Thursday, November 15, 2012

Setahun yang berlalu

Salam Maal Hijrah 1434H. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sudah. Semoga bertambah utuh keimanan, bertambah amal ibadah seiring bertambahnya usia kita. 1 Muharram. Punyai sejarah yang tersendiri buat saya. Hari yang sangat bermakna untuk saya. Bermula kehidupan baru, sebagai seorang isteri. Alhamdulillah. Benarlah kata orang, jodoh itu rahsia Allah. Walaupun saya dan suami saling tidak mengenali, tetapi kuasa Allah, dari tidak mengenali itu akhirnya kami menjadi suami isteri. Alhamdulillah. Syukur. Terkenang janji di hari pernikahan. Susah dan senang bersama. InsyaAllah abang. Semoga segala suka dan duka dunia ini, kita tempuhi bersama. April tahun lalu, kami bertemu di rumah sepasang sahabat. Sungguh, saya jatuh hati dengan kesungguhan dan keberanian abang. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Allah. Abang meminta restu umi dan abun, berhari menunggu kata putus umi dan abun. Berdebar saya tika itu, hati sudah terpaut, andai umi dan abun tidak merestui, saya akur. Mereka tentu mahu yang terbaik untuk saya. Alhamdulillah, umi dan abun memberi kata setuju. Minggu berikutnya, abang membawa ma dan abah ke rumah. Perkara baik, tidak perlu dirumitkan, Islam itu mudah. Tarikh 1 Muharram dipilih untuk kami disatukan. 6 bulan menunggu abang pulang dari belayar, kali pertama perasaan cinta pada seorang lelaki hadir dalam hidup saya. Dipendam rasa, tidak pernah sekalipun terluah rasa itu pada abang, begitu juga abang. Syukur, berbaloi benar rasa, kerana segala perasaan itu saya luahkan pada hari pertama perkahwinan, hari abang menjadi kekasih halal saya.

Alhamdulillah. Hari ini genap setahun usia perkahwinan kami. Hari ini juga genap 2 bulan abang belayar bersama SS Seri Angkasa. 4 bulan lagi kami harus menunggu. Syukur, saat berjauhan begini, perasaan cinta dan rindu sentiasa subur. Saling mendoakan dan saling mengingati. Indahnya perkahwinan, merindu dan mencinta yang halal dan rindu dan cinta yang menjadi ibadah. Berbeza andai rindu dan cinta tanpa ikatan, yang sudah pasti hanya sia-sia. Setahun bergelar isteri abang, rupanya Allah menghadirkan saya seorang yang paling dekat untuk dijadikan contoh, tanpa abang sedar, abang menjadi inspirasi saya. Ketekunan, kerajinan dan kesungguhan abang. Segalanya. Inspirasi buat saya. You inspire me abang. Thanks Allah coz give him to me. 

I am so blessed to have you as my husband and my best friend abang....wish to be your wife till jannah......

Ya Allah, please take care of him while he's away....protect him as he goes through the heavy waves of the sea. Amiin. 

Tuesday, November 6, 2012

Persepsi

Petang. Saya merenung ke luar jendela. Hujan. Sesekali kedengaran guruh dan cahaya kilat memancar. Apa khabar abang yang jauh. Dua hari tiada khabar. Ya Allah, bagaimana keadaan abang di tengah laut dengan hujan yang begini. Empat hari lalu, saya mengirim emel, meluah rasa pada abang. Tentang persepsi orang. Abang membalas dengan nada tenang. Berulang kali saya membacanya sambil senyum yang menguntum, hati mengucap syukur dikurniakan suami yang baik. Terima kasih ya Allah. Kata abang, 'advice yang baik kita ambil, kalau tak kita buang jauh-jauh, hidup tak selalu senang, bila susah kita kena cari solution, try hard, tawakal and redha kalau tak dapat, that the way.....'terbayang riak wajah abang yang tenang, seolah-olah abang sedang bercakap di hadapan saya..Benar, persepsi orang tiada pentingnya, yang penting pandangan Allah pada kita. Saya sudah bersedia dengan persepsi orang apabila memilih abang sebagai suami. Persepsi yang negatif tentang pelaut masih ada dalam kalangan masyarakat. Namun, walau sudah bersedia, sesekali tergugah juga hati wanita saya. Mungkin sesetengah menganggap suami jenis apa yang sanggup tinggalkan anak dan isteri berbulan-bulan lamanya. Resam hidup, andai tiada yang sanggup berkorban begini, bayangkanlah apa terjadi pada ekonomi sebuah negara. Kami bersyukur dipilih Allah untuk diuji dengan kehidupan yang begini, Allah mengajar kami menjadi orang yang sabar dan tabah. InsyaAllah. Bila begini, pergantungan kami dengan Allah semakin kuat. Teringat bait kata Buya Hamka 'dimana pun kita berada, Allah itu lebih daripada cukup.' Saya bangga punyai suami yang begini, kerana saya tahu betapa sukar pengorbanan yang dilakukan. Hanya yang terpilih yang mampu meredah samudera. Tuhan, jadikan aku isteri yang sentiasa menenangkan dan menyenangkan hati suamiku. Tuhan, jadikan cinta kami mekar di bawah rahmatMu, jadikan kami hambaMu yang berakhlak dengan akhlak ahli syurga, semoga kelak kami menjadi penghuni jannahMu..yang kami bisa bersama selamanya di dalamnya..amiin..

Saturday, October 6, 2012

Khabar dari Gibraltar


Sudah seminggu tidak mendengar suara abang. Kali terakhir, Sabtu yang lepas. Ketika kapal abang, SS Seri Angkasa, bersauh di Pelabuhan Algericas, Sepanyol. Pelabuhan yang terletak di selat Gibraltar. Selat yang lautnya berbeza karakter, bersebelah, tetapi tidak bercampur. Seperti yang tercatat dalam Surah al-Rahman: 19-20. Tika saya di Mesir dahulu, ada juga lautan yang begini. Subahanallah, begitulah kuasa Allah. AllahuAkbar. Selat Gibraltar juga banyak menyimpan kisah sejarah Tamadun Islam. Rezeki abang. Abang. Kali terakhir terima email abang, Jumaat lepas. Itupun selepas 2 hari tiada khabar. Rupa-rupanya, masalah biasa. Ya, sangat biasa bagi pelaut dan isteri-isteri pelaut yang sudah sangat memahami. “Amos problem sayang”, lewat email abang memberitahu. Meskipun itu masalah biasa, tetapi gusar dijiwa tetap ada.

Hari ini, bangun pagi dengan azam yang baru. Mahu menjadi hamba Allah yang lebih baik dari semalam. Saya bersarapan, sekadar biskut dan susu. Bersedia untuk ke perpustakaan, rutin mingguan saya sepanjang menjadi pelajar pascasiswazah, yang sudah hampir memasuki usia 3 tahun. Terdetik di dalam hati, andai perpustakaan itu boleh bersuara, mungkinkah ia akan bertanya, “asyik muka kamu setiap minggu, belum siap lagikah tesis?”. Saya tersenyum sendiri. Soalan yang sering ditanya pada diri. Kadang-kadang soalan itu bukannya datang dari orang lain, tetapi dari diri sendiri. Ya Allah, kau gagahkanlah diri ini. Bukanlah gelaran yang dikejar, tetapi matlamat utama menambah ilmu itu yang dikejar. Supaya menjadi orang yang sentiasa cintakan ilmu. Semoga semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat diri dengan Pencipta. Sebelum keluar rumah, saya pastikan semua suis telah dipadamkan, pintu dan tingkap ditutup  kemas. Terngiang-ngiang di telinga, pesan abang, “sayang, sebelum keluar rumah, cek semua suis, tutup semua tingkap, baca doa ye..”. Itulah juga yang dipesan umi, abun, ma dan abah. Bismillah, Astawdi’ullah mali wa ahli. Aku tinggalkan pada Allah, harta bendaku dan ahli keluargaku. Saya melangkah keluar rumah. Pintu dan grill dikunci. Ya Allah, mudahkanlah urusanku hari ini. Saya menuruni tangga, menuju ke parkir. Senyum. Terapi jiwa dan minda. Walau hati gusar tiada khabar dari abang.

Setibanya di kereta, saya menghidupkan enjin, gagal. Saya cuba berkali-kali, masih sama, gagal. Ya Allah, masalah baterikah? Sedangkan baru semalam saya pergi ke perpustakaan, tiada apa-apa masalah. Saya buntu seketika, saya masih baru di kawasan ini. Saya tidak tahu bengkel yang terdekat. Saya tidak mengenali sesiapa di sini. Saya berfikir, dan mengulang-ulang doa di dalam hati, Rabbana yassir wala tu’assir, wa tammim bil khair. Alhamdulillah, saya ternampak pelekat perodua yang ditampal oleh pusat servis dua bulan yang lepas di cermin depan kereta. Saya menghubungi Perodua Smart Assist, “dalam masa sejam, mekanik kami akan sampai”. Alhamdulillah, mujurlah perkara ini berlaku hari ini, hari Ahad. Jika berlaku esok, tentu saya terpaksa datang lewat ke sekolah. Mujur juga tidak berlaku semalam, andai kereta tiba-tiba kehabisan bateri di tengah jalan. Alhamdulillah, Allah menguji apa yang mampu ditanggung oleh hambaNya. Namun begitu, manik-manik jernih yang bertakung dimata akhirnya berderai jua. Terbayang andai abang ada disisi tika ini, tentu kurang gelisahnya. Pantas jari jemari saya menaip email pada abang, walau hakikatnya abang tak mungkin dapat hadir membantu. Saya kembali menyedarkan diri. Allah mendidik saya menjadi seorang yang lebih kuat, lebih tabah. Saya senyum. Belajar menjadi tabah Sumaiyah. Bukan besar manapun ujian yang Allah beri ini. Jika dibanding dengan Sumaiyah zaman Nabi s.a.w dahulu, wanita pertama syahid dalam  Islam, ujiannya lebih lagi. Melihat suami diseksa di depan mata, dan dia sendiri diseksa. Namun, tega mempertahankan aqidahnya. Tentu bila umi dan abun memilih nama ini dahulu, umi dan abun mahu saya menjadi insan yang tabah menghadapi liku kehidupan. “Habis bateri kereta je pun....small matterlah”, kata saya sendiri.

Sejam lebih menanti, akhirnya mekanik tiba. Dalam masa 10 minit sahaja, Alhamdulillah, enjin sudah dapat dihidupkan seperti biasa. Saya bertanya, “Selalunya bateri boleh tahan berapa lama ye?”, “Kalau bateri sel basah macam ni,setahun, setahun lebih. Kalau sel kering, dalam 2 tahun boleh tahan”, Saya membalas, “kalau macamtu, kereta ni lagi hebatlah, dah nak dekat tiga tahun, tak pernah tukar.” Saya tersenyum sendiri, patutlah...................memang sudah sampai masa.

Saya membatalkan hasrat untuk ke perpustakaan. Saya sekadar duduk di rumah. Acapkali saya melihat inbox email, kalau-kalau ada email dari abang. Hampa. Tiada sebarang email. Ya Allah ya Qawiyy, kuatkanlah hatiku. Ya Allah, sampaikanlah rindu ini pada suamiku, agar dia terdetik untuk menghubungiku. Saya tahu, bukan mudah untuk berhubung melalui telefon apabila abang berada di tengah-tengah lautan. Kadang-kadang, telefon satelit pun menghadapi masalah tiada signal. Keduanya, bukan murah untuk selalu berhubung. Selalunya seminggu sekali, dua sahaja abang akan menghubungi melalui telefon, selebihnya melalui email. Saya sangat memahami. Tetapi, hari ini saya sungguh-sungguh berharap abang menghubungi saya. Saya mahu mendengar suara abang. Sehingga jam 12 malam saya menunggu, saya hampa.

Jam 12.40 malam, telefon saya berdering, saya melihat nombor yang tertera di skrin. +8707XXXXXX, nombor telefon satelit, tahulah saya, tentu saja abang!. “Salam sayang, kenapa tak balas email abang, abang cek email, tak dapat pun email sayang, risau abang....” “Sayang pun tunggu email abang”. “AMOSSSSSSSSSSS!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”, mahu saja saya menjerit. Geramnya dengan amos. Amos. Sistem email satelit yang digunakan di atas kapal.  Ish, mahu saja saya jadi pakar IT, dan mengubah sistem email di atas kapal. Kalau saya jadi pakar IT, saya akan sediakan internet sekali atas kapal. Mahu sahaja saya mengadu pada syarikat abang, kenapa kebajikan pekerja tak terjaga, cubalah fikir perasaan pekerja-pekerja yang berjauhan dari keluarga. Emosi pula. Hurm...

Semua perkara yang berlaku dalam tempoh seminggu ini telah saya ceritakan pada abang. “Kesian sayang, kena hadapi semua sorang-sorang, nanti cukup je setahun, kita tukar bateri kereta ye.....”. Wah...untungla kedai bateri kalau dapat pelanggan macam kami ye. Rindu abang....kala saya sangat bersedih kerana kami belum berpeluang menjadi ummi dan abi, abang memujuk, “Semua Allah tentukan tu ada hikmah,  Nabi Zakaria lagi lambat dapat zuriat kan............”. Terima kasih Ya Allah, kau berikan aku suami yang baik. Alhamdulillah. Benar, ada kala kita rasa kita cukup mampu, tapi Allah lebih tahu hakikat sebenar, mampu atau tidak. Tak mengapalah, sebelum Allah kurniakan zuriat buat kami, Allah mahu kami persiapkan diri dengan  ilmu, agar kami dapat mendidik anak-anak kami sebaiknya, supaya kami dan mereka menjadi pejuang agama,InsyaAllah..

*****************************************
Begitulah hari-hari yang dilalui. Ada pasang surutnya. Adakala, rasa cukup tabah. Namun, hati wanita mana yang tidak rapuh apabila terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Tambahan, saya jauh dari keluarga, juga dari rakan-rakan di tempat baru ini. Tetapi, saya selalu ingatkan diri,  Allah itu dekat bukan. Ya, Allah selalu melindungi. Allah itu lebih daripada cukup.

Kadang-kadang terasa mahu saja minta abang berhenti kerja kapal. Tapi, kalau semua isteri minta suami berhenti kerja kapal, siapa pula yang tinggal untuk kerja kapal? Tak mengapalah, ilmu pelayaran ilmu yang penting juga, umat Islam perlu kuasai. Biarlah abang bekerja, menambah pengalaman dan menambah pengetahuan tentang selok belok dunia pelayaran. Tiada apa yang rugi jika semuanya disandarkan kepada Allah.

Usia perkahwinan saya hampir memasuki 1 tahun, insyaAllah 1 Muharram 1434 ini. Walau hakikatnya, kami bersama baru 4 bulan 20 hari. Alhamdulillah. Terlalu jauh lagi perjalanan ini. Isteri pelaut-pelaut lain sudah berpuluh tahun pun hidup begini, ada masa bersama, dan ada masa terpaksa berpisah sementara. Semoga saya setabah mereka. Kagum dengan kalian semua. Insan-insan tabah ini. Semoga Allah memudahkan urusan kita.

Malam itu, saya tidur sambil tersenyum. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Allah Maha Mendengar. Allah mendengar jeritan hati saya. Saya mahu bercakap dengan abang. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati abang untuk menghubungi saya. Alhamdulillah. Ya Hafiz, Ya Muhaimin....peliharalah suamiku, peliharalah kami.. Biarpun di dunia yang sementara ini , kami sering terpaksa berjauhan, namun satukanlah kami selama-lamanya di syurga. Perelokkanlah akhlak kami, ibadah kami, teguhkanlah akidah kami. Ya Allah, jadikanlah kami ahli syurga. Amiin.

Thursday, September 13, 2012

Sabar menanti

Bismillah...

Genap 3 bulan bercuti, abang kembali memenuhi tuntutan kerjanya, sebagai seorang pelaut. 3 bulan bersama, dan tika ini saya kembali keseorangan. Tapi, abang selalu berpesan, dalam dunia ini, jika kita rasa sunyi, ingatlah ada yang lagi sunyi dari kita. Yang paling penting, Allah sentiasa ada bersama kita. 

Sedang saya bersiap-siap untuk menghantar abang ke KLIA, abang datang menghampiri, menadah tangan dan berdoa, "Ya Allah, lindungilah isteriku", saya tersenyum dan membalas, "Ya Allah, lindungilah suamiku". Saya menyambung doa di dalam hati. "Sungguh, dia suami yang baik ya Allah, temukanlah suamiku dengan orang-orang yang baik, permudahkanlah urusan kerjanya, peliharalah urusan ibadahnya, selamatkanlah pelayarannya." Amiin. Sebelum abang pergi, segala keperluan saya sudah dipastikan cukup lengkap. Katanya supaya hatinya tenang tinggalkan isteri.

Setelah sejam perjalanan dari rumah,kami tiba di KLIA, solat, check in, makan tengahari dan berjalan-jalan dalam kawasan aras 5, KLIA. Sebelum abang masuk ke Balai Perlepasan. Abang menghantar saya ke parkir. Abang menemani saya beberapa minit sebelum saya bertolak pulang. Abang berpesan itu dan ini. Saya gagal menahan kesedihan, akhirnya saya menitiskan air mata. Sekali-sekala abang bergurau dan mengusik. Reda perasaan sedih. "InsyaAllah, 6 bulan lagi kita jumpa", kata abang. Abang menghantar saya dengan lambaian sebelum abang hilang dari pandangan mata saya. 

Selamat belayar abang. Semoga dipelihara dan dalam reda Allah selalu.



13/09/2012 : KL-Hong Kong,
14/09/2012 : Hong Kong-Amsterdam, Amsterdam-Cardiff, Cardiff-Milford Haven
Milford Haven--------------Seri Angkasa

Seri Angkasa


Saturday, August 18, 2012

Eid Mubarak!

Salam...

Ramadhan tiba ke hari yang terakhir....tika ini saya berada di rumah keluarga mertua, Tok Bali, Kelantan. Pertama kali beraya jauh dari keluarga. Sebak terasa tiap kali menelefon umi atau kakak. Saya memujuk diri untuk jangan teralu emosi. Cuba meletakkan diri dalam situasi abang yang sudah beberapa kali tidak dapat beraya bersama keluarga.Beginilah resam kehidupan hendaknya. Jujur, pagi2 terkakhir Ramadhan, saya terkenang kampung halaman, Teratak gemulah nenda, tempat kami semua berkumpul. Kebiasaannya, pagi-pagi lagi kami akan mula mengupas bawang, memotong daging, memarut kelapa dan sebagainya. Adik sepupu yang kecil pula akan sibuk meminta untuk mengisi kuih raya di dalam balang. Saya pula, selalu meminta Mak Ndak untuk membuat ketupat daun pisang. Luarannya seperti  lemang, tetapi hanya perlu dikukus. Kami menggelarnya 'lemang bodo'. Rindu. Tak terkata. Tidak mengapalah. Tahun ini saya dapat merasai suasana beraya di negeri serambi Mekah ini, yang penting, dapat beraya bersama suami. Alhamdulillah.

Ramadhan ke-29. Bagaimana graf prestasi kita berbanding tahun-tahun lepas. Saya, merosot. Dari segi bacaan Qur'annya, bangun malam dan berbagai lagi. Ya Allah. Sedih. Semoga dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun-tahun yang akan datang. Pagi tadi, usai solat Subuh, saya menelefon umi, bertanya khabar. Hati menjadi sebak, lantas saya mencapai al-Qur'an untuk menenangkan rasa. Membaca Surah Rum ayat ke-40 membuatkan hati tersentuh, "Allah yang manciptakanmu, kemudian memberimu rezeki, lalu mematikanmu, kemudian menghidupkanmu kembali.........". Ya Allah,segala puji dan puja hanya untukMu. Ampunkanlah hambaMu yang lemah ini, yang selalu lupa denganMu kala terpesona dengan indahnya dunia yang sementara ini. Kadang-kadang kita terlalu mengejar dunia, sehingga lupa kepada Allah yang memberi rezeki, yang menghidupkan dan mematikan. Kadang-kadang kita terlalu runsing memikirkan pelaburan masa hadapan. Sedangkan kita lupa, mati bakal menjemput kita pada bila-bila masa, yang apabila tiba masanya, adakah cukup bekalan yang kita laburkan untuk akhirat kelak?, sempurna sudahkah solat kita?, bagaimana dengan bacaan al-Qur'an kita, amalan-amalan wajib dan sunat kita?... astaghfirullah...

Ya Allah, semoga kami menjadi hambaMu yang lidahnya dibasahi al-Qur'an dan zikir-zikir tanda ingat padaMu. Semoga kami tergolong sebagai hambaMu yang bertakwa di akhirat kelak. Amiin.

Monday, July 30, 2012

Topik yang sama..Kisah yang berbeza

Visa U.S

Bismillah, Alhamdulillah, Ramadhan keenam hari ini, semoga diizinkan Allah agar dapat menikmati keindahan beribadah di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, Ramadhan 1433H, berpuasa bersama suami. Bersahur dan berbuka bersama suami, rezeki tahun pertama perkahwinan. Suami masih bercuti. Tahun-tahun akan datang, wallahu'alam.

Hari ini, usai solat Subuh, saya menemani suami ke Kedutaan U.S, untuk menghadiri temuduga  permohanan visa U.S pada jam 7.40 pagi. Kebetulan, ada seorang lagi pelaut MiSC juga ketika itu datang untuk membuat permohonan yang sama. Dua jam menunggu di luar kedutaan, akhirnya saya dapat melihat kelibat suami sedang menuruni tangga kedutaan, bermakna urusan permohanan sudah selesai, dari jauh saya tersenyum melihat suami, dan senyuman saya dibalas. Alhamdulillah. Rupa-rupanya, sebelum memasuki kedutaan, segala benda perlu ditinggalkan di pintu gate, termasuk tali pinggang juga perlu dibuka. Oh..memang dasar pengec*t Amerika niiiiiii.............

Sampai di rumah, kami bersembang-sembang tentang prosuder visa U.S yang sangat melecehkan. Sedang rancak bersembang, saya teringat pada seorang pelaut MiSC yang kami temui tadi. Kata abang, beliau belayar dengan kapal chemical, pernah belayar 9 bulan kerana tiada reliever, sebab tak ramai yang ada visa U.S. Dalam hati, saya berdoa, janganlah perkara yang sama berlaku pada abang. Amiin.

MT Bunga Alpinia


Petang, hari yang sama. Umi menelefon, "Ada tengok berita tak?", "Takde, tak bukak TV lagi hari ni, kenapa?", "Kapal MiSC terbakar kat Labuan, kena sambar kilat masa isi minyak". "Ha?", dengan segera saya membuka internet dan mencari info berkenaan kapal tersebut. Ya Allah! MT Bunga Alpinia, kapal chemical kata abang. Terkedu, walaupun bukan suami saya salah seorang dari krewnya, tetapi ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Apalah perasaan ahli keluarga mereka, ibu, ayah dan isteri mereka, adik -beradik dan saudara mereka. Sugul sebentar, saya memeluk erat abang, syukur abang di sisi.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka yang terkorban. Semoga sabar dan redha mengiringi ahli keluarga mereka. Al-Fatihah.


Tuesday, June 5, 2012

Typhoon Mawar dan Gunung Fuji

Lewat email, abang mengirim khabar tentang pelayaran ke Shimizu kali ini sedikit terganggu dengan 'typhoon mawar'. Pertama kali abang bercerita tentang typhoon, saya bertanya 'typhoon? typhoon tu apa?', 'typhoon....typhoon....', jawab abang  yang langsung tak menjawab persoalan. 'Typhoon tu bakteria ke? Dalam hati saya berkata sendiri (ha...kan dah merapu, sebenarnya saya teringat typhoid fever, demam yang disebabkan jangkitan bakteria Salmonella enterica). Disebabkan ejaan dan sebutannya lebih kurang, saya pun meneka sesuka hati saya. 'Bukan....typhoon tu.....typhoon tu.......typhoon tu taufan'. 'Oooooooooooooooooooooooooooo..taufan' (kan senang cakap taufan dari awal). Itulah bermulanya kisah perkenalan saya dengan typhoon.

Kali ini, taufannya bernama typhoon mawar. Eh, sedapnya nama taufan, sama dengan nama bunga? Pernah saya mendengar ceramah ustaz Shamsuri, katanya kebanyakan nama fenomena alam dinamakan dengan nama perempuan. El Nino, La Nina, dan taufan mawar?. Sengaja untuk mengurangkan kegerunan ( kot ).

Saya, seperti biasa, apa sahaja yang baru yang keluar dari mulut abang, itulah yang paling rajin saya kaji. Yang tak wajib dicari, cepat saja saya mencarinya, yang wajib (tesis), em........penat memaksa diri mencari bahan untuk menyiapkannya!!. Cari dan  cari, memang banyak sumber tentang taufan mawar ini. Dan melihat gambarnya dari imej satelit, cukup menggerunkan saya. Mula saya terbayang keadaan kapal abang yang bergoyang depan belakang, kiri dan kanan, ditambah pula dengan lautan yang bergelora............ Takut dan menakutkan.

Gambaran taufan mawar di Philipine sea.


Hari ini, khabar abang, cuaca sudah kembali baik, dan kapal Puteri Nilam Satu sudah dapat memasuki Pelabuhan Shimizu, Jepun. Lewat sehari dari jadual sepatutnya. Kelewatan yang disebabkan typhoon mawar. Alhamdulillah, asalkan sampai. Kata abang lagi, pemandangan Gunung Fuji dapat dilihat dengan jelasnya dari pelabuhan Shimizu. Huh, sengaja membuatkan saya cemburu. Tak mengapalah, saya pun boleh juga melihat Gunung Fuji. Tak perlu ke Jepun, hanya perlu duduk di depan laptop : ). Teringat semasa saya berada di darjah 5. Saya menggunting satu resepi daripada majalah kepunyaan umi, majalah Jelita kalau tak salah saya. Majalah itu agak mahal dan tentunya umi terkejut melihat bukunya digunting. Tapi apakan daya, saya terlalu pantas membuat kerja. Saya menggunting resepi ayam golek fujiyama daripada buku majalah tersebut. Umi hanya mampu menggelengkan kepala. : ) Dek kerana resepi itu jugalah saya mengajak umi membeli ayam dan saya tidak membenarkan peniaga ayam tersebut memotong ayam menjadi potongan yang lebih kecil kerana saya mahu umi memasaknya seekor, seperti dalam gambar resepi yang saya gunting. Pulang ke rumah, umi memujuk saya supaya membenarkan umi memotong ayam kepada empat bahagian, kata umi, lebih senang dimasak dan senang untuk umi mencucinya. Akhirnya saya mengalah dan menurut kata umi. Tika itu, yang saya tahu Fujiyama tentunya Jepun, dan langsung tidak mengetahui Fujiyama bermaksud Gunung Fuji. Gunung Fuji merupakan gunung yang tertinggi di Jepun, terletak di Kepulauan Honshu dan berketinggian 3776.24 meter. Pemandangan Gunung Fuji boleh dilihat daripada Kota Tokyo sekiranya hari cerah.

Hehehehe....ingat abang sorang boleh tengok..
Subhanallah, melihat melalui gambarnya sahaja sudah cukup mengagumkan,
apatah lagi melihat dengan mata dan kepala sendiri.......untung abang ye..

Terkahir hari ini, sebelum saya memulakan kerja, seperti biasa, boleh kata saban hari, saban pagi dan saban petang, saya akan 'mengintai' abang melalui marine traffic. Kapal abang sudah memasuki Shimizu. Alhamdulillah, esok abang akan berlayar semula ke Bintulu, bermakna seminggu lagi perlu ditunggu untuk saya bercakap, bersembang, bercerita itu ini... sepuas hati saya dengan abang. InsyaAllah, lebih gembira lagi, jika nama abang tersenarai dalam off-signer untuk Bintulu kali ini...: )..


Apa jua ribut, taufan yang abang tempuhi, semoga Allah sentiasa melindungi abang. Amiin. Dan semoga apa jua ribut dan taufan yang saya tempuhi.......saya dapat siapkan tesis sebelum abang pulang.....................amiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiinnnnnnn..

Friday, June 1, 2012

COUNTDOWN


Menghitung hari

Pertama 
Menghitung hari kepulangan suami tercinta. Semalam, puteri nilam satu membawa abang pergi lagi, Bintulu-Shimizu, mungkin ini Jepun yang terakhir, atau kedua terakhir, dan paling tidak pun, ketiga terakhir. Mudah-mudahan tidak lebih dari itu. Amin. 

Kedua

Menghitung hari, bilalah pilihanraya ye? Akhir-akhir ini, di kaca televisyen boleh kata setiaaaaaaap 10 minit ada je kempen-kempen. Ini menunjukkan pilihanraya dah semakin hampir. Daripada tahun lepas, ada saja    jangkaan-jangkaan berkenaan tarikh pilhanraya, bulan 11/2011, 03/2012, 06/2012......dan...baru-baru ini PM sudah umumkan tentang belanjawan 2013. Apa maksudnya? hurm.............maksudnya bukan bulan 6 ni lah pilihanrayanya. Kempen.....alahai...naik muak dan menyampah melihatnya. Jika menang pun, bukanlah menang yang bermaruah, kerana bertanding secara pengecut, sebelah pihak sahaja yang boleh berkempen. Kalau bertanding secara berani, benarkanlah kedua-dua pihak berkempen di media.


KETIGA

COUNTDOWN TO RAMADHAN : )

Hari ini sudah 11 Rejab... Sya'ban dan RAMADHAN...AHLAN YA RAMADHAAAAN : )

Mari kita persiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan kali ini, semoga Ramadhan ini lebih baik daripada Ramadhan yang tahun-tahun sebelum ini. Amin.

Ya Allah, berkati kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan...


We Will MEET IN JULY THIS YEAR...INSYAALLAH...AMIN : )

Welcome Ya Ramadhan : )


Saturday, May 26, 2012

Sultan Muhammad al-Fateh : Raja sebaik-baik raja

Bismillah.....
Hujung minggu. Masa yang lapang begini sewajarnya saya gunakan sebaik mungkin untuk menyiapkan tesis. Tapi, entah. Idea seperti kekeringan. Mata memang kononnya menekuni tesis, hakikatnya hati tiada bersama.  Sedari pagi hingga petang, sebaris ayat pun tidak berjaya ditulis.

Mencari-cari semangat yang hilang. Mata terpandang pada sebuah buku yang tersusun di rak. Sultan Muhammad al-Fateh. Saya mengenali dan meminati beliau sejak sekolah rendah. Sewaktu menonton filem animasi Sultan Muhammad al-Fateh. Sejak itu, saya mula tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sultan ini. Seperti biasa, sasaran saya ialah makndak dan paksu. Melalui mereka banyak perkara yang saya ketahui.  Sewaktu umi dan abun saya pergi menunaikan haji, umur saya ketika itu 6 tahun, dan saya tinggal bersama makndak di rumah siti (nenek). Sebelum tidur, makndak akan mula bercerita tentang kisah Nabi-Nabi. Paling saya suka, dan kerap meminta makndak mengulangnya ialah cerita Nabi Sulaiman dan Nabi Yusuf. Semoga kelak, saya juga akan menghidangkan cerita-cerita begini untuk anak-anak saya. Cerita yang realiti bukan fantasi seperti Snow White, Barbie, Rapunzel, Cinderalla dan sebagainya. InsyaAllah. 

Paksu pula bercerita tentang  cerita yang lebih serius, cerita tentang perang gerila Afghanistan, tentang Palestin, tentang tragedi Memali dan hal-hal politik. Suatu ketika, semasa paksu mengambil saya pulang dari Nilam Puri. Paksu bercerita tentang Salahuddin al-Ayubi sepanjang perjalanan Kelantan-Perak. Ketika saya sudah mengaku kalah untuk menghabiskan pembacaan mengenai Revolusi Iran, yang bukunya setebal 3 inci, paksulah juga sasaran saya. Paksu pun akan mula bercerita. Mudah bukan. Saya memang lemah dalam membaca (Alhamdulillah dikurniakan suami yang suka membaca). Tetapi saya berazam untuk sentiasa akan memaksa diri, kerana yang dipaksa itu, insyaAllah sampai masanya akan menjadi tabiat. Paksu, pakngah, makndak, makcik, kholah, makteh. Semuanya banyak benar berjasa dalam mendidik saya. Umi dan abun apatah lagi. Sebenarnya saya sangat rindukan insan-insan ini, yang sama-sama membantu umi dan abun mencorakkan saya. Alhamdulillah. Cuma bila menginjak remaja dan dewasa, bila semakin jauh dari mereka, sayalah yang tidak berjaya mencorak diri sendiri. Semoga Allah mengizinkan saya membalas budi baik mereka semampu saya. Kadang-kadang, bila perasaan malas datang, mengenangkan wajah-wajah insan yang disayangi, malas itu mudah diusir.

Berbalik kepada cerita Sultan Muhammad al-Fateh. Bukanlah niat saya mahu bercerita panjang lebar, tetapi ada beberapa perkara yang selalu saya ingatkan diri sendiri, supaya mengambil inspirasi daripadanya :

1. Kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh adalah bermula daripada ibu dan bapanya yang bercita-cita besar, tabah dan sabar dalam mendidik anaknya. Ya, dia juga dilahirkan sebagai bayi yang biasa, tetapi hasil corakkan ibu dan ayahnya, maka jadilah dia al-Fateh, pembuka kota Konstantinopel.

2. Sultan Muhammad al-Fateh menguasai 6 bahasa ketika usianya belasan tahun. Pentingnya bahasa ialah ia merupakan kunci ilmu. 

3. Sultan Muhammad al-Fateh menakluk kota Konstantinopel ketika berusia 23 tahun. Kita hari ini bagaimana? Saya sendiri yang sudah berusia 25 tahun, bukan kata mahu menakluk kota, menakluk nafsu dan mendidik nafsu diri sendiri juga masih gagal.

4. Sabda baginda s.a.w " Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera". 

Sewaktu pertama kali solat Jumaat hendak didirikan di Kota Konstantinopel dan untuk memilih imam, Sultan al-Fateh telah memerintahkan kesemua tenteranya berdiri, termasuk dirinya, lantas bertanya " siapa di antara kita yang sejak baligh sehinggalah sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk", tiada seorang pun yang duduk, kerana tiada yang pernah meninggalkan solat.

Al-Fateh bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, " Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad al-Fateh sendiri.Sultan al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajjud sejak baligh. Inilah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh baginda s.a.w

Sunday, May 6, 2012

Belajar Setabah Siti Hajar

Jumaat, 04/05/2012

Bangun seawal jam 4 pagi, hati berbunga, kerana hari ini abang akan masuk pelabuhan Bintulu. Begitu kata abang ketika 4 hari selepas abang keluar daripada Niigata, Jepun. Jam 6.30 pagi, saya bertolak keluar ke sekolah. International Islamic School, Gombak. Pekerjaan baru yang berstatus sementara, insyaAllah sehingga bermulanya  cuti sekolah musim panas,15 Jun 2012. Berkali-kali berfikir sama ada mahu menerima atau tidak tawaran itu, lantaran tesis belum selesai dan sekolah yang agak jauh. Akhirnya saya memilih untuk menerima, sengaja mahu mencabar diri, supaya bijak mengurus masa. Juga mahu mencabar diri, mengajar dalam bahasa inggeris. Sebelum ini, saya mengajar bahasa melayu juga menggunakan bahasa inggeris sebagai medium, tetapi murid saya cuma seorang dan subjek itu mengkehendaki saya lebih banyak bertutur dalam bahasa melayu, kali ini, murid saya melebihi 100 orang dan saya wajib menggunakan bahasa inggeris. Perjalanan 30km daripada Pantai Dalam ke Gombak mengambil masa 45 minit, saya memilih lebuhraya DUKE, mengelak daripada kesesakan dan paling penting saya tidak perlu kerap menekan pedal brek.

Jam 4 petang, tepat. Saya mendaftar keluar dari sekolah. Mesej yang dihantar kepada abang masih belum delivered. Bermakna abang masih belum tiba di Bintulu. Tiba di rumah jam 5 petang selepas saya singgah membeli keperluan dapur di Pasar Malam Kerinchi. Mesej masih belum delivered. Gusar. Inilah kali pertama mesej saya begitu lambat untuk sampai pada abang. Sehingga jam 9 malam saya masih menanti. Tidak pernah selewat ini. Air mata mula bertakung di tubir mata, dan akhirnya mengalir. Melihat gambar abang yang tergantung di dinding rumah membuatkan air mata lebih deras mengalir. Saya beristighfar, meredakan diri dan menahan tangis dari berlarutan. Membasuh muka dan mula membuat kerja. Hati memang tidak keruan. Akhirnya telefon berdering, skrin tertulis Puteri Nilam Satu. Puteri Nilam Satu? Saya mengangkat telefon. "Abang..........abang kat mana?" soalan pertama yang terkeluar dari mulut saya. "Abang tak sampai lagi, kapal rosak....". Saya mula bertanya, kapal rosak apa dan sebagainya, dan abang pula tidak jemu menjawab soalan saya. Terima kasih abang, walaupun saya tidak memahami sangat pun, tetapi seronok mendengar cerita abang. Syukur, terima kasih Allah yang menggerakkan hati abang untuk menghubungi saya yang dalam gusar dan gundah. Alhamdulillah.

abang.....: )


Sabtu, 5/05/2012

Jam 11 pagi, saya menjejaki abang melalui laman sesawang Marine Traffic. Kapal abang menghampiri Labuan. Jam 12 tengahari abang menghubungi saya. Abang sudah berada di Labuan, untuk proses membaiki kerosakan kapal. Lama bersembang..dan kadang-kadang kami berdua diam, dan hanya ketawa...kerana sudah kehabisan cerita.. Beberapa kali talian putus, kerana masalah liputan. "Kenapa asyik putus abang?", "Abang rasa sebab dah makin jauh dari darat ni", "Oh, kapal dah gerak ke?", "Tak, kapal hanyut". "Hanyut?", "Hanyut tu maksudnya kapal tak gerak dan kapal  tak anchor", terang abang. "oooooo..". Begitulah lumrahnya isteri pelaut. Mendengar suara sahaja cukup membuatkan hati gembira. Alhamdulillah. Fokus pada kesyukuran, bukan pada kesukaran.

Ahad, 6/05/2012

Hari ini, hari yang paling gembira. Pertama kali, selepas hampir 4 bulan, barulah saya dapat menatap wajah suami tercinta, melalui talian skype. Sebelum ini hanya MMS penawar rindu. Tapi, kali ini Allah mengilhamkan idea kepada abang untuk meminjam laptop kawannya. 

Hikmah di sebalik musibah

Hikmahnya kapal rosak, saya dapat mendengar suara abang bermula Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa insyaAllah., sebelum abang belayar semula ke Niigata, Jepun..: ).

Mahu setabah Siti Hajar

Pejam, celik...Hampir 4 bulan sudah abang belayar. Alhamdulillah, Allah memelihara dan memudahkan segala urusan kami. Selalu saya mengingatkan diri, apalah sangat ujian berjauhan dengan suami yang saya lalui ini. Paling lama pun, 2 minggu sahaja saya tidak dapat mendengar suaranya, itupun jika abang kehabisan topup untuk telefon satelit. Abang tinggalkan saya dengan segala kemudahan. Syukur. Semua ini pemberian dari Allah. Jika mengimbas kembali bagaimana Nabi Ibrahim a.s terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail di tengah padang pasir yang kering kontang, jauh lebih perit keadaannya, tiada apa-apa pun, tetapi mereka tabah dan akur dengan perintah Allah. Apalah sangat ujian yang saya perlu tempuh. Jika dibandingkan dengan isteri-isteri pejuang Palestin yang menghantar suami mereka keluar berjuang, dan penantian mereka berakhir dengan khabar syahidnya si suami. Saya menghantar suami bekerja, menunaikan amanah ilmu yang ada padanya. Ilmu pelayaran. Kerana kelak, kita semua akan ditanya tentang sejauh mana ilmu yang kita punyai itu kita amalkan. Saya menyerahkan diri saya dan diri abang dalam jagaan Allah. Kerana, di manapun kita berada, dan keseorangan. Allah itu lebih dari cukup. Begitulah kata-kata Buya Hamka lewat cerita Di Bawah Lindungan Ka'bah yang abang tonton dan saya juga menontonnya. Walaupun kita berdua dan bersama, hanya Allahlah yang Maha Pelindung. Benar, Allah itu lebih dari cukup. Semoga rumah tangga ini, setabah rumah tangga Nabi Ibrahim dan Siti Hajar. Semoga jauhnya kita, mendekatkan lagi kita dengan Allah.

Selamat bekerja abang. Bekerja kerana Allah, ingat Allah selalu. Semoga kita sentiasa bersama dalam kalimah taqwa, di dunia dan akhirat.
InsyaAllah, penantian hanya tinggal 2 bulan lebih lagi....(semoga sempat saya siapkan tesis..ohoh..)
Selamat belayar Puteri Nilam Satu....semoga sihat-sihat saje ye.........




Wednesday, March 21, 2012

For me...myself...




never give up
Allah always with you
Always with you
.................................

give me strength ya Allah



Sunday, March 11, 2012

Bila







Bila.......
Jawapan yang hanya ada pada diri sendiri...........

Friday, February 10, 2012

Man Jadda Wajada : )

Bismillah...
Salam Jumaat yang berkat...hari yang terdapat satu saat yang mustajab untuk berdoa..

Pejam celik, sungguh cepat dan pantas masa berlalu..kata abang, bila jadi pelaut, terasa benar masa berlalu bagaikan air. Dua tahun bergelar pelajar sarjana, bagaikan baru semalam mendaftar. Kadang-kadang putus asa itu mampir. Segera diusir, ingatkan diri, Nabi s.a.w. tidak suka umatnya yang berputus asa. Genggam bara api biar sampai jadi arang.



Membaca novel 'Negeri 5 Menara' karya A. Fuadi sungguh memberi inspirasi, Man Jadda Wajada, siapa yang bersungguh-sungguh, pasti mendapat hasil! : ). 

Sumaiyah, bersungguh-sungguhlah siapkan tesis. Semoga Allah mudahkan dan beri ilham dan idea yang baik, supaya hasilnya bisa memberi manfaat buat ummah. Amiin.

*Pagi Jumaat, menghantar abang lewat bicara di hujung telefon, abang pergi lagi, Bintulu-Sodegaura. Doa saya saban hari, semoga Allah pelihara insan yang saya cintai ini , apalah saja kapal yang besar itu jika dibanding dengan lautan ciptaanNya yang sungguh luas. Semangat 'man jadda wajada' abang juga memberi inspirasi untuk diri terus berusaha. Semoga kita bisa sentiasa bersama, jikapun bukan di mata, tetapi di hati dan di dalam doa, jikapun bukan di dunia, moga-moga di syurga, insyaAllah. Inna ma'al 'usri yusra. Bersama kesusahan, ada kesenangan.

Sunday, February 5, 2012

Wahai Purnama


Wahai purnama....wahai purnama
Yang indah lagi sempurna
Bagaimana...bagaimana
Nak  ku luah dengan kata-kata
Engkau menyinar di alam tinggi...di alam tinggi...
Terangi kegelapan dan kebatilan..
Dengan mu alam bergemerlapan...bergemerlapan...
Zahir batin nur nikmat dan kemuliaan
Selawat Allah ke atasmu selama-lamanya
Siang dan malam jua...siang dan malam jua
Selawat jua pada ahlimu dan sahabatmu...
Mereka yang istimewa dan sempurna..

-Salam Maulidurrasul 1433H-

Thursday, January 19, 2012

Selamat belayar fi hifzillah..


16/01/2012
KLIA-Bintulu

Masa akan pantas berlalu ...
Jauh di mata..sentiasa di hati.....
Selamat belayar..fi hifzillah..
Semoga dalam jagaan Allah..
Kerja kerana Allah itu ibadah..


Semoga dipelihara Allah selalu..abang