia lebih dekat dari urat nadi. Justeru, mari perbanyakkan doa agar menjadi hamba yang taat pada perintahNya, hidup dan mati dalam Iman dan Islam, diberi keampunan dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

Ramadhan=Reciting the Qur'an. Semalam saya bertanya kepada pelajar-pelajar saya , "hari ni, dah 11 hari puasa, siapa yang dah baca 11 juzu' atau lebih?", ada menjawab "tak sempat pun ustazah", "sikit je baru" dan paling menarik ialah jawapan ini "malulah nak mengaku ustazah". Saya hanya tersenyum dan pesan saya "sama-samalah kita cuba banyakkan baca qur'an, korbankan sikit masa, rugi kalau tak rebut peluang ini, terutama lelaki!!". Sejujurnya, saya tidak pernah khatam al-Qur'an dalam bulan ramadhan sebelum ini. Lemah bukan?. Namun, azam ramadhan tahun ini mahu khatam sekurang-kurangnya sekali, bermakna, sehari saya perlu habiskan 2 juzu' dan lebih dan saya mengatur strategi agar berjaya mencapai target yang diletakkan ini. Kita selalu meletakkan target dalam kerjaya, pelajaran dan status kehidupan, tetapi seiringkanlah dengan target dalam meningkatkan amalan. Saya selalu bertanya pada diri sendiri, dalam usia 24 tahun ini, bagaimana solat saya, puasa saya, ibadah saya? Adakah masih seperti zaman kanak-kanak? Terawih masih mahu menipukah? Baca qur'an masih mahu mengelatkah? Solat masih patuk ayam kah? Puasa masih menelan air paip kah? Kita mungkin selalu merasa kurangnya diri, tetapi berusahalah untuk menjadi lebih baik. Kerana orang yang beriman, akan sentiasa memperbaiki diri dan tidak mensia-siakan segala peluang ke arah kebaikan yang terhidang di depan mata.


Research

Ramadhan, juga ruang mencari ilham dalam 'research' ini. Banyak persoalan-persoalan yang membuntukan fikiran saya sebelum ini terjawab dalam ramadhan ini, Alhamdulillah. Syukur. Memilih 'library research' menuntut saya banyak membaca. Terkadang terasa 'geram' melihat buku-buku non-akademik yang tersusun di rak, masih banyak yang belum sempat dibaca. Namun, prioriti pada masa yang tersangat 'suntuk' sekarang ini perlulah diberikan kepada buku akademik. Buku-buku 'non-akademik' pula berfungsi untuk 'release tension' pada sela-sela waktu seperti waktu senja atau ketika bosan mampir mengganggu. Antara ujian yang paling besar ialah buku-buku akademik yang tebalnya lebih dari 2 inci dan tulisannya yang kecil dan rapat-rapat selalu mengundang kantuk, artikel jurnal berbahasa inggeris yang mencecah ratus pula, membuatkan kamus saya hampir lunyai. Tetapi, sungguh bahagia apabila mendapat kefahaman hasil dari pembacaan yang penuh kesabaran ini. Semoga terus dikurniakan sabar dalam menuntut ilmu, kerana saya mahu menjadi penuntut ilmu sepanjang hayat saya. Amiin.

kitab arab yang menyeronokkan ; D (think +ve..huhu)

keserabutan yang tak dapat dibendung lagi..

editing= apa la yang aku buat nih?


Rindu

Ramadhan, mengundang rindu pada Rasulullah. Terkenang kesusahan baginda dalam menyebarkan Islam sehingga kita hari ni menikmati nikmat Iman dan Islam. Selalulah berselawat ke atas baginda, Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhammad wa 'Ala ali Muhammad. Semoga rindu dan cinta pada Rasulullah, mendidik dan menetapkan hati kita agar taat pada perintahnya dan meninggalkan larangannya. Takutlah jika di akhirat kelak, baginda tidak mengaku kita sebagai umatnya. wal'iyazubillah. Terkadang, kita berasa betapa susahnya mahu membuat ketaatan dan kebaikan, tetapi segeralah ingat betapa manisnya iman dan bahagianya kehidupan di syurga yang selamanya berbanding kehidupan di dunia yang kita sendiri tidak tahu, berapa lama lagikah kita akan hidup. Andai esok ajal menjemput, apakah amalan yang akan dibawa sebagai bekal? Ayuh, kita bermuhasabah. Mari bersama 'upgrade' iman dan amal.

Ramadhan, juga rindu mahu berbuka bersama keluarga. Umi, abun, kakak, abang hafiz, imran, aishah dan paling dirinduiiiiiiiiiiiiiiii, Mehdi 'Akif. "Mehdi buat apa tu?" tanya saya. "Di tolong mama buat roti", aduhh..geramnya....selalunya, apabila saya menelefon dia, soalan yang paling suka ditanya "Kholah...kholah naik bas ka?"..hanya kerana dia pernah mengikut kakak dan abang ipar menghantar saya menaiki bas. Berbuka di rumah, tentunya lebih meriah. Masing-masing ada 'wishlist' untuk hidangan berbuka. Tetapi, ingatkanlah diri bahawa berlebih-lebih itu tidak disukai Allah dan ingatlah insan paling hebat iaitu Baginda s.a.w berbuka hanya dengan air dan tamar. Hidup ini indah dan mudah, selagi Rasulullah dijadikan tauladan utama. InsyaAllah.

mehdi teman kholah study (em..macam kacau sebenarnya)..

Rindu pada keluarga atau orang yang dekat tentu tidak sama dengan rindu pada yang jauh. Tak mengapa, Allah tahu hati kita. Apabila rindu itu hadir, berdoalah untuk dia, semoga selamat selalu, diberi kesihatan yang baik, dikuatkan hati, dipermudahkan urusan mencari rezeki, dipelihara iman, akidah dan ibadah. Jauh itu mungkin jauh pada zahir. Tetapi jauh itu terlalu dekat apabila dia sentiasa diingat dalam doa, sujud dan tahajjud. Jauh juga mengajar erti tawakal pada Allah yang merancang, menjaga dan memelihara segalanya. Sentiasalah berdoa. Du'a is the weapon of believer. Doa juga tanda kehambaan, merendah diri pada Pencipta kerana kita tahu segalanya di bawah kekuasaannya.

bon voyage & au revoir.....

***********
Ramadhan sudah masuk ke fasa kedua. Bagaimana graf amalan kita? Ada peningkatankah dari hari pertama hingga hari ini? Lets check ourself.

Ramadhan, teruskan reading, thinking and writing. Cayok mayah! 3 month to go...Allahumma yassir wa la tu'assir...amiin..

Akhir kalam, selamat meneruskan ibadah di bulan ramadhan, semoga beroleh ketaqwaan...amiin..