Tuesday, November 6, 2012

Persepsi

Petang. Saya merenung ke luar jendela. Hujan. Sesekali kedengaran guruh dan cahaya kilat memancar. Apa khabar abang yang jauh. Dua hari tiada khabar. Ya Allah, bagaimana keadaan abang di tengah laut dengan hujan yang begini. Empat hari lalu, saya mengirim emel, meluah rasa pada abang. Tentang persepsi orang. Abang membalas dengan nada tenang. Berulang kali saya membacanya sambil senyum yang menguntum, hati mengucap syukur dikurniakan suami yang baik. Terima kasih ya Allah. Kata abang, 'advice yang baik kita ambil, kalau tak kita buang jauh-jauh, hidup tak selalu senang, bila susah kita kena cari solution, try hard, tawakal and redha kalau tak dapat, that the way.....'terbayang riak wajah abang yang tenang, seolah-olah abang sedang bercakap di hadapan saya..Benar, persepsi orang tiada pentingnya, yang penting pandangan Allah pada kita. Saya sudah bersedia dengan persepsi orang apabila memilih abang sebagai suami. Persepsi yang negatif tentang pelaut masih ada dalam kalangan masyarakat. Namun, walau sudah bersedia, sesekali tergugah juga hati wanita saya. Mungkin sesetengah menganggap suami jenis apa yang sanggup tinggalkan anak dan isteri berbulan-bulan lamanya. Resam hidup, andai tiada yang sanggup berkorban begini, bayangkanlah apa terjadi pada ekonomi sebuah negara. Kami bersyukur dipilih Allah untuk diuji dengan kehidupan yang begini, Allah mengajar kami menjadi orang yang sabar dan tabah. InsyaAllah. Bila begini, pergantungan kami dengan Allah semakin kuat. Teringat bait kata Buya Hamka 'dimana pun kita berada, Allah itu lebih daripada cukup.' Saya bangga punyai suami yang begini, kerana saya tahu betapa sukar pengorbanan yang dilakukan. Hanya yang terpilih yang mampu meredah samudera. Tuhan, jadikan aku isteri yang sentiasa menenangkan dan menyenangkan hati suamiku. Tuhan, jadikan cinta kami mekar di bawah rahmatMu, jadikan kami hambaMu yang berakhlak dengan akhlak ahli syurga, semoga kelak kami menjadi penghuni jannahMu..yang kami bisa bersama selamanya di dalamnya..amiin..