Saturday, May 26, 2012

Sultan Muhammad al-Fateh : Raja sebaik-baik raja

Bismillah.....
Hujung minggu. Masa yang lapang begini sewajarnya saya gunakan sebaik mungkin untuk menyiapkan tesis. Tapi, entah. Idea seperti kekeringan. Mata memang kononnya menekuni tesis, hakikatnya hati tiada bersama.  Sedari pagi hingga petang, sebaris ayat pun tidak berjaya ditulis.

Mencari-cari semangat yang hilang. Mata terpandang pada sebuah buku yang tersusun di rak. Sultan Muhammad al-Fateh. Saya mengenali dan meminati beliau sejak sekolah rendah. Sewaktu menonton filem animasi Sultan Muhammad al-Fateh. Sejak itu, saya mula tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sultan ini. Seperti biasa, sasaran saya ialah makndak dan paksu. Melalui mereka banyak perkara yang saya ketahui.  Sewaktu umi dan abun saya pergi menunaikan haji, umur saya ketika itu 6 tahun, dan saya tinggal bersama makndak di rumah siti (nenek). Sebelum tidur, makndak akan mula bercerita tentang kisah Nabi-Nabi. Paling saya suka, dan kerap meminta makndak mengulangnya ialah cerita Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf. Semoga kelak, saya juga akan menghidangkan cerita-cerita begini untuk anak-anak saya. Cerita yang realiti bukan fantasi seperti Snow White, Barbie, Rapunzel, Cinderalla dan sebagainya. InsyaAllah. 

Paksu pula bercerita tentang  cerita yang lebih serius, cerita tentang perang gerila Afghanistan, tentang Palestin, tentang tragedi Memali dan hal-hal politik. Suatu ketika, semasa paksu mengambil saya pulang dari Nilam Puri. Paksu bercerita tentang Salahuddin al-Ayubi sepanjang perjalanan Kelantan-Perak. Ketika saya sudah mengaku kalah untuk menghabiskan pembacaan mengenai Revolusi Iran, yang bukunya setebal 3 inci, paksulah juga sasaran saya. Paksu pun akan mula bercerita. Mudah bukan. Saya memang lemah dalam membaca (Alhamdulillah dikurniakan suami yang suka membaca). Tetapi saya berazam untuk sentiasa akan memaksa diri, kerana yang dipaksa itu, insyaAllah sampai masanya akan menjadi tabiat. Paksu, pakngah, makndak, makcik, kholah, makteh. Semuanya banyak benar berjasa dalam mendidik saya. Umi dan abun apatah lagi. Sebenarnya saya sangat rindukan insan-insan ini, yang sama-sama membantu umi dan abun mencorakkan saya. Alhamdulillah. Cuma bila menginjak remaja dan dewasa, bila semakin jauh dari mereka, sayalah yang tidak berjaya mencorak diri sendiri. Semoga Allah mengizinkan saya membalas budi baik mereka semampu saya. Kadang-kadang, bila perasaan malas datang, mengenangkan wajah-wajah insan yang disayangi, malas itu mudah diusir.

Berbalik kepada cerita Sultan Muhammad al-Fateh. Bukanlah niat saya mahu bercerita panjang lebar, tetapi ada beberapa perkara yang selalu saya ingatkan diri sendiri, supaya mengambil inspirasi daripadanya :

1. Kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh adalah bermula daripada ibu dan bapanya yang bercita-cita besar, tabah dan sabar dalam mendidik anaknya. Ya, dia juga dilahirkan sebagai bayi yang biasa, tetapi hasil corakkan ibu dan ayahnya, maka jadilah dia al-Fateh, pembuka kota Konstantinopel.

2. Sultan Muhammad al-Fateh menguasai 6 bahasa ketika usianya belasan tahun. Pentingnya bahasa ialah ia merupakan kunci ilmu. 

3. Sultan Muhammad al-Fateh menakluk kota Konstantinopel ketika berusia 23 tahun. Kita hari ini bagaimana? Saya sendiri yang sudah berusia 25 tahun, bukan kata mahu menakluk kota, menakluk nafsu dan mendidik nafsu diri sendiri juga masih gagal.

4. Sabda baginda s.a.w " Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera". 

Sewaktu pertama kali solat Jumaat hendak didirikan di Kota Konstantinopel dan untuk memilih imam, Sultan al-Fateh telah memerintahkan kesemua tenteranya berdiri, termasuk dirinya, lantas bertanya " siapa di antara kita yang sejak baligh sehinggalah sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk", tiada seorang pun yang duduk, kerana tiada yang pernah meninggalkan solat.

Al-Fateh bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, " Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sendiri.Sultan al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajjud sejak baligh. Inilah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh baginda s.a.w

Tuesday, May 15, 2012

Sunday, May 6, 2012

Belajar Setabah Siti Hajar

Jumaat, 04/05/2012

Bangun seawal jam 4 pagi, hati berbunga, kerana hari ini abang akan masuk pelabuhan Bintulu. Begitu kata abang ketika 4 hari selepas abang keluar daripada Niigata, Jepun. Jam 6.30 pagi, saya bertolak keluar ke sekolah. International Islamic School, Gombak. Pekerjaan baru yang berstatus sementara, insyaAllah sehingga bermulanya  cuti sekolah musim panas,15 Jun 2012. Berkali-kali berfikir sama ada mahu menerima atau tidak tawaran itu, lantaran tesis belum selesai dan sekolah yang agak jauh. Akhirnya saya memilih untuk menerima, sengaja mahu mencabar diri, supaya bijak mengurus masa. Juga mahu mencabar diri, mengajar dalam bahasa inggeris. Sebelum ini, saya mengajar bahasa melayu juga menggunakan bahasa inggeris sebagai medium, tetapi murid saya cuma seorang dan subjek itu mengkehendaki saya lebih banyak bertutur dalam bahasa melayu, kali ini, murid saya melebihi 100 orang dan saya wajib menggunakan bahasa inggeris. Perjalanan 30km daripada Pantai Dalam ke Gombak mengambil masa 45 minit, saya memilih lebuhraya DUKE, mengelak daripada kesesakan dan paling penting saya tidak perlu kerap menekan pedal brek.

Jam 4 petang, tepat. Saya mendaftar keluar dari sekolah. Mesej yang dihantar kepada abang masih belum delivered. Bermakna abang masih belum tiba di Bintulu. Tiba di rumah jam 5 petang selepas saya singgah membeli keperluan dapur di Pasar Malam Kerinchi. Mesej masih belum delivered. Gusar. Inilah kali pertama mesej saya begitu lambat untuk sampai pada abang. Sehingga jam 9 malam saya masih menanti. Tidak pernah selewat ini. Air mata mula bertakung di tubir mata, dan akhirnya mengalir. Melihat gambar abang yang tergantung di dinding rumah membuatkan air mata lebih deras mengalir. Saya beristighfar, meredakan diri dan menahan tangis dari berlarutan. Membasuh muka dan mula membuat kerja. Hati memang tidak keruan. Akhirnya telefon berdering, skrin tertulis Puteri Nilam Satu. Puteri Nilam Satu? Saya mengangkat telefon. "Abang..........abang kat mana?" soalan pertama yang terkeluar dari mulut saya. "Abang tak sampai lagi, kapal rosak....". Saya mula bertanya, kapal rosak apa dan sebagainya, dan abang pula tidak jemu menjawab soalan saya. Terima kasih abang, walaupun saya tidak memahami sangat pun, tetapi seronok mendengar cerita abang. Syukur, terima kasih Allah yang menggerakkan hati abang untuk menghubungi saya yang dalam gusar dan gundah. Alhamdulillah.

abang.....: )


Sabtu, 5/05/2012

Jam 11 pagi, saya menjejaki abang melalui laman sesawang Marine Traffic. Kapal abang menghampiri Labuan. Jam 12 tengahari abang menghubungi saya. Abang sudah berada di Labuan, untuk proses membaiki kerosakan kapal. Lama bersembang..dan kadang-kadang kami berdua diam, dan hanya ketawa...kerana sudah kehabisan cerita.. Beberapa kali talian putus, kerana masalah liputan. "Kenapa asyik putus abang?", "Abang rasa sebab dah makin jauh dari darat ni", "Oh, kapal dah gerak ke?", "Tak, kapal hanyut". "Hanyut?", "Hanyut tu maksudnya kapal tak gerak dan kapal  tak anchor", terang abang. "oooooo..". Begitulah lumrahnya isteri pelaut. Mendengar suara sahaja cukup membuatkan hati gembira. Alhamdulillah. Fokus pada kesyukuran, bukan pada kesukaran.

Ahad, 6/05/2012

Hari ini, hari yang paling gembira. Pertama kali, selepas hampir 4 bulan, barulah saya dapat menatap wajah suami tercinta, melalui talian skype. Sebelum ini hanya MMS penawar rindu. Tapi, kali ini Allah mengilhamkan idea kepada abang untuk meminjam laptop kawannya. 

Hikmah di sebalik musibah

Hikmahnya kapal rosak, saya dapat mendengar suara abang bermula Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa insyaAllah., sebelum abang belayar semula ke Niigata, Jepun..: ).

Mahu setabah Siti Hajar

Pejam, celik...Hampir 4 bulan sudah abang belayar. Alhamdulillah, Allah memelihara dan memudahkan segala urusan kami. Selalu saya mengingatkan diri, apalah sangat ujian berjauhan dengan suami yang saya lalui ini. Paling lama pun, 2 minggu sahaja saya tidak dapat mendengar suaranya, itupun jika abang kehabisan topup untuk telefon satelit. Abang tinggalkan saya dengan segala kemudahan. Syukur. Semua ini pemberian dari Allah. Jika mengimbas kembali bagaimana Nabi Ibrahim a.s terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail di tengah padang pasir yang kering kontang, jauh lebih perit keadaannya, tiada apa-apa pun, tetapi mereka tabah dan akur dengan perintah Allah. Apalah sangat ujian yang saya perlu tempuh. Jika dibandingkan dengan isteri-isteri pejuang Palestin yang menghantar suami mereka keluar berjuang, dan penantian mereka berakhir dengan khabar syahidnya si suami. Saya menghantar suami bekerja, menunaikan amanah ilmu yang ada padanya. Ilmu pelayaran. Kerana kelak, kita semua akan ditanya tentang sejauh mana ilmu yang kita punyai itu kita amalkan. Saya menyerahkan diri saya dan diri abang dalam jagaan Allah. Kerana, di manapun kita berada, dan keseorangan. Allah itu lebih dari cukup. Begitulah kata-kata Buya Hamka lewat cerita Di Bawah Lindungan Ka'bah yang abang tonton dan saya juga menontonnya. Walaupun kita berdua dan bersama, hanya Allahlah yang Maha Pelindung. Benar, Allah itu lebih dari cukup. Semoga rumah tangga ini, setabah rumah tangga Nabi Ibrahim dan Siti Hajar. Semoga jauhnya kita, mendekatkan lagi kita dengan Allah.

Selamat bekerja abang. Bekerja kerana Allah, ingat Allah selalu. Semoga kita sentiasa bersama dalam kalimah taqwa, di dunia dan akhirat.
InsyaAllah, penantian hanya tinggal 2 bulan lebih lagi....(semoga sempat saya siapkan tesis..ohoh..)
Selamat belayar Puteri Nilam Satu....semoga sihat-sihat saje ye.........




Wednesday, March 21, 2012

For me...myself...




never give up
Allah always with you
Always with you
.................................

give me strength ya Allah



Sunday, March 11, 2012

Bila







Bila.......
Jawapan yang hanya ada pada diri sendiri...........

Friday, February 10, 2012

Man Jadda Wajada : )

Bismillah...
Salam Jumaat yang berkat...hari yang terdapat satu saat yang mustajab untuk berdoa..

Pejam celik, sungguh cepat dan pantas masa berlalu..kata abang, bila jadi pelaut, terasa benar masa berlalu bagaikan air. Dua tahun bergelar pelajar sarjana, bagaikan baru semalam mendaftar. Kadang-kadang putus asa itu mampir. Segera diusir, ingatkan diri, Nabi s.a.w. tidak suka umatnya yang berputus asa. Genggam bara api biar sampai jadi arang.



Membaca novel 'Negeri 5 Menara' karya A. Fuadi sungguh memberi inspirasi, Man Jadda Wajada, siapa yang bersungguh-sungguh, pasti mendapat hasil! : ). 

Sumaiyah, bersungguh-sungguhlah siapkan tesis. Semoga Allah mudahkan dan beri ilham dan idea yang baik, supaya hasilnya bisa memberi manfaat buat ummah. Amiin.

*Pagi Jumaat, menghantar abang lewat bicara di hujung telefon, abang pergi lagi, Bintulu-Sodegaura. Doa saya saban hari, semoga Allah pelihara insan yang saya cintai ini , apalah saja kapal yang besar itu jika dibanding dengan lautan ciptaanNya yang sungguh luas. Semangat 'man jadda wajada' abang juga memberi inspirasi untuk diri terus berusaha. Semoga kita bisa sentiasa bersama, jikapun bukan di mata, tetapi di hati dan di dalam doa, jikapun bukan di dunia, moga-moga di syurga, insyaAllah. Inna ma'al 'usri yusra. Bersama kesusahan, ada kesenangan.

Sunday, February 5, 2012

Wahai Purnama


Wahai purnama....wahai purnama
Yang indah lagi sempurna
Bagaimana...bagaimana
Nak  ku luah dengan kata-kata
Engkau menyinar di alam tinggi...di alam tinggi...
Terangi kegelapan dan kebatilan..
Dengan mu alam bergemerlapan...bergemerlapan...
Zahir batin nur nikmat dan kemuliaan
Selawat Allah ke atasmu selama-lamanya
Siang dan malam jua...siang dan malam jua
Selawat jua pada ahlimu dan sahabatmu...
Mereka yang istimewa dan sempurna..

-Salam Maulidurrasul 1433H-

Thursday, January 19, 2012

Selamat belayar fi hifzillah..


16/01/2012
KLIA-Bintulu

Masa akan pantas berlalu ...
Jauh di mata..sentiasa di hati.....
Selamat belayar..fi hifzillah..
Semoga dalam jagaan Allah..
Kerja kerana Allah itu ibadah..


Semoga dipelihara Allah selalu..abang

Tuesday, October 25, 2011

Interlok, Baromkeh : selesai akhirnya : )


Dalam sela masa kala sibuk menyiapkan tesis, saya mencuri waktu untuk membaca dua novel ini. Pertama, interlok, yang dipinjam dari sahabat Fatin Nur Majdina Nordin, sudah berbulan-bulan tersusun kemas antara deretan buku saya yang menanti giliran untuk dibaca. Akhirnya saya berjaya menghabiskannya semalam. Sudah terlalu lama saya tidak menghadap novel begini, novel sastera yang untuk memahaminya perlu bertemankan  kamus. Terlewat. Ya, sungguh terlewat saya menguliti buku ini. Saat kontroversi interlok tidak lagi dibicarakan di sana sini. 


Kuasa Tuhan

"Seman terperanjat, kerana dalam samar-samar senja itu seekor ular melintas jalannya. Dia tergamam.Ular itu kerana ketakutan cepat menyelinap ke seberang jalan, masuk ke dalam rumput.
Tiba-tiba hatinya kecut. Dia teringat pada Tuhan. Dia teringat pada ibunya. Barangkali ibuku sedang sembahyang Maghrib. Barangkali ibu sedang meminta doa kepada Tuhan supaya aku selamat. Dan aku terus terselamat daripada ular tadi. Siapa tahu kuasa Tuhan!"
-interlok-
***************************


Buku kedua, karya Ummu Hani Abu Hassan, anakanda penulis tersohor negara, pengarang Novel Julia yang menjadi teks sastera semasa SPM dahulu. Baromkeh : Matamu dimataku, karya yang memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Mungkin ini novel yang terpantas saya habiskan pembacaannya. Hanya dua hari. Negara Syria dijadikan latar cerita, menarik!. Sungguh banyak isinya yang terkena pada batang hidung sendiri. Muslimah! walau bertudung labuh luarannya, adakah akhlaknya mulia kala tudung itu ditanggalkan? Benar, ia mengajar saya, usah sia-siakan masa, muslimah dengan amanah sebagai seorang yang belajar agama terlalu berat tugasnya. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan dan kesabaran untuk tidak jemu memperbaiki diri dan mengajak orang lain memperbaiki diri. Amin. 


Isteri

 "Tuhan...
Jadikanlah aku seorang isteri, seorang sahabat yang menemani suamiku dalam suka dan duka dunia...
Tuhan...
Jadikan cinta aku mekar dalam belahan jiwa suamiku, berkekalan sampai ke akhirat...
Tuhan...
Jadikan kami orang yang bertindak pada garis syariatmu tanpa keraguan...
Tuhan..
Teruslah memayungi kami dengan payung rahmatMu ya Allah...."
-Baromkeh : matamu di mataku-

Friday, October 14, 2011

Bebelan Jumaat

Bebel ?? 

Jumaat membuatkan saya risau bila mengenangkan masa yang begitu cepat berlalu. Bila risau, saya akan mula membebel. Mulai hari dengan bacaan al-Kahfi...yang jarang-jarang berjaya dihabiskan lantaran MALAS, alhamdulillah hari ini berjaya. Semoga minggu-minggu yang akan datang juga diberi kekuatan. Sebenarnya tidak lama masa yang diambil, sekitar 25-35 minit sahaja berbanding masa yang diperuntukkan untuk menonton televisyen yang lebih-lebih lagi lama masanya. Muhasabah untuk diriku yang alpa.

Serangan 5 F

Serangan kafir laknatullah ke atas umat Islam hari ini datang dari pelbagai bentuk dan pelbagai cara. Teman saya, Suhaily memberitahu tentang kajian seorang ustazah di sekolah beliau mengenai facebook. Menurutnya facebook merupakan database terbaik untuk yahudi mengetahui bilangan umat Islam dan membolehkan mereka menyusun strategi terbaik untuk menjatuhkan Islam. Wallahu'alam sejauh mana kebenaran. 

Serangan 5 F ini saya peroleh ketika mendengar radio IKIM hari Selasa, segmen Mahligai Kasih bersama rektor UIAM, Prof Dato' Dr. Zaleha. 

F = Fun                       
F = Family                   
F = Food
F = Fashion
F = Film

Oleh yang demikian, berhati-hatilah agar diri kita tidak diserang dengan unsur-unsur ini. Hiburan yang melalaikan merosakkan jiwa, rumahtangga yang dibina bukan kerana Allah hanya membawa kepada kemusnahan institusi keluarga. Makanan yang syubhah dan tidak halal akan merosakkan hati dan darah daging, sedangkan segalanya bermula dari hati. Fashion yang diluar apa yang dibenarkan syariat hanya akan menggalakkan gejala sosial, zina mata dan hati. Paling bahaya, filem-filem yang nampak seperti tidak  punyai apa-apa strategi sedangkan mereka berusaha untuk merosakkan akidah umat Islam melaluinya, dengan pakaian yang mencolok mata, hubungan lelaki perempuan yang tiada batas, unsur-unsur tahyul dan sebagainya.

Target

Minggu lepas, usai berjumpa penyelia pertama, saya dibelenggu rasa risau dan tekanan yang melampau. Dahsyat? ya, memang, apabila bab yang sudah selesai perlu dirombak dan diedit....edit.....edit.....lagi. Minggu ini, saya mencuba untuk memikirkan cara terbaik menyelesaikan masalah, namun masih belum berjumpa dengan penyelesaian yang terabik supaya tidak perlu mengubah apa-apa lagi selepas ini. Mengadu pada Dr. Pooya@ Dr. Rahim…"Dr. I’m worry if I can’t finish writing my theses by the end of this year…. “No…. u can!...u can!” terkejut saya ….dia pulak yang yakin dengan saya…sedangkan dia tidak mengenali siapa saya yang malas ni…. “Ok, let say….ur theses will consist of 250 pages…and u have 2 months, 60 days more..for one day u just have to finish up from 4 to 5 pages..and don’t go to sleep till u done writing 4-5 pages..it is not too long right?”… “Ya….but......em...thanks Dr. for your suggestion…I’ll try, insyaAllah”…kalaulah Dr. nak tau…saya ni memang orang yang paling suka buat target…..tapi bila saya mengantuk takde kompromi dah…..tak siap satu ayat pun saya akan tido jugak…tapi…insyaAllah…memandangkan saya kena jugak habiskan akhir tahun ni sebab perjanjian dengan JPA sampai Mac 2012….saya tiada pilihan…saya cuma perlu memilih untuk tidak tidur selagi belum siap. Semoga saya berjaya dengan suatu keazaman yang baru dalam hidup bila memilih untuk mengorbankan waktu tidur...huhuhu...

Dunia, manusia, akhirat

Dunia diciptakan untuk manusia. Manusia pula diciptakan untuk akhirat. Justeru, jadilah yang terbaik untuk dunia dan akhirat. Dunia ibarat tempat menanam, akhirat tempat tuaian hasil dari apa yang ditanam. Andai tanaman itu dipelihara dengan baik, dibajai dengan iman. Hasilnya kelak, tentu akan baik.

Dunia, bila dikejar, kita akan lelah dan akhirnya kita akan kecundang di akhirat. Akhirat, bila dikejar, kita akan bahagia selamanya di sana dan tanpa kita sedar, dunia yang mengejar kita.


Pesan Luqman al-Hakim : Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernamaTAKWAISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH

Selamat menempuh hari Jumaat dengan rasa semangat...hari penghulu segala hari .... : )

Monday, October 10, 2011

Selamat pendek umur




Selamat pendek umur....
Umur..Sudah ditentu Ilahi bila tamatnya
Makin bertambah hari, bulan dan tahun
Makin pendek umur

Umur..akan menjadi panjang
Jika dilalui dengan amal yang tekun
Ibadah yang ikhlas
Taat dan patuh
Bakti yang luhur
Baru umur meski pendek terasa panjang
Kerana sahamnya kekal hingga akhirat

24
10/10/1987/ 16 Safar 1408H
Hari Sabtu, jam 4 petang
Sakit umi hanya Tuhan yang tahu
Bagaimana luar biasa sakitnya hingga kesihatan umi terjejas 8 tahun lamanya.
Terima kasih umi. Terima kasih abun.

Tuhan.
Ampunkan dosa ibu dan ayahku
Jadikan aku anak yang solehah.
Tak lupa pada budi dan jasa mereka 
Jadi saham akhirat mereka
Moga kelak
Di syurga nan luar biasa indahnya 
Kami ketemu
Di bawah lembayung rahmatMu
Untuk hidup yang abadi

24
Usia begini.
Entah apa yang aku sudah sumbangkan buat umat
Tuhan
Beri aku kekuatan
Melangkah dan menongkah duga dunia
Yang kalanya suka
Kalanya duka

24
Tuhan
Jangan lepaskan tanganku dari jalanMu
Bimbang aku tersesat
Hanyut 
Dalam dunia 
Yang lumrahnya melekakan.

Tuhan
Jadikan aku insan
Penuh sabar dan berkesan
Memberi manfaat untuk umat sejagat.

* Terima kasih +881631847389, ucapan dari jauh : )..sebab jauh.... terawal sejam....semoga mudah urusan kita : )
** Terima kasih buat teman2 yang memberi ucapan dan doa..terima kasih geng sains gunaan dengan pengajian islam..atas kek dan banner...: ) walaupun eja nama salah...huhu....
*** 10 Oktober 2011,hari pertama World Congress For Islamic History and Civilization----Moga mudah urusan Dr. Rahim berucap sebagai pengarah congress dalam bahasa melayu. Amiin.


Friday, October 7, 2011

Jujur Kata

Jujur kata

Jika kita berkata 'ya' tanpa ragu atau letih
Kita tingkat inti daya tanpa lesu juga sedih
Diri kita akan jaya

Jika kita kata 'tidak' sebab malu atau bongkak
Kita tambah daya palsu pada diri tidak boleh
Pasti saja kita kalah

Kita perlu berkata 'ya' memang jika ingin berjaya
Berkata 'tak' jika memang rasa akan kalah
Untuk teguh perlu kukuh

Kita wajar jadi insan penuh sabar dan berkesan
Tiap kata penuh makna dan suara bermaruah
Baru langkah penuh gagah

-A. Samad Said-

Saturday, October 1, 2011

Cerita semalam....syukur lillah...: )

Pagi
Pagi, jam 10.00 saya ke Fakulti Sains untuk berjumpa penyelia kedua saya, Prof. Halijah. Saya pergi dengan dua tujuan, pertama mahu menunjukkan kemajuan tesis, kedua, mahu meminjam buku dari Prof. Buku yang tiada di perpustakaan. "Prof, saya nak pinjam buku plant resources boleh?", "No, i'm sorry sumaiyah...saya dah hilang percaya kat manusia sekarang ni, dulu saya tak bagi pinjam pada undergraduate, sekarang postgraduate pun saya tak bagi", "Oh, its ok Prof, sebab saya dah cari kat library, tapi takde", "oh..u can refer any taxonomic book", balas prof dan bercerita panjang lebar tentang buku-buku beliau yang hilang selepas dipinjam oleh pelajar-pelajar. Ya, saya sungguh mengerti perasaan bila buku yang dipinjam dihilangkan atau tidak dijaga dengan baik. Kami bertukar topik, dari perihal buku, berbincang mengenai tesis. Alhamdulillah, Prof. berpuas hati dengan apa yang saya lakukan. Panjang kami berbual,  hampir 2 jam. 

Daripada hal tesis, beralih pula ke masalah dunia akademik yang makin hilang etika. "i'm glad that all of this happen at the end of my carrier, i cant stand with all of this anymore, saya tak sanggup nak tengok pelajar-pelajar yang makin malas, sistem pendidikan yang dah hilang profesionalismenya...", sebut Prof yang melahirkan kekecewaan terhadap budaya plagiat yang semakin berleluasa, budaya bodek dan banyak lagi ketidakpuasan hati tentang dunia akademik diluahkan. Prof sudah 3 kali menyambung kontrak selepas bersara, asam garam dunia akademik memang sudah masak baginya. Kami beralih ke hal peribadi. Banyak perkara yang dikongsi, tentang matlamat hidup, tentang kerjaya, dan tentang pengurusan keluarga. Pesan Prof, you must plan your live properly dan panjang lebar lagi pesan Prof. Ternyata, cerita saya hari ini sungguh membimbangkan Prof. InsyaAllah, saya sedang usaha yang terbaik supaya semuanya ok, pelajaran tak terjejas, doakan saya siap cepat!. Saya mengaku, kadang-kadang saya malas. (sebenarnya mungkin selalu).  Jam 12 tengahari, saya meminta diri untuk pulang, sebelum keluar dari pejabat Prof., "Sumaiyah, if u want to photostat my book, u can talk to Yati (PA Prof), tell her what species you want and i will give that book to her later". "Thank you Prof", Alhamdulillah.....tersenyum saya tanda syukur.

Petang
Petang, jam 3.00. Kelas bersama Dr. Rahim Kaviani. Kelas bahasa melayu. Buku kedua yang saya guna untuk mengajar sudah di helaian terakhir. Dr. Rahim sangat bersungguh-sungguh untuk mahir dalam bahasa melayu. Kagum. Latihan hari ini ialah padankan perkataan. Antara ayatnya ialah burung terbang, ikan berenang. Saya bertanya kepada Dr. Rahim, "Dr., what happen if ikan terbang?" sambil ketawa kecil kerana memang niat hanya mahu bersenda. " Nothing impossible if god want to do that.", oh.....terdiam saya, niat hati mahu bergurau, akhirnya perbincangan menjadi serius. " If u told your grandfather that now u go to Mecca just in 10 hours, they will laughing at u, because in their time, they took around 6 months, so nothing impossible rite?", "Ya, i agree"..tapi rasanya ini topik yang berbeza dengan ikan terbang..oh..apa-apa sajalah.... Sambil belajar, Dr. Rahim bercerita lagi tentang kerisauan beliau dengan generasi muda yang terlalu leka dengan hiburan, facebook, twitter dan sebagainya. " You know, western and jews very patient in cheating us slowly". Dr. Rahim bercerita lagi tentang ketegasan negara beliau dalam memboikot barangan Yahudi dan Amerika. Tiada KFC, tiada McD di sana. 

Pernah saya bertanya kepada beliau, tentang hari karbala. Hari karbala ialah hari kesedihan bagi penganut mazhab Syi'ah. Pada hari ini, ramai yang akan mencederakan diri sebagai tanda memperingati kematian Saidina Husain yang mati dibunuh. Saya bertanya, mengapa perlu mencederakan diri? Dr. Rahim menjawab, "I'm not agree with that tradition, Islam not teach us to do that, yes, we are sad, but this is not the way to express your emotion", beliau menambah lagi " following the tradition, without checking with our wisdom, is silly action". Pernah beliau berpesan kepada saya, "read 100 books in your field, then you will be expert in your field." 100? 10 pun belum tentu dihadami semuanya, untuk menjadi pakar dalam bidang ini, terlalu jauh bagi saya, dan itu tandanya usaha mesti terus!!

mouse pad, ole-ole dari Iran..terima kasih Dr. : )


Jumaat yang berkat
Jumaat, penghulu segala hari. Bila tiba hari Jumaat, saya menjadi takut, "Hah, dah Jumaat....cepatnya masa...". Ya, masa memang pantas berlalu...pepatah arab " Al-waqt yamurru ka al-sahab". Masa berlalu seperti awan. Masa itu kehidupan. Semakin masa berlalu, semakin pendek usia kita. Kesilapan yang lalu, malas, lemah, termenung sana, berangan sini dan sebagainya tidak mungkin kita kembalikan, tetapi kita punyai hari esok, yang perlu kita rencana supaya ianya menjadi lebih bermakna dari hari ini dan semalam yang telah kita lalui. Mohon pada Allah, semoga ditetapkan hati dalam kembara mencari redhaNya. Tak kira apa jua yang kita lakukan semoga redha dan rahmat Allah mengiringi. Jumaat yang berkat, semoga berkatnya terus hingga hari-hari seterusnya..dan semoga kerajinan hari ini...tiada tarikh luputnya!!...amiin..

Friday, September 30, 2011

Mehdi, Usamah, Mia, Darwisy = Hadiah

Mehdi 

Minggu lepas, umi call and cerita yang mehdi mengadu "siti, mama terpijak kapal terbang mehdi". Petang tadi, di pasar malam, ternampak kapal terbang yang sama macam umi beli untuk mehdi...Then, saya pun call kakak, "salam...boleh cakap ngan mehdi?", kakak pun pass kat mehdi , "mehdi, kholah nak cakap"...saya pun tanya pada mehdi "mehdi, nak kapal terbang tak?", mehdi jawab, "kapal terbang ada dah, mehdi nak keretapi la kholah","ok, nanti kholah beli".."Ok.." balas mehdi.. then, saya pun cakap balik dengan kakak...betul ke kapal terbang dia rosak...memang tak syak lagi, memang rosak, keretapi mehdi pun rosak jugak cerita kakak, bila on je, keretapi tu mesti terbabas dari landasan..panjang kami bercerita tentang mainan-mainan mehdi, kren dia pun kakak terpijak...aiyo...kakak ni...sabo jela.. tiba-tiba mehdi bersuara "kholah, keretapi pun dah ada"....saya dan kakak ketawa..."baiknya anak menakan sorang ni kakak..."...mehdi...mehdi...manala kholah tak asyik teringat mehdi je....

koleksi mainan mehdi

mehdi sedih nak balik penang...: (



Usamah

Usamah....sebelum kewujudan mehdi...usamah la jantung hati semua...adik sepupu paling bongsu, semua screen handphone kat rumah, letak gambar usamah...sekarang mehdi dah rampas semua tu...semua screen handphone dah tukar gambar mehdi...saya pernah janji nak beli bola untuk dia....tapi sampai sekarang tak beli lagi.... raya haritu, usamah tak nak cakap dengan saya.."adik sombong ye...taknak cakap ngan kak ya"...dia diam seribu bahasa....diam dia merisaukan saya..."habisla...adik merajuk....."...."adik....nanti kak ya beli bola tau"....dia diam lagi.....tiada sebarang reaksi.......rupanya....adik demam....paksu cerita pada saya...adik...kalau demam....mulut langsung tak bukak...hai....mujur lagi..ingatkan merajuk dah....

adik....besar dah adik...

adik....tahun lepas..

Mia

Mia.....Mia aisha....sangat cute....time penat and stress kat um...bila jumpa mia...hilang sikit stress tu...pernah mia tanya..."ustazah...why your tudung so long?"...dalam hati saya berkata..."hah...apa aku nak jawab"..."because i like : )"sambil tersenyum macam kerang busuk sebab tak tau nak jawab apa..."you don't like a short one like my tudung"..."no...when i was small...i wear a short one as well..." ...mia tanya lagi..."ustazah, why u always wear baju kurung..."...."ustazah...why u need to puasa..."..."ustazah....do u know how to draw butterfly"..."ustazah...why u not show your hair?".."ustazah..why i need to mengaji?"...rupa-rupanya....bila ajar kanak-kanak...kita memang kena prepare untuk jawab soalan-soalan yang diluar jangkaan.....huhu.....and  satu hari mia tanya..."ustazah....if i finish read this book....can u give me princess book...."..."oh...of course..: ) ".." i want snow white book"....maka....last week....saya pun pegi mph untuk misi mencari buku princess...title snow white..malangnya tak jumpa...yang tinggal cinderella and mermaid je...cari punya cari....terjumpala buku snow white and the seven dwarf..hopefully mia suka la ye..sebelum bagi kat mia...bagi ustazah baca dulu....hehehe...




Darwisy

Darwisy......anak kawan baik.....pendiam....tak taula ikut sape....ibu and abati dia...dua-dua banyak cakap....sangat adorable....diaaammmmm je.....ish...geram....yang ni...belum pandai mintak hadiah....em...tak taula kalau besar sikit nanti....



alolooooooooo........

sekian...
semoga semuanya jadi anak yang soleh dan solehah....
muslim yang hebat satu hari nanti...
amiin.....

Tuesday, September 27, 2011

HATI EMAS


HATI SEORANG PEMANDU TEKSI…
Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.
“Kenapa masih bekerja Pak cik?”
“Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali.
Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.
“Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.
“Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja.
“Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.
“Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek.
Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah.
“Pak Cik gembira dengan kerja ni?”
“Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz,  sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.
“Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?”
“Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.”
“Malam pun Pak Cik kerja juga?”
“Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.”
Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.
“Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil.
“Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.”
“Apa yang Pak Cik cari  semasa mengaji secara dengar-dengar tu?”
“Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.”
Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.
“Sekarang ni mudah dapat pelanggan?”
“Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.”
“Kalau pelanggan tidak da bagaimana?”
“Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.”
“Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?”
“Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.”
“Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku.
“Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.”
“Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.”
“Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.”
Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!.
Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?”
Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian.
“Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.”
“Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya.
“Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.”
Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?”  dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui.
Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi.
“Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?”
“Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.”
“Mengapa begitu Pak Cik?”
Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata,  “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..”
Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.”
Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya.
“Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…
Dipetik dari : http://genta-rasa.com/2011/09/24/hati-emas/#more-1585