Sudah seminggu tidak mendengar suara abang.
Kali terakhir, Sabtu yang lepas. Ketika kapal abang, SS Seri Angkasa, bersauh
di Pelabuhan Algericas, Sepanyol. Pelabuhan yang terletak di selat Gibraltar. Selat yang lautnya berbeza karakter, bersebelah, tetapi tidak bercampur. Seperti yang tercatat dalam Surah al-Rahman: 19-20. Tika saya di Mesir dahulu, ada juga lautan yang begini. Subahanallah, begitulah kuasa Allah. AllahuAkbar. Selat Gibraltar juga banyak menyimpan kisah sejarah Tamadun Islam. Rezeki abang. Abang. Kali terakhir terima email abang, Jumaat
lepas. Itupun selepas 2 hari tiada khabar. Rupa-rupanya, masalah biasa. Ya,
sangat biasa bagi pelaut dan isteri-isteri pelaut yang sudah sangat memahami. “Amos
problem sayang”, lewat email abang memberitahu. Meskipun itu masalah biasa,
tetapi gusar dijiwa tetap ada.
Hari ini, bangun pagi dengan azam yang baru.
Mahu menjadi hamba Allah yang lebih baik dari semalam. Saya bersarapan, sekadar
biskut dan susu. Bersedia untuk ke perpustakaan, rutin mingguan saya sepanjang
menjadi pelajar pascasiswazah, yang sudah hampir memasuki usia 3 tahun.
Terdetik di dalam hati, andai perpustakaan itu boleh bersuara, mungkinkah ia
akan bertanya, “asyik muka kamu setiap minggu, belum siap lagikah tesis?”.
Saya tersenyum sendiri. Soalan yang sering ditanya pada diri. Kadang-kadang
soalan itu bukannya datang dari orang lain, tetapi dari diri sendiri. Ya Allah,
kau gagahkanlah diri ini. Bukanlah gelaran yang dikejar, tetapi matlamat utama
menambah ilmu itu yang dikejar. Supaya menjadi orang yang sentiasa cintakan
ilmu. Semoga semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat diri dengan
Pencipta. Sebelum keluar rumah, saya pastikan semua suis telah dipadamkan,
pintu dan tingkap ditutup kemas.
Terngiang-ngiang di telinga, pesan abang, “sayang, sebelum keluar rumah, cek
semua suis, tutup semua tingkap, baca doa ye..”. Itulah juga yang dipesan
umi, abun, ma dan abah. Bismillah, Astawdi’ullah mali wa ahli. Aku
tinggalkan pada Allah, harta bendaku dan ahli keluargaku. Saya melangkah keluar
rumah. Pintu dan grill dikunci. Ya Allah, mudahkanlah urusanku hari ini.
Saya menuruni tangga, menuju ke parkir. Senyum. Terapi jiwa dan minda. Walau
hati gusar tiada khabar dari abang.
Setibanya di kereta, saya menghidupkan enjin,
gagal. Saya cuba berkali-kali, masih sama, gagal. Ya Allah, masalah baterikah?
Sedangkan baru semalam saya pergi ke perpustakaan, tiada apa-apa masalah. Saya
buntu seketika, saya masih baru di kawasan ini. Saya tidak tahu bengkel yang
terdekat. Saya tidak mengenali sesiapa di sini. Saya berfikir, dan
mengulang-ulang doa di dalam hati, Rabbana yassir wala tu’assir, wa tammim
bil khair. Alhamdulillah, saya ternampak pelekat perodua yang ditampal oleh
pusat servis dua bulan yang lepas di cermin depan kereta. Saya menghubungi
Perodua Smart Assist, “dalam masa sejam, mekanik kami akan sampai”.
Alhamdulillah, mujurlah perkara ini berlaku hari ini, hari Ahad. Jika berlaku
esok, tentu saya terpaksa datang lewat ke sekolah. Mujur juga tidak berlaku
semalam, andai kereta tiba-tiba kehabisan bateri di tengah jalan.
Alhamdulillah, Allah menguji apa yang mampu ditanggung oleh hambaNya. Namun
begitu, manik-manik jernih yang bertakung dimata akhirnya berderai jua.
Terbayang andai abang ada disisi tika ini, tentu kurang gelisahnya. Pantas jari
jemari saya menaip email pada abang, walau hakikatnya abang tak mungkin dapat
hadir membantu. Saya kembali menyedarkan diri. Allah mendidik saya menjadi
seorang yang lebih kuat, lebih tabah. Saya senyum. Belajar menjadi tabah
Sumaiyah. Bukan besar manapun ujian yang Allah beri ini. Jika dibanding dengan
Sumaiyah zaman Nabi s.a.w dahulu, wanita pertama syahid dalam Islam, ujiannya lebih lagi. Melihat suami
diseksa di depan mata, dan dia sendiri diseksa. Namun, tega mempertahankan
aqidahnya. Tentu bila umi dan abun memilih nama ini dahulu, umi dan abun mahu
saya menjadi insan yang tabah menghadapi liku kehidupan. “Habis bateri
kereta je pun....small matterlah”, kata saya sendiri.
Sejam lebih menanti, akhirnya mekanik tiba.
Dalam masa 10 minit sahaja, Alhamdulillah, enjin sudah dapat dihidupkan seperti
biasa. Saya bertanya, “Selalunya bateri boleh tahan berapa lama ye?”, “Kalau
bateri sel basah macam ni,setahun, setahun lebih. Kalau sel kering, dalam 2
tahun boleh tahan”, Saya membalas, “kalau macamtu, kereta ni lagi
hebatlah, dah nak dekat tiga tahun, tak pernah tukar.” Saya tersenyum
sendiri, patutlah...................memang sudah sampai masa.
Saya membatalkan hasrat untuk ke perpustakaan.
Saya sekadar duduk di rumah. Acapkali saya melihat inbox email,
kalau-kalau ada email dari abang. Hampa. Tiada sebarang email. Ya Allah ya
Qawiyy, kuatkanlah hatiku. Ya Allah, sampaikanlah rindu ini pada suamiku,
agar dia terdetik untuk menghubungiku. Saya tahu, bukan mudah untuk berhubung
melalui telefon apabila abang berada di tengah-tengah lautan. Kadang-kadang,
telefon satelit pun menghadapi masalah tiada signal. Keduanya, bukan murah
untuk selalu berhubung. Selalunya seminggu sekali, dua sahaja abang akan
menghubungi melalui telefon, selebihnya melalui email. Saya sangat memahami.
Tetapi, hari ini saya sungguh-sungguh berharap abang menghubungi saya. Saya
mahu mendengar suara abang. Sehingga jam 12 malam saya menunggu, saya hampa.
Jam 12.40 malam, telefon saya berdering, saya
melihat nombor yang tertera di skrin. +8707XXXXXX, nombor telefon satelit,
tahulah saya, tentu saja abang!. “Salam sayang, kenapa tak balas email
abang, abang cek email, tak dapat pun email sayang, risau abang....” “Sayang
pun tunggu email abang”. “AMOSSSSSSSSSSS!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”, mahu
saja saya menjerit. Geramnya dengan amos. Amos. Sistem email satelit yang digunakan di atas kapal. Ish, mahu
saja saya jadi pakar IT, dan mengubah sistem email di atas kapal. Kalau saya
jadi pakar IT, saya akan sediakan internet sekali atas kapal. Mahu sahaja saya
mengadu pada syarikat abang, kenapa kebajikan pekerja tak terjaga, cubalah
fikir perasaan pekerja-pekerja yang berjauhan dari keluarga. Emosi pula.
Hurm...
Semua perkara yang berlaku dalam tempoh
seminggu ini telah saya ceritakan pada abang. “Kesian sayang, kena hadapi
semua sorang-sorang, nanti cukup je setahun, kita tukar bateri kereta ye.....”.
Wah...untungla kedai bateri kalau dapat pelanggan macam kami ye. Rindu
abang....kala saya sangat bersedih kerana kami belum berpeluang menjadi ummi
dan abi, abang memujuk, “Semua Allah tentukan tu ada hikmah, Nabi Zakaria lagi lambat dapat zuriat
kan............”. Terima kasih Ya Allah, kau berikan aku suami yang baik.
Alhamdulillah. Benar, ada kala kita rasa kita cukup mampu, tapi Allah lebih
tahu hakikat sebenar, mampu atau tidak. Tak mengapalah, sebelum Allah kurniakan
zuriat buat kami, Allah mahu kami persiapkan diri dengan ilmu, agar kami dapat mendidik anak-anak kami
sebaiknya, supaya kami dan mereka menjadi pejuang agama,InsyaAllah..
*****************************************
Begitulah hari-hari yang dilalui. Ada pasang
surutnya. Adakala, rasa cukup tabah. Namun, hati wanita mana yang tidak rapuh
apabila terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Tambahan, saya jauh dari
keluarga, juga dari rakan-rakan di tempat baru ini. Tetapi, saya selalu ingatkan
diri, Allah itu dekat bukan. Ya, Allah
selalu melindungi. Allah itu lebih daripada cukup.
Kadang-kadang terasa mahu saja minta abang
berhenti kerja kapal. Tapi, kalau semua isteri minta suami berhenti kerja
kapal, siapa pula yang tinggal untuk kerja kapal? Tak mengapalah, ilmu
pelayaran ilmu yang penting juga, umat Islam perlu kuasai. Biarlah abang
bekerja, menambah pengalaman dan menambah pengetahuan tentang selok belok dunia
pelayaran. Tiada apa yang rugi jika semuanya disandarkan kepada Allah.
Usia perkahwinan saya hampir memasuki 1 tahun, insyaAllah 1 Muharram 1434 ini. Walau hakikatnya, kami bersama baru 4 bulan 20 hari. Alhamdulillah. Terlalu jauh lagi perjalanan ini. Isteri pelaut-pelaut lain sudah berpuluh tahun pun hidup begini, ada masa bersama, dan ada masa terpaksa berpisah sementara. Semoga saya setabah mereka. Kagum dengan kalian semua. Insan-insan tabah ini. Semoga Allah memudahkan urusan kita.
Malam itu, saya tidur sambil tersenyum.
Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Allah Maha Mendengar. Allah mendengar
jeritan hati saya. Saya mahu bercakap dengan abang. Alhamdulillah, Allah
gerakkan hati abang untuk menghubungi saya. Alhamdulillah. Ya Hafiz, Ya
Muhaimin....peliharalah suamiku, peliharalah kami.. Biarpun di dunia yang
sementara ini , kami sering terpaksa berjauhan, namun satukanlah kami
selama-lamanya di syurga. Perelokkanlah akhlak kami, ibadah kami, teguhkanlah
akidah kami. Ya Allah, jadikanlah kami ahli syurga. Amiin.
No comments:
Post a Comment