Dalam sela masa kala sibuk menyiapkan tesis, saya mencuri waktu untuk membaca dua novel ini. Pertama, interlok, yang dipinjam dari sahabat Fatin Nur Majdina Nordin, sudah berbulan-bulan tersusun kemas antara deretan buku saya yang menanti giliran untuk dibaca. Akhirnya saya berjaya menghabiskannya semalam. Sudah terlalu lama saya tidak menghadap novel begini, novel sastera yang untuk memahaminya perlu bertemankan kamus. Terlewat. Ya, sungguh terlewat saya menguliti buku ini. Saat kontroversi interlok tidak lagi dibicarakan di sana sini.
Kuasa Tuhan
"Seman terperanjat, kerana dalam samar-samar
senja itu seekor ular melintas jalannya. Dia tergamam.Ular itu kerana ketakutan
cepat menyelinap ke seberang jalan, masuk ke dalam rumput.
Tiba-tiba hatinya kecut. Dia teringat pada
Tuhan. Dia teringat pada ibunya. Barangkali ibuku sedang sembahyang Maghrib.
Barangkali ibu sedang meminta doa kepada Tuhan supaya aku selamat. Dan aku terus terselamat daripada ular tadi. Siapa tahu kuasa Tuhan!"
-interlok-
***************************
Buku kedua, karya Ummu Hani Abu Hassan, anakanda penulis tersohor negara, pengarang Novel Julia yang menjadi teks sastera semasa SPM dahulu. Baromkeh : Matamu dimataku, karya yang memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Mungkin ini novel yang terpantas saya habiskan pembacaannya. Hanya dua hari. Negara Syria dijadikan latar cerita, menarik!. Sungguh banyak isinya yang terkena pada batang hidung sendiri. Muslimah! walau bertudung labuh luarannya, adakah akhlaknya mulia kala tudung itu ditanggalkan? Benar, ia mengajar saya, usah sia-siakan masa, muslimah dengan amanah sebagai seorang yang belajar agama terlalu berat tugasnya. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan dan kesabaran untuk tidak jemu memperbaiki diri dan mengajak orang lain memperbaiki diri. Amin.
Isteri
"Tuhan...
Jadikanlah aku seorang isteri, seorang sahabat yang menemani suamiku dalam suka dan duka dunia...
Tuhan...
Jadikan cinta aku mekar dalam belahan jiwa suamiku, berkekalan sampai ke akhirat...
Tuhan...
Jadikan kami orang yang bertindak pada garis syariatmu tanpa keraguan...
Tuhan..
Teruslah memayungi kami dengan payung rahmatMu ya Allah...."
-Baromkeh : matamu di mataku-