Bangun seawal jam 4 pagi, hati berbunga, kerana hari ini abang akan masuk pelabuhan Bintulu. Begitu kata abang ketika 4 hari selepas abang keluar daripada Niigata, Jepun. Jam 6.30 pagi, saya bertolak keluar ke sekolah. International Islamic School, Gombak. Pekerjaan baru yang berstatus sementara, insyaAllah sehingga bermulanya cuti sekolah musim panas,15 Jun 2012. Berkali-kali berfikir sama ada mahu menerima atau tidak tawaran itu, lantaran tesis belum selesai dan sekolah yang agak jauh. Akhirnya saya memilih untuk menerima, sengaja mahu mencabar diri, supaya bijak mengurus masa. Juga mahu mencabar diri, mengajar dalam bahasa inggeris. Sebelum ini, saya mengajar bahasa melayu juga menggunakan bahasa inggeris sebagai medium, tetapi murid saya cuma seorang dan subjek itu mengkehendaki saya lebih banyak bertutur dalam bahasa melayu, kali ini, murid saya melebihi 100 orang dan saya wajib menggunakan bahasa inggeris. Perjalanan 30km daripada Pantai Dalam ke Gombak mengambil masa 45 minit, saya memilih lebuhraya DUKE, mengelak daripada kesesakan dan paling penting saya tidak perlu kerap menekan pedal brek.
Jam 4 petang, tepat. Saya mendaftar keluar dari sekolah. Mesej yang dihantar kepada abang masih belum delivered. Bermakna abang masih belum tiba di Bintulu. Tiba di rumah jam 5 petang selepas saya singgah membeli keperluan dapur di Pasar Malam Kerinchi. Mesej masih belum delivered. Gusar. Inilah kali pertama mesej saya begitu lambat untuk sampai pada abang. Sehingga jam 9 malam saya masih menanti. Tidak pernah selewat ini. Air mata mula bertakung di tubir mata, dan akhirnya mengalir. Melihat gambar abang yang tergantung di dinding rumah membuatkan air mata lebih deras mengalir. Saya beristighfar, meredakan diri dan menahan tangis dari berlarutan. Membasuh muka dan mula membuat kerja. Hati memang tidak keruan. Akhirnya telefon berdering, skrin tertulis Puteri Nilam Satu. Puteri Nilam Satu? Saya mengangkat telefon. "Abang..........abang kat mana?" soalan pertama yang terkeluar dari mulut saya. "Abang tak sampai lagi, kapal rosak....". Saya mula bertanya, kapal rosak apa dan sebagainya, dan abang pula tidak jemu menjawab soalan saya. Terima kasih abang, walaupun saya tidak memahami sangat pun, tetapi seronok mendengar cerita abang. Syukur, terima kasih Allah yang menggerakkan hati abang untuk menghubungi saya yang dalam gusar dan gundah. Alhamdulillah.
abang.....: )
Sabtu, 5/05/2012
Jam 11 pagi, saya menjejaki abang melalui laman sesawang Marine Traffic. Kapal abang menghampiri Labuan. Jam 12 tengahari abang menghubungi saya. Abang sudah berada di Labuan, untuk proses membaiki kerosakan kapal. Lama bersembang..dan kadang-kadang kami berdua diam, dan hanya ketawa...kerana sudah kehabisan cerita.. Beberapa kali talian putus, kerana masalah liputan. "Kenapa asyik putus abang?", "Abang rasa sebab dah makin jauh dari darat ni", "Oh, kapal dah gerak ke?", "Tak, kapal hanyut". "Hanyut?", "Hanyut tu maksudnya kapal tak gerak dan kapal tak anchor", terang abang. "oooooo..". Begitulah lumrahnya isteri pelaut. Mendengar suara sahaja cukup membuatkan hati gembira. Alhamdulillah. Fokus pada kesyukuran, bukan pada kesukaran.
Ahad, 6/05/2012
Hari ini, hari yang paling gembira. Pertama kali, selepas hampir 4 bulan, barulah saya dapat menatap wajah suami tercinta, melalui talian skype. Sebelum ini hanya MMS penawar rindu. Tapi, kali ini Allah mengilhamkan idea kepada abang untuk meminjam laptop kawannya.
Hikmah di sebalik musibah
Hikmahnya kapal rosak, saya dapat mendengar suara abang bermula Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa insyaAllah., sebelum abang belayar semula ke Niigata, Jepun..: ).
Mahu setabah Siti Hajar
Pejam, celik...Hampir 4 bulan sudah abang belayar. Alhamdulillah, Allah memelihara dan memudahkan segala urusan kami. Selalu saya mengingatkan diri, apalah sangat ujian berjauhan dengan suami yang saya lalui ini. Paling lama pun, 2 minggu sahaja saya tidak dapat mendengar suaranya, itupun jika abang kehabisan topup untuk telefon satelit. Abang tinggalkan saya dengan segala kemudahan. Syukur. Semua ini pemberian dari Allah. Jika mengimbas kembali bagaimana Nabi Ibrahim a.s terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail di tengah padang pasir yang kering kontang, jauh lebih perit keadaannya, tiada apa-apa pun, tetapi mereka tabah dan akur dengan perintah Allah. Apalah sangat ujian yang saya perlu tempuh. Jika dibandingkan dengan isteri-isteri pejuang Palestin yang menghantar suami mereka keluar berjuang, dan penantian mereka berakhir dengan khabar syahidnya si suami. Saya menghantar suami bekerja, menunaikan amanah ilmu yang ada padanya. Ilmu pelayaran. Kerana kelak, kita semua akan ditanya tentang sejauh mana ilmu yang kita punyai itu kita amalkan. Saya menyerahkan diri saya dan diri abang dalam jagaan Allah. Kerana, di manapun kita berada, dan keseorangan. Allah itu lebih dari cukup. Begitulah kata-kata Buya Hamka lewat cerita Di Bawah Lindungan Ka'bah yang abang tonton dan saya juga menontonnya. Walaupun kita berdua dan bersama, hanya Allahlah yang Maha Pelindung. Benar, Allah itu lebih dari cukup. Semoga rumah tangga ini, setabah rumah tangga Nabi Ibrahim dan Siti Hajar. Semoga jauhnya kita, mendekatkan lagi kita dengan Allah.
Selamat bekerja abang. Bekerja kerana Allah, ingat Allah selalu. Semoga kita sentiasa bersama dalam kalimah taqwa, di dunia dan akhirat.
InsyaAllah, penantian hanya tinggal 2 bulan lebih lagi....(semoga sempat saya siapkan tesis..ohoh..)
Selamat belayar Puteri Nilam Satu....semoga sihat-sihat saje ye.........