Hujung minggu. Masa yang lapang begini sewajarnya saya gunakan sebaik mungkin untuk menyiapkan tesis. Tapi, entah. Idea seperti kekeringan. Mata memang kononnya menekuni tesis, hakikatnya hati tiada bersama. Sedari pagi hingga petang, sebaris ayat pun tidak berjaya ditulis.
Mencari-cari semangat yang hilang. Mata terpandang pada sebuah buku yang tersusun di rak. Sultan Muhammad al-Fateh. Saya mengenali dan meminati beliau sejak sekolah rendah. Sewaktu menonton filem animasi Sultan Muhammad al-Fateh. Sejak itu, saya mula tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sultan ini. Seperti biasa, sasaran saya ialah makndak dan paksu. Melalui mereka banyak perkara yang saya ketahui. Sewaktu umi dan abun saya pergi menunaikan haji, umur saya ketika itu 6 tahun, dan saya tinggal bersama makndak di rumah siti (nenek). Sebelum tidur, makndak akan mula bercerita tentang kisah Nabi-Nabi. Paling saya suka, dan kerap meminta makndak mengulangnya ialah cerita Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf. Semoga kelak, saya juga akan menghidangkan cerita-cerita begini untuk anak-anak saya. Cerita yang realiti bukan fantasi seperti Snow White, Barbie, Rapunzel, Cinderalla dan sebagainya. InsyaAllah.
Paksu pula bercerita tentang cerita yang lebih serius, cerita tentang perang gerila Afghanistan, tentang Palestin, tentang tragedi Memali dan hal-hal politik. Suatu ketika, semasa paksu mengambil saya pulang dari Nilam Puri. Paksu bercerita tentang Salahuddin al-Ayubi sepanjang perjalanan Kelantan-Perak. Ketika saya sudah mengaku kalah untuk menghabiskan pembacaan mengenai Revolusi Iran, yang bukunya setebal 3 inci, paksulah juga sasaran saya. Paksu pun akan mula bercerita. Mudah bukan. Saya memang lemah dalam membaca (Alhamdulillah dikurniakan suami yang suka membaca). Tetapi saya berazam untuk sentiasa akan memaksa diri, kerana yang dipaksa itu, insyaAllah sampai masanya akan menjadi tabiat. Paksu, pakngah, makndak, makcik, kholah, makteh. Semuanya banyak benar berjasa dalam mendidik saya. Umi dan abun apatah lagi. Sebenarnya saya sangat rindukan insan-insan ini, yang sama-sama membantu umi dan abun mencorakkan saya. Alhamdulillah. Cuma bila menginjak remaja dan dewasa, bila semakin jauh dari mereka, sayalah yang tidak berjaya mencorak diri sendiri. Semoga Allah mengizinkan saya membalas budi baik mereka semampu saya. Kadang-kadang, bila perasaan malas datang, mengenangkan wajah-wajah insan yang disayangi, malas itu mudah diusir.
Berbalik kepada cerita Sultan Muhammad al-Fateh. Bukanlah niat saya mahu bercerita panjang lebar, tetapi ada beberapa perkara yang selalu saya ingatkan diri sendiri, supaya mengambil inspirasi daripadanya :
1. Kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh adalah bermula daripada ibu dan bapanya yang bercita-cita besar, tabah dan sabar dalam mendidik anaknya. Ya, dia juga dilahirkan sebagai bayi yang biasa, tetapi hasil corakkan ibu dan ayahnya, maka jadilah dia al-Fateh, pembuka kota Konstantinopel.
2. Sultan Muhammad al-Fateh menguasai 6 bahasa ketika usianya belasan tahun. Pentingnya bahasa ialah ia merupakan kunci ilmu.
3. Sultan Muhammad al-Fateh menakluk kota Konstantinopel ketika berusia 23 tahun. Kita hari ini bagaimana? Saya sendiri yang sudah berusia 25 tahun, bukan kata mahu menakluk kota, menakluk nafsu dan mendidik nafsu diri sendiri juga masih gagal.
4. Sabda baginda s.a.w " Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".
Sewaktu pertama kali solat Jumaat hendak didirikan di Kota Konstantinopel dan untuk memilih imam, Sultan al-Fateh telah memerintahkan kesemua tenteranya berdiri, termasuk dirinya, lantas bertanya " siapa di antara kita yang sejak baligh sehinggalah sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk", tiada seorang pun yang duduk, kerana tiada yang pernah meninggalkan solat.
Al-Fateh bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi, " Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sendiri.Sultan al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajjud sejak baligh. Inilah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh baginda s.a.w.
No comments:
Post a Comment