Tuesday, June 29, 2010

Zaman yang ditinggalkan

Zaman kanak-kanak adalah momen terindah dalam graf perjalanan hidup saya secara peribadinya.Alhamdulillah syukur Allah berikan rezeki melalui zaman kanak-kanak dengan sempurna. Seawal darjah satu, abun mewajibkan saya dan kakak menghafaz surah-surah juzu' 'amma, setiap kali selepas solat maghrib, kami akan di tasmi'. Apa yang pasti, kakaklah lebih hebat dari saya, kakak menjuarai pertandingan hafazan setiap kali beliau mewakili sekolah, saya pula seringkali tersangkut sana dan sini. Surah yang paling mencabar untuk dihafaz tika itu ialah surah al-Muthoffifin. Hanya kakak yang berjaya menghafaz, saya pula menipu abun. Bagaimana saya menipu? Saya tasmi' di depan abun kononnya dalam keadaan memejam mata dengan helaian surah itu dibuka. Hakikatnya saya melihatnya secara "curi-curi". Saya pasti abun tahu, tetapi oleh kerana saya bongsu ketika itu, saya tidak dimarahi bahkan dipuji. Itulah yang membuatkan kakak seringkali cemburu pada saya.

Tiap kali waktu senggang, abun akan menceritakan pelbagai isu-isu semasa kepada kami dua beradik(tika itu). Selepas itu, abun akan mengajukan trivia berdasarkan apa yang abun ceritakan. Antara soalannya, siapakah perdana menteri Malaysia, apakah ibu negara Amerika, dan soalan yang paling kami gembira kala menjawab ialah, siapakah Menteri Besar Kelantan. Kami menjerit, Tok Guru Nik Aziz!!! =) Sekarang, abun tidak lagi bertanya itu dan ini, anak-anaknya sudah besar, sekarang masa untuk bertindak sendiri. Abun....terima kasih..

Abun dan umi sangat berbeza karakternya. Abun suka menonjol, umi pula tidak. Jelasnya, kakak mengikut karakter abun, saya pula lebih mengikut cara umi cuma terkadang terikut juga cara abun secara tidak sedar. Sewaktu darjah dua, abun menyuruh saya membacakan pantun di perhimpunan sekolah, itulah kali pertama saya berdiri di hadapan orang yang ramai. Bermula dari itu, saya seringkali melibatkan diri dengan acara pentas, baca syair, syarahan dan sebagainya. Abun juga yang mendorong saya dengan sering menceritakan kehebatan Dato' Seri Anwar yang hebat pidatonya. Pencapaian paling baik saya ialah tika tingkatan 4 dan 5, mewakili zon keperingkat negeri dalam pertandingan pidato, dan memasuki pusingan akhir pidato piala diraja. Peliknya, saya tidak pernah berpidato di hadapan umi dan abun, dan saya juga tidak mempunyai jurulatih, saya hanya berlatih seorang diri di dalam bilik, semua ini gara-gara malu yang tak bertempat. Kali terakhir saya memasuki pidato sewaktu di Asasi Nilam Puri dan memenangi tempat ketiga. Akhirnya saya merasakan itu bukan jiwa saya.

Teringat juga, permainan sewaktu zaman kanak-kanak. Main getah, batu seremban, jengket-jengket, tuju kasut, tudung tin, main masak-masak dan ada juga main kawin-kawin . Tersenyum mengingatkan semua ini yang masih segar dalam ingatan. Permainan harian di kawasan perumahan saya ialah hoki dan rounders. Saya hanya suka bermain badminton bersama abun dan kakak. Abunlah paling hebat bermain badminton bagi saya, sementara menunggu bulu tangkis yang dipukul kami sampai, abun akan membuat pelbagai gaya, kami sangat terhibur. Main getah bersama kawan-kawan, mengutip getah, menyambungkan getah tersebut dan membahagikan kepada 2 kumpulan, cara membahagikan kumpulan dengan menyanyikan lagu "lat ta li lat ta li tam plum", kemudian menentukan kumpulan mana mendapat giliran pertama dengan 1,2 Juz. Bermula dengan melangkah getah yang dipijak di atas tanah, kemudian paras lutut, paras pinggang, paras dada, paras bahu, paras telinga dan paras kepala. Itulah zaman kanak-kanak dahulu yang berbeza dengan apa yang dilalui kanak-kanak sekarang.

Main-main juga, tepat pukul 7 mesti ada di rumah, pernah suatu ketika saya dan kakak pergi bermain rounders di padang permainan dan kami tidak menyedari jam sudah melebihi pukul 7, akhirnya kami dijemput umi yang membawa parang di tangan. Huhu. kami pulang ditemani deraian air mata. Satu lagi kisah, kakak dan saya mencuri-curi membeli bunga api, dan sewaktu umi tahu, umi merampasnya dan membakar kesemua bunga api tersebut. Kami hanya memandang dengan hati yang berbaur sedih dari cermin tingkap di rumah. Seharian kami tidak mengeluarkan suara kerana terlalu sedih. Umi sangat marah tika itu, tetapi umi menerangkan kepada kami, itu bukan budaya kita sebagai muslim.

Itulah zaman kanak-kanak, terlalu panjang kisahnya untuk ditulis di atas lembaran. Namun, semuanya masih segar dalam ingatan. Terima kasih umi dan abun. Syukur zaman kanak-kanak itu dilalui di madrasah kalian. Hari ini, saya sedar, saya tak ke mana tanpa umi dan abun. Kala abun melepaskan kami untuk berfikir sendiri, bertindak sendiri kerana kami meningkat dewasa, prestasi kami merudum, graf tidak lagi mencacak naik, sebaliknya statik. Betapa dewasa hanya pada usia.

Zaman itu sudah ditinggalkan walau masih dalam ingatan. Sekarang masa untuk memandang jauh ke depan. Supaya harapan umi dan abun dapat dilaksanakan.

No comments: