Monday, May 16, 2011

Bengkel Asas Penulisan YADIM I

Bismillah. Hari ini 16 Mei, hari guru sedunia. Selamat hari guru buat semua guru-guru di Malaysia. Tanpa kalian siapalah seorang Perdana Menteri, siapalah seorang jurutera, siapalah seorang jutawan sekalipun dan siapalah kami semua. Barakallah lakum. Semoga Allah memberkati kalian semua.

Align Center
Dinihari. Saya terjaga, merasa sesuatu yang luar biasa terjadi pada diri. Tekak terasa perit, kepala berdenyut, terasa sukar bernafas dan liur yang ditelan terasa pahit. Kipas angin yang berputar perlahan cukup membuatkan dinginnya menggigit tulang. Pantas tangan mencapai termometer di birai tilam. Sah! demam sudah datang bertandang. Tetapi suhu tidak setinggi mana, cuma tinggi sedikit dari paras normal. Justeru, saya tiada alasan untuk terus bermanja dengan selimut dan bantal. Kaki digagahkan untuk melangkah. Hasrat hati untuk berpuasa hari ini dibatalkan kerana menyedari hakikat badan yang perlukan banyak air sebagai penawar. Tidak mengapa, bukan rezekinya hari ini. Mungkin kerana terlalu kepenatan 3 hari berbengkel (atau lebih tepat berkursus, kerana tiada sebarang bengkel diadakan) dan kadang-kadang terkena hujan membuatkan badan sedikit lemah. Tetapi tidak mengapa, saya mengingatkan diri "kamu bukan anak kecil yang perlu dimanja-manjakan ketika sakit!". Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan, saya tidak harus lemah!.

Bengkel Penulisan Asas YADIM (Yayasan Dakwah Islam Malaysia)

Bengkel ini telah diadakan pada 13-15 Mei bertempat di Pusat Latiha YADIM, Sg. Semungkis, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Pertama kali berpeluang menyertai bengkel penulisan. Alhamdulillah. Uniknya bengkel ini ialah peserta yang terdiri daripada latar belakang umur yang berbeza iaitu antara 14-45 tahun. Cuba bayangkan bagaimana pihak penganjur menangani peserta yang pelbagai ini. Tetapi, tidak terlalu menjadi masalah, kerana pengisian bengkel hanyalah ceramah mengenai asas penulisan dan perkongsian pengalaman dari penulis terkemuka tanah air.

Buah tangan yang dibawa pulang

Saya terfikir-fikir, sama ada untuk berkongsi atau tidak buah tangan yang saya bawa pulang dari bengkel tersebut. Akhirnya saya memutuskan, apa salahnya. Sekadar ekspresi rasa yang secara tidak sengaja diwujudkan. Mungkin kerana suasana sore itu dengan hujan yang mengguyur, angin yang yang nyaman berpuput, redup bumi kala matahari bersembunyi, maka, terhasillah karya yang sesetengahnya kelihatan agak jiwa-jiwa. Maafkan saya, andai ada yang 'geli' membaca. Sungguh, saya tidak sengaja!

Setia

Mata,
Memandang,
Tetapi tidak melihat,
Kerana hati sentiasa ingat,
Pada janji
Yang telah diikat.

______________________________________________________

Khuatir

Saat rasa itu hadir
Hanya satu
Mengadu pada Dia
Tuhan empunya manusia
Juga alam seluruhnya.

______________________________________________________

Janji

Bukan perlu pada tanda
Tidak perlu pertaruhkan harta
Kerana termeterai dalam hati
Akan dikenang sehingga mati
Kerana tersemat dalam dada
Sedia siagakan jiwa dan raga.

Tinta penuntut
14 Mei 2011
Buah tangan BAP-YADIM

sekadarnya...

bersambung.....Insya Allah

No comments: