Sunday, January 31, 2010

MASA ITU KEHIDUPAN



Bismillahirrahmanirrahim.

MASA ITU KEHIDUPAN
Masa itu kehidupan. Begitulah kata-kata hikmah yang diungkapkan sebagai petunjuk kepada betapa pentingnya masa diuruskan dengan baik. Pensyarah saya semasa Daurah Bahasa Arab di Universiti Kaherah Dr. Mustafa Qutb pernah bertanya, "ma hua al-waqt" (apa itu masa), ada yang menjawab masa itu emas, masa itu kehidupan, masa ibarat pedang dan sebagainya. "jika saya, saya memilih masa itu kehidupan, mengapa? cuba teliti situasi ini, jiran saya sakit dan meminta untuk dibawa ke Hospital, sedangkan tika itu saya punyai banyak kerja yang perlu disiapkan. Jika saya memilih masa itu emas, saya pasti tidak mahu masa saya diambil orang, tetapi jika masa itu kehidupan, justeru untuk sebuah kehidupan yang diberkati, kita mesti membantu orang lain apatah lagi jiran kita sendiri". Pulang dari Bumi Kinanah, saya memegang kata-kata Dr. Mustafa, kerana terkadang saya juga manusia yang sangat berkira tentang masa.

Tentang masa juga, Dr.Hassan Basri pernah bercerita, sewaktu mula-mula bekerja di Mesir pernah sekali beliau pengsan kerana terlalu stress. Dr. Hassan seorang yang sangat disiplin dan sangat menepati masa, tetapi apabila bekerja dengan orang arab, masalah besar yang dihadapi beliau ialah selalu menjadi "penunggu". Kuat mengelat kata orang utara, begitulah tamsilannya bagi segelintir(atau entahkan kebanyakan) orang mesir. Kalau ditanya, "aina anta" atau "limaza taakhkharta(kenapa lambat)" pelbagai alasan diberi. Bagi orang seperti Dr. Hassan tentu sahaja tertekan, mahu dimarahi, tahu-tahu sajalah negara orang. Tetapi, sebagai solusinya, Dr. Hassan bercerita, setiapkali ada temujanji, beliau sudah menjangkakan kelewatan pasti akan berlaku, justeru, masa "menunggu" itu beliau isikan dengan melakukan kerja-kerja yang lain, membaca buku dan sebagainya.

Satu lagi cerita, sewaktu saya menziarahi bekas pensyarah saya, Dr.Shaharum yang merupakan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Kubang Kerian, kata beliau, "cuba kita nisbahkan umur kita dengan umur semasa hayat Rasulullah S.A.W, agak-agakla berapa tahun lagi kita akan hidup? dan apa yang sudah kita lakukan untuk Ummah sepanjang hidup ni?" Jawapannya untuk saya sendiri, masih belum ada apa-apa yang dilakukan. Astaghfirullah..

KONVENSYEN PEMIKIRAN HASSAN AL-BANNA

Semalam, saya bersama teman dan adik sebilik berpeluang menghadiri Konvensyen Pemikiran Hassan al-Banna di UNITEN anjuaran ISMA dengan kerjasama JAWI. Dianggarkan 3000 orang yang hadir dari seluruh negara memenuhi ruang Dewan Sri Sarjana, UNITEN semalam. Kertas kerja yang dibentangkan seputar isu politik tanahair dan bagaimana mengaplikasikan pemikiran Imam al-Banna dalam menyelesaikan permasalahan ini. Kesatuan Melayu juga dibangkitkan. Pada saya, Melayu hanya boleh bersatu jika semua Melayu yang layu itu menerima Islam secara sungguh-sungguh, bukan pada acara rasmi-rasmi sahaja. Bagaimana pula dengan melayu yang faham agama juga masih bertelingkah?, saya simpulkan yang masih bertelingkah juga belum menerima Islam secara sungguh-sungguh. Itu hanya simpulan saya, budak baru mahu mula belajar yang cetek ilmu pengetahuan ini.






Namun, bukan itu yang saya mahu kongsikan di sini, biarlah yang bijak-bijak dan cerdik pandai sahaja yang mengulas tentang kertas kerja semalam. Saya cuma tertarik dengan Undang-undang Perubahan yang digariskan oleh Imam As-Syahid Hassan al-Banna, iaitu antaranya:
Elemen pemuda. Imam al-Banna menegaskan,

"sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka ke arah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut: yakin, ikhlas, semangat dan amal adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda."

Imam al-Banna juga menyifatkan pemuda sebagai tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan , malahan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Ayuh muda-muda. Mari cintakan Islam, selagi nadi masih berdenyut, mari bersama perbaiki diri agar menjadi Individu Muslim yang benar-benar berjaya dalam memastikan baitul muslim , mujtama' muslim dan khilafah Islamiyah benar-benar berjaya dibina kelak.

Hargailah masa mudamu...sebelum tiba masa tua...
Hargailah masamu..kerana masa itu kehidupanmu....



No comments: