Thursday, January 21, 2010

IKHWAN AL-SAFA' : KESATUAN SARJANA MUSLIM

Pengenalan Ikhwan al-Safa'

Ikhwan al-Safa' atau dalam bahasa inggerisnya Brethren of Purity ialah satu kumpulan ahli Sains dan ahli falsafah Muslim pada abad ke-2. Mereka mengasaskan sistem falsafah yang menjadi asas kepada penghidupan di samping menyatukan antara agama dan falsafah. Ikhwan al-Safa' merupakan contoh persaudaraan yang membawa kepada kemajuan ummah. Mereka mengumpul, menyusun dan membuat sintesis kesemua ilmu Islam termasuklah pelbagai sains dalam satu pandangan hidup yang unggul dan terjalin. Kumpulan ini telah menulis 52 risalah yang dikumpulkan dalam Rasa'il Ikhwan al-Safa yang merangkumi pelbagai perkara seperti aritmetik, teologi, magis dan juga embriologi. Rasa'il Ikhwan al-Safa dibahagikan kepada empat kategori, 14 risalah yang pertama berkenaan matematik, 17 yang kedua berkenaan sains tabi'i , 10 yang berikutnya berkaitan dengan psikologi dan rasional sains dan 11 yang terakhir sains teologi.


Asas Kajian Ikhwan al-Safa'
Merujuk karangan Seyyed Hossein Nasr di dalam buku Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam didapati kajian Ikhwan al-Safa' bersumber bukan hanya kepada teks historikal semata-mata.
Seperti mana yang dijelaskan sendiri oleh Ikhwan al-Safa':
"Kami telah menimba ilmu daripada empat buku. Buku yang pertama dikarang berdasarkan ilmu sains dan matematik yang diasaskan oleh para hukama, dan para ahli falsafah. Sumber kedua ditimba daripada kitab yang diwahyukan seperti Taurat, Injil, al-Quran dan lain-lain kitab yang dibawa oleh para nabi melalui wahyu malaikat. Sumber ketiga ialah daripada kitab alam tabi'i yang merupakan idea dalam pengertian platonik...dan sumber keempat ialah kitab Ilahi yang menyentuh manusia suci dan para malaikat yang rapat menghubungi manusia terpilih, yang mulia dan bersih jiwanya..."
Daripada penjelasan di atas, Che Wan Jasimah membuat satu konklusi iaitu berdasarkan kepada rujukan yang dilakukan oleh Ikhwan al-Safa', mereka cuba menjalinkan ilmu-ilmu yang ada dan menjadi kunci untuk memahami Rasa'il. Dalam mengkaji sains tabi'i, Ikhwan al-Safa' telah mengikut pendekatan keagamaan dan menganggap alam tabi'i sebagai bidang yang tidak terpisah daripada Wahyu.


Kesatuan Sarjana Muslim : Kehendak Semasa
Dalam menghadapi cabaran semasa di zaman dunia tanpa sempadan, sains dan teknologi yang melampaui batas-batas yang dibenarkan, kesatuan Sarjana Muslim dilihat sebagai suatu keperluan. Kesatuan yang dilakukan oleh Ikhwan al-Safa' dapat dijadikan contoh walaupun disiplin Ilmu yang dikuasai mereka berbeza dengan saintis muslim dari ini. Apa jua bentuk kesatuan(samada dalam pergerakan mahupun bidang ilmu) merupakan suatu titik mula dalam keberjayaan Ummah.

No comments: