Saturday, August 30, 2008

MERDEKA

Esok, 31 Ogos 2008 negara yang tercinta ini bakal memasuki usia 51tahun sebagai negara yang merdeka. Apa makna merdeka? Sudah terlalu ramai menafsirkan makna merdeka.

Bagi diri saya, merdekanya diri ini bila tiada rasa gentar selain kepada Allah Tuhan Empunya Alam ini. Itulah perjuangan kemerdekaan yang masih belum saya capai. Takut itu dan takut ini masih menjadi sikap saya yang akan saya buang jauh-jauh untuk tampil sebagai hamba Allah yang merdeka.
********
Kelmarin, saya berkesempatan menonton Teater 2 jam sebelum Sultan Alauddin syahid diracun purnakarya Faisal Tehrani. Bagi saya, teater itu cukup merdeka, pukul rata, semuanya mengena. Pelbagai isu politik diketengahkan dan perkaitan dengan kisah Sultan Alauddin syahid diracun amat menjadi. Itu hanyalah komen saya yang bukan sesiapa dan baru pertama kali menonton teater. Saya doakan akan ada drama mahupun filem yang juga sebegitu, merdeka dalam menyampaikan mesejnya. Kelmarin juga, seusai teater melabuhkan tirai, saya berkesempatan bersua empat mata dengan penulis yang saya kagumi itu, meminta beliau menandatangani novel Tunggu Teduh Dulu yang baru saja dibeli. Pada mulanya, saya agak keberatan untuk menonton teater seorang diri lantaran sahabat-sahabat yang lain semuanya tidak mahu turut serta dek kerana tugasan lain yang lebih penting bagi mereka, tetapi kerana minat yang mendalam terhadap dunia seni sastera, saya beranikan diri untuk pergi seorang diri. Ya, saya perlu berani untuk menjadi merdeka.
*******
Tunggu teduh dulu, terasa begitu dekat dengan jiwa, pertama kerana wataknya(salsabila) adalah sama seperti nama kakak yang paling saya sayangi di dunia dan kedua kerana pertanian yang ditonjolkan. Apa sahaja yang ada kaitan dengan pertanian, akan menjadi kegilaan saya. Tunggu teduh dulu juga tentang muslimah yang merdeka.
*******
Merdeka, malam merdeka bagaikan malam pesta yang tiada faedah, muda-mudi bercampur bebas, untuk apa? barangkali itu makna merdeka bagi mereka..
*******
Merdeka, merdeka, merdeka.. Banyak kisah sejarah sebelum merdeka yang digelapkan.
Merdeka, merdeka, merdeka.. bisakah Malaysia merdeka selama-lamanya???

No comments: